
Sam dan Juliana akui kesilapan.
Vokalis kumpulan indie kesal gambar mesra bersama kekasih jadi isu di internet
ANTARA pasangan artis remaja yang sedang hangat bercinta ketika ini ialah vokalis utama kumpulan Bunkface, Sam dengan aktres dan pengacara jelita, Juliana Evans, 20. Sam atau nama sebenarnya Shamsul Annuar Mohd Baharom, 22, ketika dihubungi Selasa lalu, mengakui dia serius berkawan atau menjalin hubungan cinta bersama Juliana kira-kira dua bulan lalu.
Zubir memang tabik spring dengan artis yang tak hipokrit, apabila ditanya terus mengaku bercinta, no hal! Bukan macam sesetengah selebriti itu, bercinta setengah mati, siap teman lelaki datang menjenguknya ke lokasi penggambaran, bawa makanan untuk si buah hati, nak balik tak lupa cium tangan, tapi percayalah, apabila pihak media massa bertanyakan kepadanya, adakah dia sedang bercinta dengan si polan itu, gerenti tak mengaku beb, tak habis-habis ‘plastik’ (berpura-pura).
Bukan saja Sam yang berterus-terang dengan Zubir, terdahulu ketika Zubir menghubungi Juliana atau Ju, dia juga mengaku sedang berkawan rapat dengan Sam apabila mereka kini dalam fasa mengenali hati budi masing-masing. Namun, katanya lagi hubungan cintanya bersama Sam baru saja berputik beberapa bulan lalu dan mereka belum terlintas untuk memikirkan persoalan yang lebih serius umpamanya berbincang soal perkahwinan.
Baguslah kalau dah macam tu, kita ni hanya mampu merancang, Tuhan menentukannya. Ditakdirkan hubungan mereka berakhir dengan ikatan perkahwinan, Alhamdulillah, namun jika sebaliknya, terimalah dengan hati terbuka ketentuan itu kerana masing-masing masih terlalu muda, pasti banyak rintangan dan cabaran ketika mengharungi saat manis diulit alam percintaan.
Pun begitu, baru-baru ini Zubir dikejutkan dengan kiriman e-mel daripada seseorang yang menyertakan sekeping gambar mesra antara Sam dan Ju. Bukan sekadar memperlihatkan kemesraan sebagai pasangan kekasih duduk berdua-duaan, sebaliknya foto itu menunjukkan Sam seolah-olah sedang mencium pipi Ju! ‘Tajam’ sungguh muncung bibir Sam dihalakan ke pipi gebu Ju, memang romantik habis!
“Gambar ini still photo, kalau video entah-entah dah bercium pun kan? Sam Bunkface dan Juliana, ya anda berdua sedang hangat dilamun cinta tapi kewujudan gambar ini, tertanya-tanya kami apa motif sebenarnya. Lazimnya kalau artis yang sibuk terkena gosip seperti ini, sure tak berpanjangan hubungan mereka. Itu fakta atau kebetulan?,” itulah antara ayat-ayat yang dipetik di sebuah laman web hiburan popular, baru-baru ini.
Bagi memastikan gambar itu asli, maksudnya bukan dibuat menggunakan teknik pertindihan gambar (super impose), Zubir cuba menghubungi Ju, namun dijawab mesin operator, nombor yang dihubungi tiada dalam perkhidmatan, terdetik di dalam hati, Ju sudah menukar nombor telefon ke? Usaha Zubir membuahkan hasil apabila berjaya menghubungi kekasih Ju, Sam.
“Maaf Abang Zubir, telefon Ju hilang, baru lagi. Tapi, kalau pasal gambar itu, saya mengaku, itu memang gambar kami. Tapi, mana ada saya cium Ju bang, cuba tengok betul-betul, tak kena pun pipi dia, saya hanya cium ambil bau saja... Ketika itu kami dalam kereta di tempat duduk belakang. Dah lupa ke mana destinasi kami.
“Pun begitu, gambar itu memang kami yang rakamkan sendiri. Kalau tak silap saya, Ju yang memasukkan gambar itu menerusi laman sembang di internet. Kami akui kesilapan itu, maafkanlah kami. Selepas ini kami akan lebih berhati-hati supaya kejadian seperti ini tidak berulang lagi. Tapi, saya
kesal, memang tak sangka, gambar cium bau tak kena pipi pun, boleh jadi isu untuk orang bercakap,” kata Sam berterus-terang.
Sam kata dia tak cium pipi Ju, hanya ambil bau saja, Zubir tak mahu buat kesimpulan peribadi, terpulanglah kepada peminat mereka membuat penilaian ke atas foto berkenaan, pembaca lebih layak menjadi Tuan Hakim!
Sebelum mengakhiri perbualan kami, Sam sempat meminta pertolongan Zubir agar tidak terlalu mensensasikan hubungan cinta mereka kerana dia dan Ju tidak selesa berdepan dengan publisiti yang berlebihan.
“Ya kami bercinta, tapi tak pernah fikir soal kahwin, just follow the flow. Dalam perhubungan seperti ini, macam-macam boleh berlaku,” kata Sam lagi.
Nasihat Zubir kepada Sam dan Ju, pandai-pandailah melayari perhubungan cinta yang sedang membara itu, jangan sampai ‘terkantoi’ sudahlah! Namun, Zubir doakan ikatan cinta anda berdua akan berkekalan, insya-Allah.