Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ilyka Sistematik

CINTANYA terhadap dunia nyanyian tidak pernah bernoktah. Itulah jiwanya dan kecintaan itu akan terus hidup selagi nyawa dikandung badan.



“Puas bila dapat beraksi di pentas dan melihat penonton terhibur dengan nyanyian saya. Biarpun tidak lagi menyanyi di lounge dan lobi hotel, sesekali saya akan menonton persembahan rakan-rakan.

“Gian pula bila lihat mereka menyanyi, jadi setiap kali ke sana saya akan sumbangkan satu atau dua lagu. Maklumlah ketika aktif menyanyi di lounge dulu, saya pernah bawa 40 lagu satu malam.


“Di pentas kecil itulah saya memperbaiki persembahan dan pastinya ia meninggalkan banyak memori manis," kata Ilyka atau nama sebenarnya, Datin Zuraila Mohamed Yassin, 37.

Pemilik tubuh kecil molek ini pernah merakamkan album, Diusung Duka pada 1993. Bernaung di bawah syarikat rakaman NSR, taruhan Ilyka di pentas komersial kurang menjadi sehinggakan memaksanya beralih nasib ke lobi hotel Pan Pacific pada 1998.

Percubaannya menampakkan sinar bahkan dia diterima menyanyi di beberapa hotel ternama sebelum nekad berhenti pada 2005.


Dua tahun kemudian, anak jati Johor Bahru ini kembali merakamkan single ciptaan Ajai, Bila Ada Denganmu dan berhasrat muncul dengan album penuh.

Bagaimanapun impian berkenaan terpaksa ditangguh atas beberapa sebab tidak dapat dielakkan dan pada awal 2010 dia merakamkan single Sistematik hasil sentuhan komposer popular itu.

“Biarpun terpaksa menunggu lama, saya tidak berputus asa. Alhamdulillah, perancangan kami yang tertangguh menampakkan tanda-tanda positif dengan kemunculan Sistematik.

“Kali ini saya tampil dengan konsep jauh berbeza iaitu teknotronik yang mampu memenuhi cita rasa penggemar muzik masa kini.

“Kalau dulu saya biasa merakamkan lagu perlahan, sudah sampai masanya saya melakukan perubahan yang lebih segar. Bagi saya Sistematik cukup istimewa dan saya dimaklumkan sejak dimainkan lebih sebulan di radio, lagu ini mendapat reaksi positif pelbagai peringkat usia pendengar.

“Lebih menarik, ada yang menggunakan lagu ini sebagai muzik latar di gimnasium,” katanya.

Kehadiran pendatang baru yang bersilih, tidak sedikitpun mengundang risau di hatinya yang mahu kembali aktif dalam industri.

Bagi Ilyka, lebih ramai bakat baru lebih baik kerana industri hiburan tanah air akan terus berkembang. Teruja hatinya setiap kali bertemu penyanyi baru ketika beraksi di pentas. Biarpun ada antaranya menyangka dia pendatang baru, Ilyka tidak berkecil hati.

“Ada juga artis baru yang tak kenal saya tetapi bila nama saya diumumkan barulah mereka tahu saya Ilyka yang pernah menyanyi belasan tahun dulu. Terus-terang saya tidak kisah malah tak pernah kecil hati pun kerana mereka masih muda. Ketika album pertama saya dilancarkan mereka masih kecil, jadi tak perlu ambil hati,” katanya yang turut berbakat dalam bidang lakonan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails