Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dulu lain, sekarang lain-Almy Nadia


Terima kasih bang... terima kasih.” Tak habis-habis si gadis bernama Almy Nadia, 24, ini mengungkapkan kata-kata itu kepada saya. Mana tidaknya. Bukan mudah untuk seseorang artis baru diberi peluang menjadi penghias muka depan Pancaindera . Saat saya bertanya kepada Almy, mahu atau tidak merebut peluang itu, dia tidak menolak.

Yalah... sebagai artis baru memang kena kerja kuat. Tak boleh main-main dik. Populariti itu penting. Jangan nak “kekwat” (menyombong) dalam industri hiburan sudah. Takut nanti orang benci.

Mengenali Almy secara peribadi, saya suka karakternya. Dia tidak menyombong serta tidak lokek dengan senyuman.

Kuncinya satu. Dia ingat pesan ibu, jangan buat orang benci nanti kena caci. Tambahan pula dengan wartawan yang akan membantu peningkatan kerjayanya sebagai anak seni.

Bukan nak puji tapi itulah sikap sebenarnya. Ya... mungkin sifat orang Utara memang macam tu, ramah terlebih, macam saya. Saya pun orang Utara... Jangan marah...!

Saya berkata dalam hati untunglah cik abang mana yang dapat berdamping dengan Almy Nadia. Dah la cantik, baik pula tu. Fizz Fairuz, amacam?

Bila nak kahwin?

Satu Malaya sudah tahu, siapa lelaki perkasa (perkasa ke?) yang berjaya mencuri hati gadis dari Pulau Pinang ini. Siapa lagi, kalau bukan jaguh drama, Fizz Fairuz, 31.

Ketika diajak berborak mengenai hubungan mereka itu, Almy seperti malu-malu. Apa nak dimalukan, benda yang betul. Lagipun memang dah sah kalian bercinta.

Saya bertanya satu soalan. Sayang ke pada Fizz? Jawapannya: “Gila tak sayang?” Haa... haa... orang bercinta memang macam tu. Kentut pun bau wangi, betulkan? Saya tak pernah bercinta, tak pernah bau kentut orang.

Saya juga bertanya kepada Almy sejauh mana cintanya terhadap Fizz. Kata Almy susah nak ukur tetapi tidak dinafikan perasaan sayang itu kian berbunga.

Selepas kisah cinta mereka itu diketahui umum, Almy tak menafikan dia menerima tekanan keluarga.

Setiap kali balik kampung, ibu akan bertanya, bila nak kahwin, bila nak kahwin?

Yalah... si ibu rasanya tidak sabar untuk mendapat seorang lagi menantu. Maklum sajalah, Almy anak sulung daripada empat beradik. Adiknya yang nombor dua sudah pun berkahwin dan ada seorang anak.

Jawab jelita ini senang saja. Masih belum masanya untuk menjadi isteri orang.

Nak pula Almy baru hendak mencipta kejayaan dalam seni. Masih merangkak-rangkak lagi. Sebab itu dia terpaksa berfikir banyak kali soal itu.

Kata Almy, bukan dia seorang tetapi kekasihnya si Fizz Fairuz pun begitu.

Walaupun Fizz sudah lama bergiat dalam seni tetapi sejak dua tahun kebelakangan ini barulah orang diluar sana nampak kehebatannya.

Itupun selepas kejayaan dia dalam drama Nur Kasih, gandingan mantap dengan hero tegap, Remy Ishak.

“Fizz pun tengah naik. Dia masih nak kerja kuat. Nak cari rezeki dan kumpul duit banyak-banyak. Sebab itulah kami masih tak fikirkan lagi soal kahwin.

“Macam saya ni perempuan. Tak kisah sangat. Bila pun boleh kahwin tapi dia tu lelaki. Tanggungjawab dia agak besar.

“Nak kahwin tu boleh tapi tak mudah. Sebelum kahwin kena ada persiapan rapi. Kena ada rumah sendiri dulu. Macam-macam la. Sebab itulah dalam waktu terdekat kami kena ketepikan dulu hasrat untuk berkahwin.

“Yang perlu ialah bekerja keras untuk cari duit dan ada harta dulu,” ujarnya.

Bercerita soal cemburu

Saya masih ingat semasa pertemuan kami tahun lalu, saya bertanya kepada Almy adakah dia mempunyai perasaan cemburu yang kuat?

Tanpa mahu berselidung dan dengan wajah yang agak sedih, dia mengaku. Kadang-kadang sakit juga hati bercinta dengan Fizz yang ramai peminat.

“Memang saya cemburu la bang sebab Fizz ni ramai sangat orang suka. Dia pula melayan semua orang,” kata Almy pada waktu itu.

Dan semasa mengadakan sesi fotografi dengan saya baru-baru ini saya bertanyakan soalan yang sama.

Masih adakah lagi perasaan cemburu yang kuat? Kali ini Almy menggeleng. Mungkin hubungannya dengan Fizz sudah serasi dan masing-

masing boleh menerima segala kelemahan dan kekurangan yang ada.

“Saya dah tak cemburu lagi sebab saya dah faham tugas dia. Yalah bang... saya ni wanita. Semua wanita ada perasaan cemburu yang kuat,” katanya.

Menurut Almy, dia selalu tunjukkan perasaan cemburunya yang kadang-kadang membuatkan Fizz tidak menyukainya.

Tetapi Almy juga mengetahui, si kekasih pun lebih kurang, dua kali lima juga, seorang yang cemburu tetapi tidak menunjukkan perasaan tersebut.

“Mula-mula berkawan tu susah juga. Saya ni suka orang ambil berat. Suka orang sayang. Fizz tak macam tu. Lama-lama saya cuba fahami karakter dia dan syukurlah, sekarang tak ada masalah sangat dalam hubungan itu,” jelasnya.

Kata Almy lagi antara sifat Fizz, kekasihnya itu tidak suka diganggu ketika dia sedang bekerja ataupun ketika sibuk di lokasi penggambaran.

Kadang-kadang pernah juga hampir seminggu mereka tidak berbalas SMS (khidmat pesanan ringkas) dan tidak berborak menerusi telefon.

Jika keadaan itu berlaku, Almy faham, Fizz tentunya tidak mahu diganggu kerana dia sedang mencari rezeki.

Tetapi biasanya selepas habis sibuk itu, tentu sekali Fizz akan mencari juga Almy untuk mengubat kerinduan itu.

Ujian dalam berkawan

Kedua-duanya memilih dunia lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa tentu sekali akan timbul masalah apatah lagi jika kedua mereka berada sama di set penggambaran yang sama.

Perkara itu memang berlaku apabila mereka digandingkan berdua untuk drama Persepsi yang akan bersiaran menerusi slot RTM tidak lama lagi.

Dalam drama itu mereka menjadi pasangan kekasih.

Tidak mahu menipu, ujar Almy memang “seksa” berlakon dengan kekasih. Kadang-kadang bagaikan susah hendak menghayati watak.

Tetapi Almy mempunyai satu petua. Setiap kali keluar rumah untuk ke set penggambaran drama itu, dia akan berselawat beberapa kali.

Dan ketika di lokasi penggambaran pula Almy cuba buang perasaan terhadap Fizz jauh-jauh.

“Semasa di set, saya anggap Fizz macam orang biasa. Macam pelakon-pelakon lain. Dengan cara itu barulah saya boleh menghayati watak dengan baik. Kalau tidak, mesti saya tak boleh berlakon,” katanya.

Sebelum menutup pertemuan, saya berpesan kepada Almy supaya menjadi artis yang berjaya dengan bakat. Jangan buat hal, jangan timbulkan masalah.

Yang paling penting jangan kuat berangan. Takut nanti jadi macam Mat Jenin, mati jatuh pokok kelapa.

Kata Almy, ya. Dia akan cuba menjadi pelakon yang baik, hebat dengan bakat. Saya pun berkata juga ya... Saya nak tengok sejauhmanakah kebenaran janji itu.

Semoga sukses untuk anda Almy dalam dunia seni.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails