Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Diana ingat pesan Mama


MUAL rasanya setiap kali disogok persoalan cinta. Kalau tidak kena pada orangnya, mungkin padah jadinya. Mujurlah aktres muda jelita ini faham senario dunia artis.


Pengalaman lima tahun dalam utopia seni mematangkan Diana Danielle Danny Beeson berdepan seribu kemungkinan pertanyaan.


Tambah pelakon kelahiran Houston, Texas, Amerika Syarikat ini, episod cinta masih terlalu jauh untuk dibicarakan. Bukan keberatan dikaitkan dengan mana-mana lelaki, artis yang mesra disapa D ini lebih berhati-hati supaya kesilapan lalu tidak berulang.


Saat ini, D yang mula dikenali menerusi filem Idola kira-kira lapan tahun lalu ketika berusia sembilan tahun, makin hampir dihambat kisah keintimannya bersama aktor kacak, Farid Kamil. Mahu atau tidak, D tidak mampu bersembunyi.


"Yang boleh saya katakan setakat ini adalah, hubungan saya dan Farid masih di peringkat persahabatan. Saya tidak mahu menafikan apa-apa, namun yang pasti kami sememangnya akrab dan saling mengenali hati budi masing-masing.


"Segala kisah hitam yang pernah menghimpit saya sebelum ini membuka mata saya supaya lebih berhati-hati dalam membuat keputusan. Saya tidak mahu menyalahkan sesiapa atau cuba membebankan diri dengan apa yang pernah berlaku. Saya banyak belajar daripada segala kontroversi yang pernah berlaku. Namun sekarang saya lebih rasional, matang dan optimis akan perkara rumit yang singgah dalam hidup saya.


"Saya masih muda dan pesan Mama selalu saya pegang. Kejar dulu apa yang saya inginkan. Letak segala perasaan atau rasa ingin bercinta itu kemudian kerana laluan di depan masih jauh. Insya-Allah jika ada berita baik, saya tidak keberatan berkongsi dengan peminat," kata gadis kacukan Melayu-Inggeris ini.


Perkenalan di lokasi kira-kira tiga tahun lalu di lokasi penggambaran filem Evolusi KL Drift mencetuskan bibit persahabatan antara Farid dan gadis yang pernah berlakon dalam Setem, Maut dan Bohsia: Jangan Pilih Jalan Hitam ini. Meskipun pernah gagal dalam mencari cinta sejati sebelum ini, ia tidak sesekali menakutkannya untuk melangkah sekali lagi.


Malah jurucakap produk kecantikan Nano White ini menafikan sekeras-kerasnya tawaran lakonan buatnya semakin perlahan kerana kegagalan berpaut pada cinta sebelum ini. Tegasnya, diamnya berisi untuk mencari perisai sendiri bagi terus berdiri pada masa depan.


"Bukan saya senyap kerana tiada tawaran, namun saya ada perancangan sendiri dalam menentukan hala tuju hidup. Saya masih muda dan tidak ingin ketinggalan untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.


"Justeru saya kini lebih banyak menumpukan perhatian pada pelajaran. Saya terlalu sibuk dengan jadual persekolahan buat masa ini. Bayangkan, setiap hari dari Isnin hingga Jumaat saya terikat dengan kelas dari pagi hingga jam 6 petang. Malah ada kalanya saya terpaksa menghadiri kelas pada Sabtu.


"Bagaimana untuk saya menerima tawaran? Saya tidak mahu terkejar-kejar atau menyusahkan pihak produksi dalam menyusun jadual penggambaran. Lebih baik saya fokus pada satu dan dunia lakonan akan saya tumpukan jika ada kelapangan saja atau cuti semesta," katanya yang juga pelajar jurusan Biosains di Universiti Nottingham cawangan Semenyih, Selangor ini.


Walaupun sibuk menelaah hingga diselar 'ulat buku' oleh ibunya yang juga pengurus peribadi, D masih sempat mencuri masa bagi tampil memenuhi undangan yang tidak pernah surut buatnya. Tidak sekali mengganggu waktu pembelajarannya, D tegas akan pendiriannya yang mengutamakan pelajaran berbanding populariti atau tawaran pentas seni.


"Siapa kata saya tidak berlakon? Cuma kini saya kurang aktif berbanding dulu. Namun saya masih sempat berlari pada hujung minggu untuk muncul dalam drama atau telefilem yang saya terima. Malah bulan depan ketika cuti semester, saya akan mula mengembara ke hutan di Pekan dan Kuala Lipis, Pahang selama dua bulan bagi menjalani penggambaran filem terbaru arahan U-Wei Shaari berjudul Hanyut bersama Sofia Jane, Chris Vance, Adi Putra, Khalid Salleh, Alex Komang dan Bront Palare.


"Malah tiga filem lakonan saya iaitu Kecoh Betul, ...Dalam Botol dan Magika akan ditayangkan tidak lama lagi. Alhamdulillah rezeki sentiasa ada buat saya. Jika ada kelapangan, saya masih hadir membuat fotografi bersama media.


"Sebenarnya ada baik juga jadual harian saya sibuk begini. Setidak-tidaknya saya dapat menapis setiap tawaran supaya kemunculan saya sentiasa memberi kelainan. Saya tidak mahu tampil serupa," katanya yang popular menerusi beberapa drama bersiri termasuk Air Mata Maria, Janji Diana, Farah Shakira, Sembilu Kasih dan Gol & Gincu.


Jolokan primadona filem Melayu masih jauh baginya meskipun tampil dalam pelbagai transisi lakonan. Berkali-kali artis yang bakal menjengah usia 19 tahun ini menegaskan, sandaran seumpama itu tidak pernah terlintas di benak fikirannya.


Melihat pesona yang ada padanya lengkap dengan peluang beraksi di layar perak yang masih belum menampakkan tanda suram, D punya kelebihan untuk menyelinap di antara yang terbaik. Malah gadis peramah yang juga penyanyi ini menyimpan angan-angan tinggi untuk menggenggam anugerah buat cenderahati atas usahanya sebagai pelakon selama ini.


"Pastinya anugerah Aktres Terbaik atau apa saja pengiktirafan seumpama itu menjadi paksi utama bagi setiap pelakon. Saya juga tidak ketinggalan kerana ia bagai pemangkin semangat untuk saya bekerja lebih keras. Mungkin saya terlalu muda dan jauh lagi perjalanan yang perlu saya tempuh untuk ke tahap itu. Namun saya sentiasa bersedia dan punya perasaan tidak sabar menanti apa juga halangan atau cabaran yang tersurat buat saya hari esok.


"Setakat ini saya bersyukur dengan segala peluang yang datang. Saya berjaya melakonkan watak berbeza setiap kali muncul baik di layar perak mahupun layar kaca. Terbaru, saya menongkah hutan belantara untuk menghidupkan watak Nina, anak kepada Sofia Jane yang jatuh cinta pada Dain lakonan Ady Putra. Peluang bekerja di bawah pengarah hebat seperti U-Wei serta berlakon bersama bintang besar membakar semangat saya untuk menampilkan sesuatu yang luar biasa.


"Bagaimanapun saya gementar untuk melihat maklum balas penonton yang menilai dua lagi lakonan saya yang bakal menjengah pawagam tidak lama lagi. Saya berpuas hati dengan lakonan saya untuk watak Dina dalam ...Dalam Botol sebagai gadis kampung yang tidak tahu kekasihnya seorang transeksual serta watak Diana, kekasih kepada Nabil bagi Kecoh Betul. Insya-Allah peminat boleh menilai peningkatan lakonan saya hasil daripada usaha kerja keras," katanya.


Komitmen dan karisma lakonan yang semakin menyerlah, penampilan menarik lengkap dengan penata gaya sempurna serta punya suara berbisik manja yang membuai selera pendengar, jelas gadis yang pernah popular dengan lagu Hanya Di Radio bersama Imran Ajmain sebelum ini bakal menerjah masa depannya dalam langkah penuh gaya dan tersusun.


Kisah kemelut cintanya sebelum ini hingga terpaksa berakhir di pintu pagar Balai Polis, isu penarikan diri dari gelanggang teater muzikal Natrah serta kata-kata nakal lain yang mengaitkannya, Diana Danielle tidak mudah melatah, sebaliknya ikhtiar menggali peningkatan buat dirinya.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails