Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Amy kerugian berjuta ringgit


Ini saat yang cukup tragik dalam kehidupan saya. Sepanjang menjadi orang seni inilah saat yang tidak boleh saya lupakan. Ia meragut kebahagiaan saya serta membuat saya rasa kehilangan besar."

Itulah luahan jujur penyanyi rock tersohor tanah air, Amy Search berhubung kekecewaannya akibat ditipu.

Penipuan itu membabitkan beberapa skim pelaburan yang menyebabkan dia kerugian melebihi RM2 juta sepanjang tahun 2008.

Malah sebidang tanah seluas tiga ekar yang dirancangnya untuk dibangunkan dengan yayasan tahfiz juga hampir lebur.

Kehampaan jelas terpancar di wajah pelantun lagu Isabella itu lebih-lebih lagi apabila terkenangkan nasib malangnya itu.

Sepanjang tahun berkenaan akui Amy, mula-mula dia ditipu oleh seorang agen pelaburan mengaitkan British American Tobacco (BAT) melibatkan pelaburan hampir RM1 juta.

Tidak cukup dengan itu Amy sekali lagi menerima nasib serupa apabila ditipu oleh sebuah kumpulan pelaburan mengaitkan Bank Instrument bernilai RM500,000.

Penipuan tersebut memalit arang pada nama baiknya apabila jumlah sebenar kerugian yang turut melibatkan penyertaan rakan-rakannya melebihi RM4 juta.

Entah di mana silapnya, Amy sekali lagi terduduk kecewa apabila seorang agen pelaburan meyakinkan untuk memulihkan keadaan tetapi akhirnya dia mengalami kerugian RM780,000.

Bagaikan tiada kesudahan, nasib malang terus menimpa bapa pelakon Nabila Huda ini apabila sekali lagi dia ditipu rakan kepada seorang kenalannya yang merayu untuk meminjam wang RM240,000 dan berjanji memulangkan dalam tempoh empat hari.

Namun, sehingga kini lenyap begitu sahaja.

Dengan nada perlahan, Amy meluahkan rasa kesalnya apabila ada pihak yang sanggup menipunya sedangkan wang tersebut dilaburkan demi menampung perbelanjaan yayasan tahfiz yang telah lama dirancangnya sebelum ini.

Katanya, pelan lantai dan lukisan tentang projek tersebut yang telah sempurna terpaksa diperap kerana lokasi tapak impiannya di Johor hampir tergadai.

"Inilah yang membuatkan ada ketika saya menitiskan air mata mengenangkan tanah tersebut yang saya rasa cukup cantik sebab kawasannya sedikit berbukit dan mempunyai pelbagai tanaman.

"Saya mengenali mereka yang menipu saya dalam waktu singkat. Saya sendiri tak tahu bagaimana boleh terpedaya sehingga sanggup mengeluarkan wang berpuluh-puluh ribu ringgit untuk diberikan kepada mereka.

"Bila difikirkan, saya rasa seperti dipukau kerana mudah mempercayai mereka," katanya dalam nada kesal dan kecewa.

Tragedi hitam tersebut bermula apabila dia diperkenalkan kepada agen-agen tersebut untuk membuat pelaburan menyokong pembiayaan RM3 juta untuk projek terbabit.

Jelas Amy, segalanya serba tidak kena apabila selama dua tahun menunggu hasilnya cukup mengecewakan.

Mujur kata Amy, tanah tiga ekar miliknya itu kini telah dijelaskan separuh pembayarannya namun, itu belum cukup untuk Amy menarik nafas lega kerana separuh lagi pembayaran masih belum dijelaskan.

Enggan meleburkan hasrat membina tahfiz, janji Amy, biar sesusah manapun dia akan tetap berusaha untuk melaksanakan hasrat tersebut memandangkan itulah niatnya sedari dulu.

"Saya memang serik dan tidak akan terlibat dengan mana-mana pelaburan. Mereka datang dengan 'watak-watak' yang kita tidak akan sangka akan menipu.

"Ada yang datang menjanjikan macam-macam harapan tetapi akhirnya lebur begitu sahaja.

"Bila orang tahu kita ada duit, banyak pihak yang akan cuba mendekati dan menipu.

"Biarpun banyak kali ditipu, saya tetap bersyukur kerana setakat ini Allah beri secukupnya kepada saya dan keluarga. Ada sahaja rezeki dan jalan yang dipermudahkan oleh Allah," kata Amy yang telah membuat laporan polis terhadap kes penipuan yang dialaminya.

Rancang cipta lagu buat cucu

Ucapan tahniah tidak lupa dihulurkan kepada Amy sementelah dia kini telah bergelar datuk.

Anak sulungnya, Nabila Huda selamat melahirkan bayi sulungnya yang diberi nama Kheisya Laila pada tanggal 12 Mei lalu.

"Alhamdulillah saya dapat cucu perempuan. Menanti Nabila melahirkan anak sulungnya cukup membuatkan saya berdebar.

"Kheisya bukan sahaja cucu sulung untuk saya sahaja tetapi cucu sulung buat anggota Search yang lain.

"Lagu untuk Kheisya Insya-Allah akan ada. Nantikan sahaja," kata Amy mengakhiri perbualan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails