Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Diulit cinta-Scha dan Juliana


Scha, Juliana akui kini semakin selesa mempunyai kekasih, kerjaya berjalan seiring

SAMA cantik, sama popular dan sama-sama sedang bercinta! Scha, 27, dan Juliana, 21, masing-masing berdarah kacukan, kedua-duanya laris di kaca TV, filem dan pentas peragaan, kini mereka menjadi ayam tambatan Astro apabila dipilih mengacarakan program hiburan terbaru, Kata Kau dan Era TV menerusi stesen berbayar itu. Mereka terus bersemangat melayari kerjaya seni, lebih-lebih lagi kekosongan di hati sudah berpenghuni.

Namun, yang jelas bagi Scha mahupun Juliana, dalam hati ada bunga apabila kedua-duanya sedang diulit bahagia dengan pasangan masing-masing. Scha selepas melalui episod duka dalam percintaannya sebelum ini, kelihatan manja di sisi pengacara dan pelakon kacak, Awal Ashaari, manakala Juliana tidak lagi kesepian selepas hati dilukai apabila dirinya kini setia ditemani penyanyi popular, Sam Bunkface. Kedua-duanya juga teruja apabila diberi peluang bergandingan buat pertama kali menerusi sesi fotografi ini. Kali terakhir mereka bekerjasama kira-kira tiga tahun lalu apabila menjayakan komersial TV, Nokia. Namun, selepas itu mereka belum pernah dipertemukan atas tiket kerja, sehinggalah B*Pop menemukan dua jelitawan ini di tengah padang golf bertaraf elit di pinggir ibu kota.

Sekalipun kedua-duanya tidak pernah menyembunyikan hubungan cinta daripada pengetahuan peminat dan media massa, namun Scha mahupun Juliana, sehingga hari ini masih keberatan menjayakan fotografi yang diatur khusus bersama pasangan masing-masing. Pun begitu, sekiranya menemui Scha bersama Awal dan Juliana di sisi Sam pada sebarang majlis hiburan atau terserempak di mana-mana, mereka tiada halangan bergambar sama.

Setiap kali diajukan soalan adakah Scha dan Awal pasangan kekasih, kedua-duanya tidak pernah menafikan. Malah terus selesa melabel hubungan mereka semakin intim dan dalam masa sama masih mengenali hati budi masing-masing sebelum membuat keputusan mengubah status diri daripada solo kepada berkahwin.

“Jujurnya saya tidak mahu bercerita mengenai kisah peribadi lebih-lebih lagi soal cinta secara sangat terbuka. Saya dan Awal juga tak mahu dikatakan terlalu menunjuk-nunjuk hubungan kami. Justeru, memang saya akui, keberatan untuk bergambar bersama Awal menerusi fotografi yang diatur khusus buat kami.
Belum sedia diganding sebagai pengacara

“Memang banyak pelawaan daripada rakan wartawan, namun saya minta maaf sebab terpaksa menolak permintaan mereka untuk menggandingkan kami. Begitu juga pelawaan daripada beberapa produksi yang ingin menggandingkan saya dan Awal sebagai pasangan pengacara rancangan hiburan TV, berlakon drama dan filem, namun buat masa ini kami belum bersedia, tapi tidak pernah berniat menolak rezeki.

“Saya tak mahu terlalu kerap dilihat bersama Awal menerusi pelbagai media massa, lama kelamaan orang jemu! Sekiranya saya dan Awal sering bergandingan, peminat tentunya lebih memperkatakan perihal hubungan kami, manakala soal kerja bukan lagi agenda utama. Saya tak mahu soal peribadi over shadow kerjaya kami berdua.

“Cukup-cukuplah pengalaman lalu apabila ia banyak meninggalkan pengajaran berharga kepada saya. Sekalipun peminat melabel saya dan Awal sebagai pasangan kekasih, namun saya sentiasa berhati-hati dalam menjalin perhubungan. Saya tidak mahu lagi beriya-iya menggembar-gemburkan rasa cinta di hati masing-masing, namun akhirnya tidak ke mana-mana, hanya penyesalan semata-mata,” bicara Scha penuh makna.

Adakah Scha dan bekas kekasihnya, aktor Fahrin Ahmad masih berhubungan atas dasar teman sesama artis? Scha mengakui, segala bentuk perhubungan terputus sama sekali, tiada ‘audio’ antara mereka! Justeru, apa kekurangan Fahrin dan kelebihan Awal?

“Saya bukan bermusuh dengannya, tapi hakikatnya dia tidak lagi penting dalam kehidupan saya, justeru buat apa saya nak fikir lagi. Cukup-cukuplah. Saya juga tak pernah membandingkan antara dirinya dan Awal kerana kedua-duanya dibesarkan menerusi latar belakang keluarga yang berbeza,” kata Scha yang menyerahkan masa depan hubungannya bersama Awal kepada jodoh dan sentiasa bersedia berdepan kemungkinan.

Juliana enggan kisah cinta ‘dipromosi’

SEMENTARA itu, Juliana lebih bersikap terbuka apabila berbicara hubungannya bersama Sam apabila secara terang-terangan mengakui mereka adalah pasangan remaja yang sedang bercinta, namun dia juga sama seperti Scha, pasti menolak setiap pelawaan daripada media massa yang ingin menggandingkan mereka secara eksklusif untuk tatapan peminat.

“Saya tidak pernah menafikan, ya saya adalah kekasih Sam, kami sedang bahagia bercinta, Tapi, tidak perlulah ‘diadaptasikan’ kepada satu sesi fotografi khas yang diatur untuk kami semata-mata. Cukuplah kalau orang tahu, saya dan Sam bercinta menerusi pengakuan kami sebelum ini. Bagi saya, pengakuan itu tidak perlulah disokong dengan fotografi, saya khuatir nanti orang bosan membaca kisah cinta kami.

“Sebaliknya saya dan Sam tidak pernah menolak untuk bergambar sama sekiranya menemui kami pada sebarang acara hiburan. Contohnya pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 di Genting Highlands, baru-baru ini, kami tidak pernah mengelak apabila lensa kamera dihalakan kepada kami.

“Cuma saya tidak mahu all-out ‘mempromosikan’ hubungan cinta kami atau bercerita secara terperinci mengenainya. Sekalipun kami mengaku pasangan kekasih, tapi bagi saya perhubungan saya dan Sam perlu ada ruang peribadi.

Pasangan artis lain pun bercinta, justeru kami tak mahu orang mula bercakap, asyik-asyik muka saya dan Sam dalam surat khabar atau majalah hiburan. Asyik bercerita kisah cinta, karier seni tak sentuh pun!,” kata Juliana.

Sam yang asalnya memulakan kerjaya sebagai artis menerusi band indie, beberapa kali pernah terpalit cerita kurang enak, justeru tidakkah Juliana terkena tempias gara-gara menjalin hubungan cinta dengan pemuda berkenaan?

Kata Juliana, dunia seninya sebagai pelakon dan pengacara, jauh berbeza berbanding Sam yang menumpukan tumpuan 100 peratus kepada industri muzik, justeru, dia tidak pernah mencampuri urusan yang membabitkan Sam mahupun Bunkface.

“Saya sedar, macam-macam kritikan negatif dilemparkan kepada band indie, namun saya tidak pernah membabitkan soal peribadi dengan kerjaya Sam. Namun, sebagai orang yang rapat dengannya, saya sering menasihatinya jika berasakan dia berada dalam keadaan tekanan. Selagi masalahnya tidak menyusahkan hidup kita, saya lebih selesa bertindak sebagai pendengar yang setia daripada membebel sehingga mengeruhkan lagi keadaan,” kata Juliana yang kini namanya semakin melonjak menerusi drama bersiri, Sayang Cendana di TV3.

Info Scha

NAMA SEBENAR: Sharifah Norazean Syed Mahadzir
TARIKH LAHIR: 30 Mei 1983
ASAL: Sungai Petani, Kedah
DARAH CAMPURAN: Arab (bapa) dan Cina (ibu)
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
DRAMA: Bella, Honeyz, Awan Dania, Naik Hantu, Awan Dania 2 dan Kita Carefree (setiap Isnin, jam 10 malam di Astro Ria)
FILEM: Antoo Fighter: Amukan Drakulat, Histeria, Papadom, Evolusi KL Drift 2, Libas (belum tayang), Awan Dania The Movie (bakal menjalani penggambaran) dan Aku Bukan Tomboy (bakal menjalani penggambaran)
PENGACARAAN: Chopp!, Sehati Sejiwa, Sehati Berdansa 3 dan Kata Kau (mulai 19 Jun, setiap Sabtu, jam 10 malam di Astro Ria)
KOMERSIAL: Rexona, Hotlink, Watson, Oral-B, Nokia, Celcom dan My EG
DUTA: Bio Essence

Info Juliana

NAMA PENUH: Juliana Sophie Johari Evans
TARIKH LAHIR: 5 Julai 1989
ASAL: Petaling Jaya, Selangor
DARAH CAMPURAN: Inggeris (bapa) dan Melayu (ibu)
KELUARGA: Bongsu daripada tiga beradik
PENDIDIKAN: Pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway, Petaling Jaya
DRAMA: Kami The Series, Ghost, Kasut Tumit Tinggi, Sayang Cendana (setiap Isnin hingga Khamis, jam 4.30 petang di TV3) dan Cheritera (belum disiarkan)
FILEM: Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja Returns (belum tayang) dan Halilintar (bakal menjalani penggambaran)
PENGACARAAN: E-Zone, Majalah Moral, Bintang Kecil Raya, Remaja dan Era TV (setiap Khamis, jam 11 malam di Astro Ria)
KOMERSIAL: Tracia Eternal, Fair & Lovely, Nokia 2600 dan Clean & Clear
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails