Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Kasih dua Siti kasih dari langit


ADA apa dengan Hari Ibu? Itu adalah satu pertanyaan yang sangat tidak bermoral jika terucap daripada bibir makhluk bernama manusia.

Sekalipun jika sekadar lintasan yang hadir tanpa terduga, segera buangkan skeptikal itu walau sambutan Hari Ibu hanya satu budaya.

Usah diperdebatkan persoalan Hari Ibu dan kenapa ia harus disambut kerana seorang ibu itu ada saktinya.

Daripada rahim seorang ibu pernah lahir seorang Nabi akhir zaman.

Meskipun ibu kita bahkan sesiapa sahaja yang bergelar ibu hari ini bukanlah Siti Aminah binti Wahab, Si Bunga Quraisy pilihan Allah sebagai ibu termulia darjatnya seisi alam kerana melahirkan manusia suci bernama Muhammad, namun dalam rahim seorang ibulah, roh kita ditiupkan.

Daripada sebesar zarah, jasad dan batin kita dipersiap selama sembilan bulan 10 hari sebelum lahir ke alam duniawi. Itu mukjizat Tuhan yang sedang berlegar di depan mata hambanya.

Mencari kemanisan kisah sang ibu dan anak, Datuk Siti Nurhaliza dan ibunya, Siti Salmah Bachik dijemput mengisi catatan portfolio sempena Hari Ibu hari ini.

Senyum dan tangis

Bukan wajah asing bagi anak-anak dan ibu-ibu satu Malaysia, bahkan tidak mustahil ada para ibu mengimpikan seorang anak persis Siti, yang kembangnya sentiasa harum.

Meneroka hitam putih yang telus perjalanan wanita paling popular di Malaysia, maka Sensasi Bintang berbicara dengan sumber yang tepat. Madrasah pertama dan terbaik seorang Siti Nurhaliza, ibunya yang tercinta.

"Mak Mah ingat lagi, hadiah pertama Siti ialah seutas rantai tangan. Itu yang dibelikan hasil kerjanya sebagai artis. Kemudian diikuti pula dengan beg tangan dan jam," imbas Mak Mah (panggilan ramai terhadap ibu Siti).

Perayaan Hari Ibu dengan cara tersendiri sering dimulai Siti dengan panggilan telefon untuk mengucapkan kalimat indah berserta ucap terima kasih, tanda kasih anak kepada ibu.

"Kadangkala ajak makan malam. Ikut selera mak nak makan apa. Mak jenis yang suka mencuba masakan," ujar Siti yang semakin meraikan Hari Ibu setelah dewasa dan punya wang sendiri.

Melihat acara usik-mengusik dua beranak ini, kami tanyakan Mak Mah warna lut sinar Siti yang khalayak tidak tahu atau mungkin tidak sedar.

"Siti, anak yang kuat mengusik, dia kelakar dan suka buat orang ketawa. Dia pandai berjenaka.

"Menjaga Siti sejak lahir sampailah dia berjaya sebagai penyanyi, tak susah," luah Mak Mah. Dalam senda dan manja, Siti diakui Mak Mah seorang anak yang mendengar kata.

Senyum Mak Mah tidak pernah lekang di bibir dan senyuman itulah yang diwariskan kepada Siti.

Turun-temurun

Sempat mengusik ibunya, kata Siti: "Masa muda-muda dulu, orang kata wajah Mak Mah macam Maya Karin. Betul tak mak?" Dibalas anggukan dan jelingan malu sang ibu.

Melihat seorang Siti yang tabah menghadapi perjalanan seninya, Mak Mah membuka cerita air mata Siti yang jatuh di ribanya.

"Dia menangis sewaktu dia mahu berumah tangga dahulu. Mengenali Siti, dia seorang yang sukar menitiskan air mata. Dia keras hati dan cekal," bongkar Mak Mah.

Hari-harinya yang berjadual padat berstatus penghibur dan isteri mengehadkan masa dengan ibu tercinta. Buat Siti, itulah yang hilang daripada dirinya dan dirindui.

"Masa selalu tidak mengizinkan. Dulu banyak masa terluang dengan mak. Kalau boleh, itu yang Siti idamkan, mahu kembalikan masa yang lama bersama mak," tiba-tiba ada nada sedih di balutan harapan tersebut.

Mak Mah tersenyum mengingatkan sifat keibuannya yang penuh dengan ketegasan. Itu caranya menjadi pendidik buat lima anaknya.

"Saya garang. Kuat berleter dan kalau saya sudah mula, Siti akan diam sahaja. Saya berhenti memberi leteran kepada Siti hanya setelah dia bergelar isteri," senyumnya bercerita.

Sedar dirinya 'nakal' suatu ketika dahulu, akui Siti sifat kanak-kanaknya yang terjurus sedikit tomboi membuahkan leteran tersebut.

"Mana taknya, Siti kuat panjat pokok, naik basikal dan balik lambat. Selalu kena cubit.

"Mak memang garang dan tegas dengan anak-anak," akui Siti mengingatkan zaman remajanya.

Mak Mah pula mengakui diam adalah tanda dia sedang marah.

Lantas ditanya apa pula yang diikuti oleh Siti tanpa sedar. Mak Mah bercerita lagi dalam nada ketawa yang sering diajuk-ajuk anaknya.

Sambil sekali-sekala membetulkan tudung di kepala ibunya, Siti usik-mengusik. Terbayang kenakalan seorang Siti sewaktu kecilnya.

"Kalau 'menurun' perangai, saya lihat Siti rajin memasak. Sifat itu dia ambil daripada saya. Dia akan masak sendiri dan hidang kepada suami.

"Siti suka tempoyak ikan patin, malah menantu saya juga sudah terikut sukakan masakan tersebut," ujar sang ibu yang bangga melihat air tangan anaknya digemari sang menantu.

Legasi Siti Nurhaliza

"Siti suka masak kalau ada waktu terluang. Selalunya Siti akan sediakan cekodok manis pada waktu petang.

"Tapi boleh kata, ikut mood juga untuk memasak," akui puteri hati Mak Mah. Siti juga lebih puas jika dia sendiri membeli barangan dapur.

Di hujung sesi bongkar cerita Mak Mah dan Siti, ada kata-kata yang berupa doa diungkapkan. Bercerita tentang anak dan perjalanan Siti kelak memegang status ibu.

Siti sedar setelah pencapaiannya dalam kerjaya dikongsi ramai, kini umum menunggu benih legasi pertama dirinya dan suami. Dia tahu penantian dan harapan itu, malah perasaan itu lebih tebal dalam dirinya.

"Siti membayangkan kalau ada anak nanti, Siti mahu dia contohi Siti. Cekal dan tidak mahu dia susahkan orang lain.

"Siti mahu didik dia perkara yang baik-baik dan secukupnya kepada dia.

"Lebih penting lagi, Siti mahu dia anggap Siti sebagai kawan dan boleh berkongsi semua cerita," doanya yang mengharapkan minimum dua orang cahaya mata atau paling ramai empat orang.

Duduk di hati terdalam, Mak Mah tahu pengharapan anaknya itu. Malah sebagai ibu yang melihat, dia menaburkan tasbih-tasbih doa untuk anaknya lekas berstatus bonda.

"Siti kena sabar. Kena tunggu rezeki untuk dikurniakan anak. Saya tahu itu yang diharapkan. Saya nampak cara dia meraba-raba perut teman-teman yang mengandung.

"Dia memang mahukan anak," rintih sang ibu yang menatap sebuah pengharapan.

Pada usia 59 tahun, apa lagi yang diharapkan sang ibu itu terhadap anak-anaknya. Ketika peneman hidup, Tarudin Ismail sudah setahun menyahut panggilan Ilahi, ada keinginan lain yang terbit daripada hatinya.

Dalam diam seorang ibu, seorang pemegang kunci kepada khazanah Siti Nurhaliza Production (SNP) Sdn. Bhd., Siti Salmah dambakan darah seni yang mengaliri keluarganya akan berterusan.

"Boleh dikatakan kami daripada keluarga seni, cuma Siti yang paling menonjol. Saya harap sangat syarikat ini akan berterusan sampai bila-bila," desisnya lagi.

Doa seorang ibu dan penghormatan sang anak mengiringi hari-hari bahagia dua Siti di depan mata kami.

Tidak hanya untuk Siti seorang, doa ibu lapan anak itu mencurah-curah buat kesemua anak dan cucu yang berjumlah 10 orang.

Bukan Siti Salmah seorang, seorang ibu tidak pernah terhenti doanya untuk keluarga.

Andai kesempatan masa dan jarak jadi pemisah, ucap salam sudah memadai jadi hadiah, buat sang ibu tercinta di mana sahaja.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails