
Bagaimanapun, bagi Beego, tidak elok mengungkit cerita lama. Biar buku lalu ditutup rapat manakala dia meneruskan fasa kehidupannya kini.
Namun, belumpun mempunyai ruang selesa untuk memberi tumpuan terhadap kerjaya, hati jejaka ini kembali disentak menerusi khabar angin mengaibkan. Selepas bercerai, kini cerita dia menetap serumah dengan teman wanita pula dijaja.
Jelas Beego, dia tidak perlu melatah atau memberi pandangan terhadap gosip berkenaan. Katanya, selama ini dia penat melayan kerenah si mulut tempayan.
“Saya tidak mengiyakan dan tidak menafikan. Namun semuanya terpulang kepada persepsi orang yang melihat dan membuat cerita ini.
“Terus terang saya katakan, kadangkala ada rakan wanita datang ke rumah dan kadangkala juga mereka masak makanan untuk saya dan rakan. Namun ia tidak menunjukkan kami tinggal serumah.
“Bukan saya mahukan kehidupan yang bebas, malah saya juga faham batas agama. Namun jangan pula salah anggap terhadap perkara berkenaan sehingga membuat pelbagai tohmahan.
“Bagi saya senang saja, cukup dengan segala cerita buruk yang dijaja selama ini. Sebagai manusia, kita tidak lari daripada melakukan kesilapan. Mungkin hari ini hari saya, tetapi esok lusa siapa tahu? Jadi lebih baik kita menjaga kehidupan sendiri daripada mengaibkan orang lain,” katanya.
Pinta aktor ini, beri sedikit ruang untuknya meneruskan kehidupan dan hentikan segala gosip berkenaan.
“Jujur saya katakan, saya serik dengan segala cerita aib sebelum ini. Begitupun, sebagai manusia kita boleh berubah. Jadi beri saya ruang untuk meneruskan kehidupan seperti biasa,” katanya.
Menyentuh soal kerjaya, walaupun tahun ini kelibatnya jarang dilihat di layar kaca mahupun perak, tidak bermakna lakonannya turut berkubur.
Menurut Beego, baru-baru ini dia terbabit dalam drama 26 episod, Segi. Digandingkan bersama Shamsul Ghau Ghau dan Betty Banafe, dia kembali mendapat rentak dalam dunia lakonan.
“Drama ini mengisahkan Farid yang terpaksa menjadi ‘si Cina buta’ apabila majikannya bercerai talak tiga dengan isteri. Dalam masa sama, mereka mahu rujuk kembali dan Farid pula menjadi pak sanggup.
“Bagaimanapun selepas berkahwin, si isteri tidak mahu kembali ke pangkuan bekas suaminya kerana menaruh cinta kepada Farid. Daripada situ bermulalah babak menarik dalam cerita ini.
“Pun begitu pihak produksi masih belum menetapkan tajuk sesuai untuk drama berkenaan. Mungkin judul Segi akan dipinda bila mereka mempunyai tajuk sesuai. Insya-Allah, mengikut perancangan, ia akan dikeluarkan Disember depan,” katanya.
Selain itu Beego turut membintangi drama 26 episod berjudul Cuci Cuci Services arahan Hans Isaac. Katanya, untuk siri ini, watak utama diubah dan menampilkan hero baru.
“Menyentuh mengenai cerita Cuci, masih ada watak Hans, Awie, Afdlin Shauki dan AC Mizal, tetapi jalan ceritanya digubah dan ‘hero’ berkenaan juga berbeza.
“Pendek kata, ia versi pencuci junior manakala empat nama besar berkenaan menjadi senior kepada watak baru ini.
“Selain itu saya juga menantikan filem berjudul Libas arahan Jurey Latif dan Si Iwan (Aziz M Osman) yang akan ditayangkan di pawagam tahun depan.
“Tambah menarik, filem Si Iwan ini berkonsepkan sains fiksyen berbeza dengan filem yang ditayangkan nanti,” katanya.