
"Walau sibuk mana pun kerja, saya akan luangkan masa bersama isteri dan anak-anak. Selalunya saya akan ambil cuti dan bawa isteri pergi bercuti untuk rapatkan lagi hubungan kami.
"Shopping juga penting untuk ambil hatinya," ujar Aaron Aziz.
Kesibukan sebagai pelakon, suami dan ayah kepada dua orang anak tidak membataskan pergerakan Aaron untuk terus mengorak langkah dalam dunia seni. Walaupun telah mencuba nasib di Malaysia beberapa tahun lalu, namun Aaron mula menjadi sebutan setelah muncul dalam drama bersiri Emil Emilda.
Rezekinya semakin menyinar saban hari apabila wajah Aaron sering muncul di kaca tv membintangi drama popular seperti Janji Diana dan terbaru filem Pisau Cukur yang bakal ditayangkan di pawagam pada 5 November.
"Bila shooting di luar kawasan, saya akan bawa isteri dan anak-anak sekali. Untuk penggambaran filem Datin Ghairah, saya bawa mereka sekali ke Langkawi selama 18 hari shooting.

"Tak kisah jika saya berhabis duit untuk mereka asalkan hati isteri saya tenang dan tak curiga bila berjauhan," begitulah telitinya Aaron menjaga hati isterinya, Diyana.
Cinta Lokasi Tak Wujud
Walaupun kerap digandingkan dengan pelakon wanita jelita, namun aktor berusia 33 tahun ini mengakui dirinya setia kepada yang satu.
"Saya tak tergugat dengan mana-mana wanita yang datang. Bergandingan dengan Erra Fazira dan Nasha Aziz membuatkan saya lebih memikirkan mutu lakonan saya daripada sibuk memikirkan hal lain.
"Setahu saya cinta lokasi tak wujud. Isteri faham dengan kerjaya saya asalkan tidak melampaui batasan. Selalunya dia yang excited bila saya akan digandingkan dengan aktress popular," ujar bapa kepada Danish dan Dwi ini.
Elak Adegan Berpeluk
Status sebagai suami menyebabkan Aaron begitu teliti dengan setiap adegan yang akan dilakonkannya. Mengelakkan babak janggal yang memerlukannya berpelukan untuk keselesaan kedua belah pihak.
"Saya memang segan bila ada adegan peluk so kalau boleh saya akan elakkan. Ada babak saya perlu berpelukan dengan Erra dalam drama Cinta Lelong tapi setelah berbincang dengan pengarah, kami tukar kepada adegan yang lain yang lebih selesa," ujar aktor kelahiran Singapura ini.
Aaron Aziz akan muncul dalam drama terbaru terbitan Astro Ria berjudul Cinta Lelong arahan Micheal Ang. Drama ini mengisahkan kehidupan komuniti masyarakat di sebuah pasar basah di Malaysia yang berbilang kaum. Aaron akan digandingkan bersama Erra Fazira, Vanessa Chong dan Kanchana Devi. Saksikan Cinta Lelong di Astro Ria (saluran 104) 30 Oktober ini pada jam 9.30 malam.