Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

'Saya akan jaga ibu sampai akhir hayat'



Pelakon yang semakin mencipta nama besar, Shaheizy Sam amat sanjungi pengorbanan ibunya

SYURGA di bawah telapak kaki ibu. Ibu bukan sekadar ibu, tetapi ibu juga tempat bermanja, mengadu masalah, menagih kasih sayang dan mendapatkan nasihat. Biar segunung intan dilambakkan, jasa ibu tidak mungkin terhitung kerana pengorbanan ibu tidak ternilai oleh harta dunia. Setiap anak harus ingat bahawa ibu bergadai nyawa ketika melahirkan kita...

Sempena Hari Ibu yang disambut 10 Mei setiap tahun, Hero Malaya baru, Shaheizy Sam yang kini mengecapi populariti dan kemasyhuran hidup sebagai anak seni tidak pernah melupakan `hari penting' untuk meraikan bersama ibu tersayang, Khaty Fauziah. Biarpun tidak pandai membelikan hadiah dan melambakkan kemewahan tetapi Hari Ibu tetap diraikan sama ada makan malam mahupun menghabiskan masa bersama ibu dan adik beradik.

"Sama ada lambat atau cepat, saya dan adik beradik pasti meraikan Hari Ibu bersama mummy. Selalunya saya jarang membelikan mummy hadiah, saya tak tahu nak belikan apa. Tapi ada masanya, saya hadiahkan mummy minyak wangi, kasut mahupun beg tangan kesukaannya.

"Saya fikir daripada mummy tak pakai hadiah pemberian saya, lebih baik saya berikan mummy duit dan belilah apa yang diperlukan. Dulu saya kurang berlakon, pendapatan pun tidak seberapa, jadi apalah sangat yang dapat saya belikan untuk mummy. Apabila sudah ada rezeki lebih, keperluan mummy saya kena utamakan.

“Saya mahu membalas jasa mummy. Saya sedar walaupun segunung intan dan permata dilambakkan, jasa mummy melahir dan membesarkan saya dan adik beradik lain tanpa seorang suami di sisi tidak mungkin dapat saya balas.
"Mummy bukan saja ibu tetapi teman dan sahabat baik ketika susah senang. Mummy, seorang yang simple dan kepala `rock'. Ada kalanya kami adik beradik menggelarkan mummy `wakil rakyat' kerana sikap ramah dan mudah mesranya. Pantang ada orang luar tersenyum padanya, pasti dia menegur dan buat kawan.

"Bagaimanapun, jangan buat mummy `naik hantu', pasti satu kawasan perumahan akan mendengar suaranya, tak payah pakai mikrofon. Selalunya kakak, Zizie Ezette paling kerap kena marah, saya pula jarang sekali. Saya masih tinggal dengan mummy di Bukit Antarabangsa Kuala Lumpur. Jika ditakdirkan saya berkahwin suatu ketika nanti, saya tetap mahu tinggal bersama mummy. Saya mahu menjaga mummy sehingga akhir hayatnya," katanya yang sibuk dengan penggambaran Adnan Sempit The Series.

Khaty terharu anak hadiahkan Volvo

Khaty berkata, dia bersyukur dikurniakan empat cahaya mata yang sangat mengambil berat mengenai dirinya walaupun Joziet Ronalie dan Zizie Ezette sudah berumah tangga.

"Alhamdullilah, kehidupan tua saya semakin tenang apabila anak-anak sudah berkahwin dan membesar. Cuma tinggal Samzy Fuzette dan Sam saja lagi, tetapi bilalah anak-anak lelaki saya nak berkahwin, saya lihat hidup mereka cuma bekerja dan di rumah. Mereka tidak tahu bersosial, jauh sekali suka melepak, mana nak berjumpa pilihan hati.

"Sam pula memang sejak kecil perangainya agak pelik. Dia seolah-olah ada dunianya sendiri dan tidak kisah dengan orang lain, apatah lagi menyusahkan sesiapa. Sam, anak yang baik dan tidak pernah memberi masalah kepada saya. Masa kecil, Sam cepat belajar. Dalam usia dua tahun lebih, Sam sudah boleh mengeja dan membaca sikit-sikit. Dia genius orangnya. Cuma ketika meningkat remaja, Sam sudah mula berkawan dan selalu hilang, itu yang membuatkan saya risau tetapi Sam tak ke mana, selalunya bersama kawan-kawan yang juga anak jiran sebelah.

"Sam pula memang saling tak tumpah seperti bapanya, Allahyarham Abdul Samad Jaaman yang meninggal dunia pada 1994 akibat penyakit kanser. Walaupun arwah adalah bekas Timbalan Ketua Polis Selangor, dia seorang yang bersikap kelakar, tetapi serius. Sam dan arwah saling tak tumpah dari segi rupa dan perangai, cuma arwah bapanya tinggi, Sam pula rendah sedikit.

"Bukanlah nak memuji anak sendiri tetapi Sam cukup baik hati. Sebut apa saja yang teringin nak makan, pasti berkejar Sam pergi membelinya. Itulah rezekinya murah, dia tidak pernah berkira soal makan. Bagaimanapun, saya cukup terharu Sam pernah menghadiahkan saya sebuah kereta mewah pada Disember lalu. Dia pula hanya memandu sang kancil (Perodua Kancil), saya pula dibelikannya kereta Volvo model baru. Awalnya, saya tak terfikir Sam nak menghadiahkan saya kereta.

"Saya duduk di rumah sambil membelek majalah Motor Traders. Biasalah, Sam dengan nada lawak menyuruh saya memilih kereta disukai. Saya fikir Sam hanya bergurau sebab kami anak beranak selalu berjenaka. Keesokan, Sam tanya lagi, kereta apa yang saya suka. Saya terkejut, Sam serius nak membelikan saya kereta baru. Saya bertuah memiliki anak seperti Sam, keutamaannya pada saya. Kadang kala saya kasihan lihat Sam bersengkang mata bekerja, tetapi inilah masanya Sam nak mengumpul harta untuk masa depan," katanya dengan sebak.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails