Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nabil dipikat gadis Romania


UNTUNG sabut timbul, untung batu tenggelam. Untung nasib Nabil Zamanhuri terletak jauh di Beijing, China. Jujur selepas ditimbang-timbang akan perjalanan seninya, bakat yang dikendong anak muda ini belum ada sinaran yang betul-betul bergemerlapan.

Dia pernah mencuba nasib dalam program Mentor tetapi tidak berjaya sebagai juara. Tidak putus asa, dia melangkahkan kaki ke pertandingan Worldstars Road To Hollywood 2010 namun tidak berkesampaian untuk pergi jauh. Di balik tirai nyanyian, dia juga mencuba nasib menjadi pelakon. Masih dia dilihat samar-samar dalam pencarian.

Namun, langkah kaki jauh ke negara China ada nasib yang tersendiri. Anak muda yang masih menuntut di Universiti Multimedia, Cyberjaya ini berjaya memegang dua trofi atas kejayaannya mencuba kuasa vokalnya pada Festival Muzik Pan Asia ke-11 yang berlangsung pada 28 April hingga 7 Mei lalu.

Bukan jalan mudah apabila anak muda yang mempertaruhkan lagu Dari Jauh dan A Song For You ini terpaksa berdepan dengan beberapa peringkat saringan dan bersaing dengan 32 peserta dari Sri Lanka, Romania, Thailand, Finland, Malta, Kazakhstan, Bulgaria, China, Kanada, Australia serta Amerika Syarikat.

Meraih kejayaan dua kategori iaitu Naib Juara Lagu Terbaik melalui lagu Dari Jauh ciptaan Lah Ahmad dan dirinya sendiri serta anugerah 'Asia Most Potential/Promising Singer 2010', ini adalah satu langkah baru untuk pemuda ini untuk menyinar di negara sendiri.

Pemilihan Nabil dibuat oleh pihak yang dilantik oleh Komiti Festival Muzik Shanghai Asia untuk memilih bakat baru bagi mewakili Malaysia ke pertandingan tersebut.

Sensasi Bintang: Khabarnya setelah berjaya memenangi anugerah Asia Most Potential/Promising Singer 2010, Nabil dipikat oleh gadis Romania?

NABIL: Gadis tersebut bernama Elina dan dia ialah pemenang tempat ketiga pertandingan yang sama. Dia berminat untuk bekerjasama dengan saya untuk menyanyi bersama.

Tidak begitu menyerlah di negara sendiri sebagai penyanyi solo lelaki dan berjaya memenangi dua anugerah di China, apa kelemahan Nabil di negara sendiri?

Umum masih mengaitkan saya sebagai Nabil rancangan Mentor di mana perkara itu sudah lima tahun berlalu.

Saya sudah bergerak jauh daripada sekadar menjadi Nabil, naib juara Mentor. Saya kini bekerja keras untuk mengasah vokal saya. Mungkin kerana saya tidak kelihatan di kaca televisyen, jadi kerjaya saya sebagai penyanyi solo tidak begitu menyerlah berbanding orang lain.

Jadi mulai saat ini, saya akan bekerja keras untuk mempamerkan diri saya sebagai seorang penyanyi dan komposer.

Pihak Alibi Music juga sudah menyatakan mereka akan membuat penjenamaan semula terhadap Nabil, apakah bentuk penjenamaan tersebut?

Saya akan muncul dengan lagu-lagu yang berentak pop R&B dan mengharapkan agar peminat akan menerima saya dengan konsep yang saya pilih.

Banyak menyertai pertandingan nyanyian, mungkin Nabil ada alasan tersendiri?

Saya cuba keluar daripada zon selesa saya. Cuba asah skil saya dan melihat sejauh mana saya boleh pergi. Saya juga ingin tahu sejauh mana kemampuan vokal saya dan mahu berasa selesa di atas pentas.

Belum mempunyai sebarang album, apa perancangan Nabil setelah berjaya mengharumkan nama di negara orang?

Single terbaru saya, Halimunan sudah keluar. Buat masa sekarang saya akan keluarkan single demi single dahulu. Insya-Allah, saya bakal muncul dengan album mini yang mengandungi lima buah lagu. Klip video saya juga masih dalam perancangan dan akan keluar tidak lama lagi.

Nabil yakin tahun ini tahun yang sesuai untuk muncul dan menyinar sebagai penyanyi?

Saya sasarkan tahun ini sebagai tahun untuk memperkenalkan diri sebagai penyanyi dan komposer. Saya yakin dengan muzik yang akan saya bawakan. Muzik yang segar dan orang boleh terima.

Konsepnya tidak macam muzik saya dahulu. Saya juga sudah bersedia untuk menunjukkan bakat dalam tarian. Michael Jackson adalah idola saya. Saya juga bercita-cita untuk menjadi pengarah sesuai dengan pembelajaran saya di universiti dalam bidang filem dan animasi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails