Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Pahit getir Siti Nurhaliza

LANDASANNYA sekeras batuan hidup di bucu muara. Hentaman ombak besar kiri dan kanan bagai tsunami sekalipun, semangatnya tidak berganjak biar seinci pun. Sebaliknya, monumen Datuk Siti Nurhaliza Tarudin utuh dan terus membesar.



Pernah dulu dia berdandan dan berangan di depan cermin mencuri cuba gincu milik ibunya untuk tampak cantik, kini 'berbalas' dengan empayar perniagaan kosmetik SimplySiti.


Selama 15 tahun vokalnya dilontar hingga ke pentas berprestij dunia. Biar bersandarkan pangkat Datuk atau Datin Seri, Siti masih Siti yang pernah duduk semeja, gelak tawa dan bercanda sama.


Buang jauh segala coretan puji-pujian atau apa saja pengiktirafan yang ada dalam genggamannya, lebih indah dan punya nilai sentimental tersendiri jika sesekali mengintai pula kepayahan dan episod air mata dalam hidup legenda muda ini.


Uniknya, kisah biduanita tersohor ini mampu dikongsi peminat jauh di ceruk bumi Sarawak dan Sabah apabila buat pertama kalinya Metro Ahad tiba di sana.


Senyuman terukir, kerut juga dahinya mengimbau kembali detik manis yang pernah terasa pahit untuknya telan. Mencuka si empunya diri meskipun hakikat luarannya dia memiliki nama besar. Seribu satu perasaan Siti Nurhaliza diselongkar!



Kasihan Siti:
"Saya tidak boleh mengatakan tidak atau menolak apa saja pelawaan peminat. Bayangkan, jarang sekali Siti berpeluang menikmati makan malam atau menjamu selera di tempat awam dengan tenang. Bukan apa, namun hati manusia biasa, ada kalanya Siti tidak selesa dengan keadaan yang mana peminat datang untuk bergambar atau mendapatkan tandatangan tatkala sedang meluangkan masa bersama keluarga.


"Syukur suami dan keluarga faham situasi seperti itu. Malah suami akan menolak Siti untuk melayani peminat terlebih dulu supaya mereka tidak tertunggu-tunggu.


"Namun tidak sesekali Siti menghampakan permintaan peminat kerana Siti sedar, kewujudan Siti hingga hari ini adalah kerana semangat mereka. Siti pernah menjadi peminat seperti mereka. Pastinya Siti faham."

Seram Siti:
"Peminat pun ada banyak jenis. Pernah sekali Siti diancam bunuh oleh seorang peminat fanatik Siti di Johor Bahru. Masa itu Siti baru selesai mengadakan persembahan bersama beberapa rakan artis lain. Ketika berjalan merempuh peminat yang berasak-asak menuju bas yang menanti kami, tiba-tiba Siti dikejutkan oleh rakan artis yang ada masa itu serta pengawal peribadi kononnya ada seorang lelaki lengkap dengan sebilah pisau menghampiri Siti.


"Memang takut dan trauma bila mengingatkannya. Namun Siti yakin itu adalah sebahagian daripada cabaran menjadi selebriti."

Alahai Siti:
"Apa saja yang Siti lakukan atau berlaku pada diri Siti pasti mendapat liputan media. Pengumuman perkahwinan pun sudah penuh satu dewan oleh pihak media. Benar Siti rasa sangat bertuah dengan rezeki yang ada, namun ada kalanya benda remeh-temeh pun terpampang di dada akhbar membuatkan Siti takut jika peminat muak. Namun Siti anggap itu adalah lumrah yang sudah tertulis pada Siti."

Geramnya Siti:
"Gosip melampau yang tidak masuk akal memang boleh membuat Siti geram. Ada saja yang datang dengki atau menabur cerita mengarut. Pernah sekali Siti terduduk apabila tanpa sebab isu kononnya Siti merokok tersebar luas. Entah dari mana kisah ini, namun itulah hakikat yang terpaksa Siti telan. Belum lagi apabila ada pihak mendakwa kononnya rumah tangga Siti bergolak. Pening juga bila memikirkannya, namun itu adalah tanggungjawab bagi Siti untuk menerangkan segala kekalutan supaya peminat tidak terus menabur persepsi.


"Cerita mengarut yang datang bukan sekali, malah ada ketikanya bertubi-tubi menembak Siti tanpa belas. Selalunya ia lebih cenderung kepada gosip peribadi dan tidak berkaitan dengan soal kerja. Alhamdulillah, peminat sentiasa faham dan mereka tidak henti-henti menyokong Siti walau apa saja gosip yang melanda."

Air mata Siti:
"Pastinya insan paling berharga dalam hidup iaitu arwah abah pergi buat selama-lamanya. Itulah semangat Siti selama ini yang mendukung segala kepayahan dan cabaran sepanjang bergelar anak seni. Apapun Siti reda dengan ketentuan-Nya."

Rajuk Siti:
"Bagai hendak berhenti saja daripada dunia nyanyian apabila ada pihak mempersoalkan kemenangan Siti. Trofi atau pengiktirafan yang Siti dapat dalam majlis penganugerahan bukan permintaan Siti, namun itu semua adalah cenderahati atas usaha dan hasil kerja Siti.


"Namun apabila sesetengah pihak dan paling menyedihkan ada sebahagian daripada teman artis merungut akan senario itu, menyebabkan Siti rasa sedih dan merajuk.


"Bila difikir semula, adakah ia berbaloi untuk diri Siti? Justeru Siti hanya optimis dan sentiasa bersikap terbuka akan apa saja tanggapan orang luar terhadap Siti."

Pengorbanan Siti:
"Percaya atau tidak, Siti korbankan usia remaja di pentas nyanyian. Itu adalah pengorbanan yang Siti lakukan. Mana tidaknya, sejak berusia 17 tahun lagi Siti menyanyi secara serius dan kini genap 15 tahun Siti hidup dengan kerjaya tanpa langsung menikmati zaman remaja seperti teman lain.


"Ada kalanya terbit juga rasa cemburu apabila mengenangkan teman sekolah yang lain berpeluang merasa aktiviti remaja bersama-sama, sedangkan Siti sibuk mengisi jadual persembahan, sesi fotografi dan rakaman album di studio.


"Bagaimanapun, tidak sesekali Siti menyesal kerana keputusan ini adalah pilihan Siti. Setidak-tidaknya Siti matang dengan segala pengalaman dan ranjau yang Siti tempuh selama ini."

Sengsara Siti:
"Menjaga hati banyak pihak adalah sesuatu yang bukan mudah. Siti perlu menjadi sebaik mungkin, terutama buat peminat dan juga pihak lain yang sentiasa menyokong kerjaya Siti.


"Keluarga juga adalah keutamaan bagi Siti selain teman lain yang tidak henti-henti memberi semangat pada Siti. Justeru ada kalanya penat sangat hati dan perasaan untuk sentiasa menjadi yang terbaik pada orang lain."

Malunya Siti:
"Mengenang semula cerita cinta yang pernah mengaitkan Siti dengan beberapa lelaki sebelum ini. Tidak perlu Siti jelaskan lagi kerana apa yang berlaku adalah mustahil untuk Siti padamkan.


"Itulah magisnya peristiwa yang pernah singgah dalam hidup Siti hingga mematangkan Siti dalam membuat keputusan."

Tamparan Siti:
"Biarlah sejarah yang pernah melekat dalam hidup Siti dijadikan sebuah koleksi arkib kerana walau macam busuk pun baunya, ia tetap satu kenangan terindah buat Siti. Isu Siti bertudung, enggan bergambar dengan artis lelaki atau mengahwini suami tercinta juga tidak pernah menjadi kudis bagi Siti.


"Yang penting, Siti ingin menumpukan sepenuh tumpuan pada impian yang belum tercapai. Pastinya Siti mengharapkan cenderahati daripada-Nya dalam perkahwinan Siti.


"Siti juga berharap peminat atau sesiapa saja menyokong dan menolong menguatkan semangat saya untuk terus mengembangkan kerjaya sebagai ahli perniagaan berjaya pula.


"SimplySiti adalah bukti kesungguhan Siti dalam meneroka satu lagi bidang yang pernah menjadi impian Siti sewaktu dulu. Alhamdulillah rezeki itu sampai juga."

Rahsia Siti:
"Tiada rahsia atau strategi tertentu yang Siti amalkan untuk dikongsi bersama. Yang menjadi kewajipan atau kemestian adalah usaha yang tidak pernah ada noktah. Malah usaha itu perlu digandakan. Itu adalah Siti, terutama sebelum berumahtangga dulu. Hari-hari Siti kerja tanpa cuti.


"Mungkin juga berkat doa ibu bapa dan keluarga kerana Siti percaya jika kita menyumbang senyuman kepada mereka, tidak kira dalam apa juga cara, rezeki itu pasti menyusul. Ibu bapa dan keluarga tidak pernah lokek berdoa semoga anaknya senantiasa bahagia dan gembira."
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails