Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aliff Aziz kesal tak sudah



SESAL dulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Kini, nasi sudah menjadi bubur. Penyanyi remaja, Aliff Aziz hanya mampu menggigit jari apabila tidak menerima satu sen pun daripada hasil jualan nada dering lagu popularnya, Sayang Sayang yang dikatakan berjaya mencapai 1.3 juta muat turun.

Aliff, penyanyi kedua yang mendapat kutipan muat turun tertinggi selepas penyanyi Aizat menerima 1.4 juta muat turun menerusi lagu Hanya Kau Yang Mampu. Sudah nasib Aliff, dia mendakwa dirinya `tertipu' dengan kontrak berat sebelah dan syarikat yang menguruskan kerjayanya di Singapura.

Tidak menyalahi takdir, Aliff akui: "Ini berpunca daripada kekhilafan diri saya. Saya akhirnya menyesal tak sudah apabila tidak menerima sedikitpun habuan daripada kejayaan lagu Sayang Sayang. Dulu, saya hanya menandatangani kontrak, saya tidak teliti hitam putih, sudahnya saya tanggung sengsaranya. "Ia boleh diumpamakan orang lain menikmati kemewahan atas penderitaan dan keperitan saya membina nama sebagai penyanyi. Hasil penat lelah saya menaikkan lagu Sayang Sayang tidak berbayar apabila tertipu dengan kontrak berat sebelah yang ditandatangani.

"Bagaimanapun, tiada guna menuding jari menyalahkan sesiapa, semuanya sudah berlalu. Saya perlu meneruskan perjuangan saya tanpa mengingati titik hitam yang pernah berlaku dalam kamus hidup saya.

"Saya akui bukan mudah saya mahu membina nama sehingga berada di tahap hari ini. Walaupun saya anggap lagu Sayang Sayang adalah tulang belakang kerjaya saya, tapi saya reda dengan ketentuan Tuhan. Mungkin bukan rezeki saya, rezeki orang lain.

"Perjalanan kerjaya saya terlalu beronak duri, bagaimanapun Tuhan Maha Kaya, setiap kesusahan pastinya dititipkan kejayaan. Tuah lagu Sayang Sayang membawa saya ke Malaysia, dikenali dan dilamar syarikat rakaman Sony-BMG untuk dahan bergantung.
"Nasihat saya kepada penyanyi baru, jangan terburu-buru nak jadi penyanyi apatah lagi menandatangani apa-apa kontrak tanpa menelitinya terlebih dulu.
Saya akui dulu saya agak terburu-buru mahu membina nama sebagai artis rakaman, jadi apabila tertipu dengan kontrak berat sebelah, saya kena terima akibatnya. Saya juga tidak bernasib baik kerana bertemu dengan mereka yang tidak jujur dan kaki putar alam."

Aliff juga mengakui hidupnya tidak terlepas daripada kontroversi yang mencalar imej dan reputasi diri. Gambarnya bercumbu dan berkucupan dengan seorang wanita tersebar di internet.

Secara jujur, Aliff yang kini terikat dengan Khidmat Negara di Singapura selama dua tahun akui: "Kontroversi itu sememangnya menjejaskan nama baik, saya terima pandangan serong orang luar. Ada yang menganggap saya kaki sosial, sukar bertukar perempuan dan macam-macam lagi. Saya akui itu adalah kesilapan terbesar yang pernah saya lakukan. Sekali lagi saya mohon maaf.

"Sejak itu, saya serik. Saya sukar nak percaya pada sesiapa lagi dan saya tahu ada cuba mensabotaj dan memalukan saya dan keluarga. Saya tahu hidup sebagai artis tidak mudah, setiap perilaku saya sering diperhatikan. Saya lebih berhati-hati supaya tidak mencetuskan kontroversi lagi."

Juara Anugerah 2007 itu berkata, sungguhpun terikat dengan Khidmat Negara selama dua tahun, tetapi album terbarunya, It's Aliff's Time sudah menemui peminat di pasaran. Album itu memuatkan tujuh lagu termasuklah sebuah lagu kolaborasi bersama Joanna berjudul Kalau Cinta.

Katanya, album bergenre pop dance itu menampilkan lagu Cinta ciptaan Francis H Cobb dan lirik Aiqa Halim menjadi single pertamanya.

"Walaupun sukar mahu mendapatkan lagu sehebat Sayang Sayang, tetapi saya tidak akan berhenti berusaha Mungkin lagu Sayang Sayang hanya datang sekali dalam seumur hidup. Bagaimanapun, saya percaya lagu Cinta mampu jadi sehebat Sayang Sayang jika dipromosikan.

"Biarpun terikat dengan Khidmat Negara, saya tidak mahu nama saya tenggelam begitu saja selama dua tahun. Jika ada masa terluang saya pasti akan mempromosikan album ini, saya tidak kisah kepenatan asalkan peminat tahu kewujudan album ini.

"Saya bersyukur apabila pihak pengurusan Khidmat Negara boleh memberi sedikit kelonggaran pada saya. Mereka faham kerjaya saya sebagai penyanyi dan sentiasa memberi sokongan," katanya.

Antara lagu yang dimuatkan dalam album It's Aliff's Time termasuklah Milikku Saja, Boom Boom Boom, Kau Yang Ku Mahu, Selintas Kau Pergi dan Puteri Khayalan Ku.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails