Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Tolong bersikap adil-Fazli


APA yang terjadi kepada anda selepas peristiwa diboikot stesen radio?

Saya sendiri tidak tahu sama ada saya benar-benar diboikot atau ia hanya khabar angin. Kalau hendak difokuskan kepada dua stesen gergasi swasta di negara ini, mungkin lagu baru saya jarang kedengaran, namun radio swasta lain termasuk 32 stesen kerajaan tidak ada masalah putar lagu saya. Saya masih lagi meneruskan aktiviti nyanyian seperti artis-artis lain, cuma mungkin peminat nampak saya agak sepikerana saya tidak menafikan impak daripada dua stesen gergasi swasta yang mengumpul hampir 10 juta pendengar itu apabila lagu baru saya tidak diputarkan.

Benarkah dakwaan yang mengatakan Fazli terlalu lantang bersuara sehingga menutup periuk nasi sendiri?

Periuk nasi saya menyanyi sepenuh masa, sebelum saya menjadi artis rakaman, saya telah pun menyanyi selama hampir lapan tahun di lounge hotel dan kelab-kelab ternama seluruh negara selain menyertai pelbagai pertandingan realiti termasuk Malaysian Idol musim pertama. Daripada umur saya 20 tahun, sehinggalah hari ini, 33 tahun saya tidak pernah berhenti mencari rezeki melalui aktiviti seni.Kalau nak kata menutup periuk nasi sendiri, saya kurang setuju kerana sehingga hari ini saya masih menerima undangan nyanyian tidak kiralah sama ada besar atau kecil. Cuma tidak dinafikan, saya seorang artis yang lantang bersuara. Saya bersuara sebagai mewakili suara barisan artis tanah air yang mahukan hak kami. Hak untuk mendapat ruang bernafas di tanah air sendiri.

Hampir setengah tahun peristiwa berlaku, mereka masih tidak memberi tempat?

Saya telah pun menghantar single terbaru saya berjudul Suara Hati hasil nukilan Sharon Paul & Ahmad Fedtri Yahya, namun masih gagal mendapat tempat di stesen-stesen tersebut. Kalau nak diikutkan dari segi kualiti, saya yakin Sharon Paul adalah antara pencipta dan produser terbaik di Malaysia malah pernah bekerjasama dengan artis artis hebat tanah air antaranya seperti Datuk Siti Nurhaliza dan Anuar Zain. Malahan single pertama saya daripada album kedua Kalbu hasil ciptaan sepenuhnya oleh komposer berbakat Azlan Abu Hassan yang pernah memenangi banyak anugerah juga tidak mendapat tempat untuk diputarkan. Saya juga tidak tahu dimana silapnya.

Apa pengajaran yang Fazli dapat dari peristiwa ini?

Saya tidak pernah berniat untuk bergaduh atau bermasam muka dengan stesen radio kerana sebagai seorang artis rakaman, radio merupakan media nombor satu yang perlu saya beri perhatian selain televisyen dan media cetak. Saya masih berterima kasih lagi kepada mereka kerana dulu mereka pernah memutarkan lagu-lagu saya sehingga menjadi siulan ramai sampailah ke hari ini. Tapi saya bukan seorang manusia yang suka bersikap hipokrit, hanya duduk, mendengar masalah tanpa membuat apa-apa untuk menyelesaikan masalah saya. Tidak mahu menjadi seperti sesetengah artis yang hanya terus bercakap belakang dan mengeluh dengan nasib kami tanpa membuat apa-apa. Saya suarakan pendapat dan pandangan apabila ditemuramah oleh rakan wartawan yang turut prihatin dengan nasib artis-artis tanah air.

Adakah ini merupakan kisah hitam yang paling tragis sepanjang bergelar anak seni?

Saya tidak pernah menganggap ini kisah hitam yang tragis, kerana pada saya selagi saya masih boleh bernafas dan mendapat ruang untuk mencari rezeki di tanah air sendiri, saya bersyukur pada Allah Taala. Saya yakin setiap manusia telah ditetapkan rezeki masing masing. Cuma sebagai manusia saya fikir dugaan hidup dan masalah adalah perkara biasa yang kita perlu lalui dan insya-Allah ada penyelesaiannya. Cuma cepat atau lambat sahaja untuk diselesaikan.

Bagaimana agaknya persepsi anda tentang stesen radio swasta ketika ini? Apakah mereka masih ditakuk lama?

Stesen radio swasta dilihat sebagai penyumbang utama dalam industri penyiaran radio ketika ini. Mereka sangat kreatif dalam mencari pasaran iklan dan secara tidak langsung menyumbang kepada penjanaan ekonomi negara. Namun, mereka perlu lebih terbuka di dalam menyiarkan lagu-lagu hasil karya anak tempatan. Sokongan daripada stesen-stesen radio gergasi terutamanya diperlukan bukan hanya untuk saya, tetapi seluruh warga seni terutama penyanyi tanah air. Saya tidak mengatakan mereka berada ditakuk lama cuma mereka perlu lebih terbuka dalam menerima dan menyiarkan lagu serta bersikap adil.

Ada yang beranggapan kebanyakan lagu-lagu yang anda dendangkan cukup melankolik dan memerlukan transformasi dan pembaharuan agar terus diterima peminat? Setujukah dengan cadangan itu?

Saya seorang yang terbuka dengan cadangan dan pendapat, asalkan ia boleh membuatkan saya menjadi seorang penyanyi dan seorang insan yang lebih baik. Lagu lagu melankolik daripada album pertama saya Harapan melayakkan saya ke final Anugerah Juara Lagu, tercalon sebagai sebagai artis baru lelaki terbaik AIM 14 dan artis baru lelaki popular Anugerah Bintang Popular.Selain itu, pencapaian tertinggi secara peribadi yang saya banggakan apabila album itu pernah menjadi calon top 5 album pop terbaik AIM 14. Hampir semua lagu lagu melankolik dalam album itu masih menjadi siulan pendengar dan peminat saya hingga ke hari ini. Ada beberapa transformasi yang sudah dilakukan untuk memberikan kelainan pada susunan muzik dan vokal saya.

Single terbaru yang berjudul Suara Hati, dikatakan gambaran perasaan Fazli terhadap nasib malang yang menimpa diri, apakah ia benar?

Suara Hati langsung tidak ada kena mengena dengan apa yang menimpa saya. Ia hanyalah sebuah karya hasil kerjasama saya dengan komposer dan penulis lirik. Ada kisah di sebalik lirik lagu tersebut. Ia agak subjektif, terpulang kepada siapa yang mendengar dan menilainya dari sudut yang berbeza. Tetapi secara peribadinya ia menggambarkan tentang suara hati seorang anak terbuang yang tidak berdosa, yang mencari-cari kasih ibu bapanya yang masih belum ditemui.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails