
PENGUNDURAN saat akhir, Zarina Zainoordin daripada pementasan teater Impak Maksima - The Musical di The Esplanade, Singapura pada 17-18 Oktober ini, meninggalkan kesan mendalam kepada pengarah dan penulis skrip teater berkenaan, Ahmad Idham Ahmad Nadzri. Akhirnya tempat Zarina digantikan bakat baru, Mardiana Alwi.
Sebelum itu, menerusi kolum ini 11 Januari lalu, dilaporkan cerita berjudul Zarina 'dating' dengan pengarah popular, apabila bintang program realiti itu khabarnya dilihat sedang menikmati makan tengah malam (supper) bersama seorang pengarah dan penerbit drama popular di di restoran terkenal yang terletak di sebuah hotel tiga bintang di sekitar Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Desas-desus mengatakan pengarah itu ialah Ahmad Idham? Pun begitu, belum pun reda kisah Ahmad Idham dan Zarina, baru-baru ini menerusi B*Pop 13 September lalu, tersiar gosip dengan tajuk 'Pengarah popular, aktres Singapura mula intim?'. Nama Ahmad Idham sekali lagi dikaitkan dengan artis baru, Siti Zainab Chia atau CT Zie apabila terdengar desas-desus, ketika Idham menghadiri Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Ogos lalu, dia didekati aktres cantik dari Singapura itu. Ikuti penjelasan Ahmad Idham.
"Sebagai pengarah yang sudah biasa berdepan kerenah artis Malaysia, saya tidak mahu membidas teruk tindakan Zarina itu. Kita jangan cerita banyak, sekarang kita buat casting baru. Kita harus hormati juga keputusan Zarina, takkan kita nak letak pisau di lehernya, suruh dia join juga teater Impak Maksima - The Musical ini.
Tapi, kekecewaan sebagai seorang kawan dan pengarah yang pernah beri banyak peluang kepadanya, cara Zarina menarik diri itu bagi saya terlalu tidak profesional. Saya selalu cakap dengan Zarina, tidak ada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Yang penting, kita duduk berbincang dan bersemuka. Kalau betul-betul tak dapat join, kita pun kena hormat keputusannya, lagipun kita tak paksa Zarina.
Sekiranya Zarina memberitahu, Impak Maksima - The Musical versi Singapura ini tidak ada kontrak hitam putih ditandatangani beliau, ketika dia menjayakan Impak Maksima - The Musical di Istana Budaya pada 2008 lalu, langsung tak ada kontrak pun... boleh pula berlakon. Selama dia berlakon filem dan drama saya, mana ada kontrak awal-awal pun. Kontrak datang kemudian, itu perkara lazim dalam industri kita.
Sedikit sebanyak tindakan diambil Zarina memberi kesan kepada perjalanan latihan Impak Maksima - The Musical di Singapura ini. Kita terpaksa menangguhkan kira-kira 10 hari latihan untuk mencari penggantinya. Orang kata, setiap yang berlaku ada hikmahnya. Alhamdulillah, Mardiana mampu catch-up segala latihan dalam masa beberapa hari saja.
Persembahan Mardiana juga lebih baik daripada Zarina pada Impak Maksima - The Musical yang pertama dulu. Dia ada latar belakang teater dan ghazal yang kuat. Saya akan memastikan Mardiana mampu memberikan persembahan yang terbaik di Singapura nanti kerana dia bukan saja membawa nama Impak Maksima - The Musical secara keseluruhan, sebaliknya nama semua tenaga produksi."
Bertemu artis bukan isu besar
"Bukannya saya berdua saja dengan Zarina ketika kami makan tengah malam itu, beberapa pelakon dan tenaga produksi Impak Maksima - The Musical di Istana budaya, ada bersama. Bagi saya mudah saja, kalau saya nak buat benda tak elok, takkan saya nak lakukan di tempat terbuka? Dah memang kerja saya keluar dengan pelakon ni.
Kepada mereka yang sentiasa busy body nak tahu dengan siapa saya keluar, mereka akan sentiasa melihat saya keluar dengan artis perempuan yang cantik, termasuklah artis lelaki, tua atau muda. Memang kerja saya berbincang dengan mereka kerana saya seorang pengarah. Saya juga penerbit drama dan filem.
Apabila bertemu di tempat terbuka itu dikatakan saya ada affair dengan aktres berkenaan, peninglah! Antara saya dan Zarina, tak ada istilah affair. Seperkara lagi artis bukan kita boleh jumpa waktu pejabat, kadang-kadang tengah malam baru mereka free.
Saya akui, ketika FFM22 di Sabah itu, saya ingin mengenali CT Zie kerana dia ada nilai komersial. Saya juga melihat dirinya ada potensi dalam industri lakonan kita. Saya terus mencadangkan CT Zie supaya menjadi artis Metrowealth (MIG). Sekembalinya ke Kuala Lumpur, saya memperkenalkan CT Zie kepada David Teo dan akhirnya hari ini dia menjadi artis MIG. Insya-Allah dia boleh bergerak sebagai seorang pelakon, itu saja.
Seperti saya jelaskan tadi, saya ni pengarah dan penerbit. Memang kerja saya menampilkan pelapis baru yang kita lihat ada masa depan yang cerah dalam industri kita. Seperkara lagi, memang saya pernah ke pusat hiburan dengannya, tapi bukan dengan dia seorang, sebaliknya ramai lagi yang pergi bersama kami. Jadi, bukan isu apabila ada pihak yang melihat saya bersama pelakon baru seperti dirinya."