Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Alyah Ekspresi berani


KARANG-KARANGAN dasar laut itu kecil, tarinya meliuk mengikut alun gelombang dan cantik bersinar kala menyerap aura mentari. Karang itu bukan lemah bahkan gelombanglah yang menggarami tubuhnya, membajai akar diri menjadi semakin kuat hari demi hari.

Sekecil dan seindah ciptaan alam itulah ada satu nama sedang ingin bersinar. Lebih 10 tahun dia terkapai-kapai dalam pencarian, cuma dua tahun lepas, perhatian mula tertancap buat batang tubuhnya.

Lantunan Tidak Mungkin Kerana Sayang tidak ubah seperti pelampung untuk wanita bertubuh kecil bernama Alyah melawan gelora seni. Tidak keterlaluan, lagu itulah yang menjadi peluru untuk pemilik nama sebenar Norhasliah Abu Hassan itu menawan telinga, mata dan hati peminat terhadap dirinya.

Dalam kategori artis yang sebaya dengannya, Alyah masih tidak setanding Misha Omar, Dayang Nur Faizah atau Siti Sarah namun melihat momentum yang sedang didaki, dia antara bintang yang sedang sukses waktu ini.

"Saya tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti wajah saya mahu dirakamkan menjadi penghias muka depan majalah hiburan atau sisipan hiburan di akhbar mingguan.

"Sungguh, saya tak pernah menyangka. Selama ini, orang asyik kata saya ada vokal yang baik, tapi saya tidak dipedulikan.

"Sekarang sasaran saya untuk dikenali sudah menampakkan hasil. Kini dalam perancangan untuk menonjolkan jiwa dan rasa sebenar Alyah," katanya meletakkan Anugerah Juara Lagu dan Gah 1 sebagai satu ukuran pencapaian biarpun sekadar pencalonan.

Sedikit lambat mencipta populariti, kematangan pada usia 29 tahun mendidik Alyah matang memilih jalur muzik dan warna diri, tidak seperti ketika bernaung di bawah syarikat rakaman EMI sekitar awal tahun 2000 dulu.

Penonjolan sisi berbeza dan kesendiriannya adalah keberanian Alyah sendiri bermain eksperimental dalam gaya dan imej.

Bahan uji kaji

Tanpa segan Alyah mengaku pengikut Lady Gaga dan Rihanna. Sedikit sebanyak gaya dan cara bintang ternama itu jadi pinjaman Alyah mempersembahkan diri.

Sedang teruja mencuba elemen baru, bagaimanapun pengaruh luar itu harus disesuaikan dengan pembawaan sendiri. Dalaman sebagai orang Timur masih menebal di jiwa, itu yang masih dipertahankan.

"Soal tiru siapa, itu memang saya akui. Saya sukakan cara mereka lagipun sekarang ia sudah menjadi trend.

"Di jiwa, perasaan dan penyampaian nyanyian, ia masih datang daripada saya sendiri.

"Ketaranya apabila memilih untuk membawa imej berambut pendek. Mulanya takut, takut tidak terbawa tapi apabila respons positif yang diterima, kawan-kawan jurusolek dan pereka fesyen pula datang dengan idea yang macam-macam, saya mula selesa asalkan tidak terlalu seksi," terus-terang tuturnya.

Sengaja bermain eksperimentasi, tubuh genit Alyah disalutkan kostum unik rekaan Zery Zamri. Hasil tangan Bosco, Alyah bertukar imej. Ibaratnya, dia sedang sedia ke parti masquerade.

"Saya berani berpakaian begini sewaktu sesi fotografi," lontarnya ringkas. Masih terserlah sifat malu-malu, untungnya kali ini, dia dibekalkan topeng buat penutup wajah.

Memintas emosi penyanyi yang sedang mekar itu, simboliknya, dia bukan tidak mahu berdepan realiti. Sebaliknya, ketika pendakian sudah nampak puncak di hadapan, onak duri bukan lagi halangan.

"Saya tahu, ramai yang sedang memerhatikan peribadi saya, terkait kontroversi di sana sini, tidak berdisiplin dan bergaduh.

"Saya harus telan semua itu kerana ini jalan yang saya pilih. Saya yang mahu berada di tahap ini. Dulu, 10 tahun saya tidak dikenali.

"Saya merintih meminta peluang ditolak dengan banyak alasan. Apabila sudah mula dikenali, perkara sebegitu pula yang datang. Semua itu kecil berbanding 10 tahun saya bergelap," getus rasa Alyah.

Pernah satu ketika, dia dilihat sebagai penyanyi hilang arah. Sebuah album berjaya dirakam tetapi sepi tanpa promosi, penyertaan dalam One In Million 2 pula sekadar bertahan pada minggu ketiga.

Hilang arah

Sejarahnya bersama kumpulan The Fabulous Cats dan One Nation Emcee juga antara rujukan zaman kelabu Alyah.

Paling tragik, lelaki yang pernah hadir sebagai calon suami harus dilepaskan. Ikatan pertunangan yang dibina hampir setahun sejak tahun 2006, terlerai pada 2007. Semuanya hancur gara-gara kekeliruan sendiri.

"Lepas putus tunang, hidup saya tambah parah. Sudahlah baru keluar daripada kumpulan Fabulous Cat, kafe yang saya usahakan bersama kakak di JB terpaksa ditutup sebab saya tak mampu menguruskannya dengan baik.

"Melihat saya yang hilang punca, keluarga banyak membantu. Mencadangkan saya terbitkan album sendiri, jika tidak menjadi juga itu usaha terakhir saya," bicara Alyah mengundang nostalgik.

Atas usaha terakhir itu, harum bakatnya sedang kembang di mata semua. Alyah kini dalam proses mencari material terbaik untuk album terbaru tidak lama lagi.

Memilih konsep rock balada, Alyah juga menyimpan angan membentuk sebuah syarikat rakaman sendiri.

Tidak sekadar angan, sasarnya juga, untuk tempoh lima tahun akan datang, dia sudah di landasan kukuh dan mungkin sudah berada di sisi seorang lelaki bernama suami.

"Ya, saya sudah 29 tahun, lima tahun lagi pasti saya sudah 34, masa itu mungkin saya sudah berumah tangga.

"Tetapi lelaki yang akan hadir itu haruslah menerima tanggungjawab yang sedang saya pelihara," tutup perbualan Alyah membayangkan nasib Mohd. Alif, 4 tahun dan Naziatul Afiqah, setahun enam bulan, dua cahaya mata angkat yang dalam tanggungannya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails