
Sekalipun tawaran menyanyi tetap diterima, anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini lebih senang menolaknya. Bagi wanita berusia 27 tahun itu, tidak ada ruang di hatinya untuk menyanyi dan senang menghulurkan tawaran berkenaan kepada rakannya yang lain.
Menurut Azza, memandangkan kecenderungan minatnya sekarang lebih terarah sebagai pelakon, dia memberikan tawaran menyanyi itu kepada mereka yang berhak. Kata bintang Akademi Fantasia musim pertama (AF1) ini, dia sangat sayangkan lakonan.
"Biarpun nama tidak popular mana, saya gembira masih mendapat tawaran berlakon. Kini, jadual saya pun boleh dikatakan sibuk dengan penggambaran. Disebabkan itu, rasanya saya sudah tiada stamina dan vokal yang bagus untuk menyanyi lagi.
"Masa dan tenaga saya tidak seperti dulu kerana sebaik habis penggambaran sudah keletihan. Jadi, kepada pihak yang terasa hati atau tersinggung kerana saya menolak tawaran mereka diharap dapat menerima alasan serta penjelasan ini secara positif.
"Apapun, saya bermohon maaf kerana memang tiada niat untuk berbuat begitu. Cuma, apa yang boleh saya katakan minat untuk menyanyi sudah tidak terlintas di hati ini. Jauh sekali, bagi saya memikirkan soal bayaran yang ditawarkan penganjur.
"Pada saya, bayaran bukan perkara utama kerana yang pasti memang saya tidak ingin menyanyi lagi buat masa ini. Cukuplah, saya hanya memberi tumpuan pada lakonan saja kerana itu lebih baik. Namun, jangan salah anggap kejujuran saya," katanya.
Menurut pelakon telefilem Patahnya Sayap Malam ini, dia tidak bermaksud untuk 'bercakap besar' tidak mahu menyanyi buat selamanya. Tetapi, katanya semua itu bergantung kepada ketentuan Tuhan kerana sebagai manusia biasa dia hanya mampu merancang.
"Mana tahu, sekarang mungkin saya cakap tidak mahu menyanyi, tiba-tiba Tuhan buka semula pintu hati suatu hari nanti. Mungkin ketika itu, saya sudah bersedia agaknya. Apapun, jika itu adalah suratan takdir saya tetap menerima dengan rela hati.
"Bagaimanapun, diucapkan terima kasih kepada pihak yang masih mempercayai bakat nyanyian saya. Namun, apa yang pasti jika tawaran berlakon dihulur, saya akan ambil kalau wataknya sesuai," kata Azza mengakui keputusan tinggalkan nyanyian dibuat dengan rela hati.
Kata anak bongsu daripada empat beradik itu, dia juga tidak menjaga suara seperti dulu. Kata Azza, jika dia mahu bergelar penyanyi perkara utama mesti dilakukan adalah menjaga pemakanan. Seeloknya, jangan menjamah makanan pedas dan minuman berais.
"Namun, sekarang ini saya tidak lagi 'berpantang' soal makan. Asal halal dan sedap, semua saya makan kerana perlu untuk tenaga dan kesihatan. Justeru, buat sekian kalinya dimaklumkan biarlah sekarang saya menjadi pelakon dan memantapkan karier ini.
"Persaingan yang ramai dengan pelakon baru membuatkan saya perlu bekerja keras. Apa pun, saya sedikit kecewa apabila filem Remp-it V3 dilakonkan mengalami masalah kelulusan tayangan. Tidak tahulah bila ia akan ditayangkan di pawagam.
"Sebagai pelakon, saya tahu harus bersabar. Tetapi, filem itu (Rem-it V3) sebenarnya percubaan pertama saya membawa watak mencabar. Sehubungan itu, apa yang boleh saya cakap dalam hati kena banyak berdoa supaya keputusan berubah," katanya.
Selain itu, Azza juga memaklumkan dia kini mahu orang ramai dan penonton mengenalinya dengan panggilan Azza Suaymi berbanding Azza AF1. Katanya sudah tiba dia berdiri atas namanya sendiri memandangkan platformnya dalam lakonan agak kukuh.
"Semoga tiada lagi bayangan AF1 selepas ini. Bukan kerana saya 'lupa daratan' di mana bakat seni ini mula dicungkil tetapi memikirkan keadaan sudah berubah. Bagaimanapun, jika ada yang mahu memanggil saya dengan nama Azza AF1, tiada masalah," katanya.
Ditanya pula mengenai perancangan masa depannya, Azza berkata dia sedar tidak akan selamanya menjadi anak wayang. Katanya demi masa depan dia bercadang mengusahakan perniagaan butik dan kini semua itu masih dalam proses perbincangan.
"Tidak dinafikan, saya memang minat pakaian. Jadi, rasanya memang patut juga saya mengusahakan butik untuk jaminan masa depan. Maklum sajalah, bergelar artis ini tidak selamanya disayangi peminat kerana sampai masa harus mengundur diri.
"Justeru, dengan hasil titik peluh bayaran berlakon itu, saya berpendapat wajar jika melaburkannya dalam perniagaan termasuk membeli aset seperti rumah. Bukan apa, situasi wanita sekarang sudah jauh berubah apabila mempunyai karier sendiri.
"Sekalipun lelaki tunggak keluarga apabila sudah berkahwin, tetapi peranan wanita juga penting sebagai pembantu. Namun, apa yang pasti saya sekadar mahu berdikari mengumpul harta sendiri. Sekurang-kurangnya, bolehlah diingat bila tua nanti," katanya.
Mengulas soal perkahwinan, Azza berkata ikutkan hati memang dia mahu menamatkan zaman solonya sekarang. Akuinya calon sudah ada, tetapi 'seru' untuk berkahwin itu belum tiba. Jadi, dia hanya boleh menyimpan impian untuk bergelar isteri.
Menurut gadis lincah ini lagi, apapun dia senang menyerahkan soal jodoh kepada Tuhan. Andai kata memang ditakdirkan jodohnya dengan si dia, Azza bersyukur. Lebih-lebih lagi, katanya ada kala dia cemburu dengan rakan yang sudah berkeluarga.
PROFIL
NAMA SEBENAR: Azariah Suaymi
PANGGILAN KOMERSIAL: Azza
TARIKH LAHIR: 11 Mei 1982
USIA: 27 tahun
TEMPAT LAHIR: Kuala Lumpur
ADIK-BERADIK: Anak bongsu daripada empat beradik
KERJAYA: Penyanyi, pelakon dan model iklan
IKLAN TV: Hotlink
DRAMA/ TELEFILEM: Antaranya Seribu Erti, Seteguh Hidayah, Babak 8588, Sembilu, Zaharul vs Zarina, Tragedi, Dilema Wanita & Patahnya Sayap Malam.
FILEM: Akhirat & Remp-it V3
HOBI: Menyanyi dan menonton wayang
PENCAPAIAN: Peserta Akademi Fantasia musim pertama (AF1)