Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Badrul muncul semula


Mana yang benar, saya ambil iktibar, dan mana yang tidak benar, saya buat tak tahu sahaja. Tetapi saya tidak akan mendiamkan diri sekiranya ia mencabar maruah keluarga
MASIH lagi ingat kepada Badrul Muhayat, bekas hero remaja tahun 1991 yang juga merupakan pelakon kegilaan remaja suatu ketika dahulu? Waktu itu, dia membina populariti bersama-sama teman seangkatannya seperti Hairie Othman, Esma Danial, Azhar Sulaiman, Sofea Jane dan Julia Rais.

Ketampanannya bukan sahaja diminati ramai, malah dia turut menjadi rebutan produser drama dan filem yang menawarkannya peluang berlakon.

Malangnya sekitar tahun 2007, Badrul berdepan dengan sejarah pahit yang hampir-hampir memusnahkan kehidupannya sebagai pelakon.

Bertemu dengannya di majlis rumah terbuka penerbit drama, Raja Alawiyah Raja Idris di Ulu Kelang, Kuala Lumpur hujung minggu lalu, Badrul tidak seperti dahulu yang sering berpakaian segak. Sebaliknya dia tampak biasa dan sederhana dengan gaya kemeja-T dan cermin mata hitam.

Enggan menoleh kebelakang, Badrul percaya, semua tragedi hitam boleh dikikis perlahan-lahan dan dia sendiri cuba untuk melupakan kisah yang pernah membelenggu dan menghancurkan hidupnya.

Kini, Badrul mahu menyusun semula kariernya yang terbengkalai. Setelah mendiamkan diri gara-gara kontroversinya yang dikatakan kaki perempuan serta kaki pukul isteri, Badrul ingin membersihkan namanya kembali.

"Saya tidak kesal dengan perbuatan saya masa lalu. Itu hanyalah sebuah kisah lama yang sudah bertitik noktah. Ia menjadi pengalaman hidup yang tidak akan saya ulangi kembali.

"Bagi saya, sebagai seorang manusia, masing-masing mempunyai keburukan dan kebaikan. Kalau nak diikutkan, orang politik lagi teruk dikritik, jadi apa yang terjadi kepada saya, saya perlu terima.

"Sekarang ini, saya ada semangat baru. Selepas reda segala kontroversi, barulah saya muncul semula. Saya berazam untuk kembali menempatkan nama saya seperti pada zaman awal penglibatan saya dahulu, tapi tidaklah ligat.

"Memandangkan, penerbit-penerbit drama mula mempercayai saya dengan memberi saya watak-watak yang kecil, saya syukur dan ini adalah permulaan.

"Bagaimanapun, perasaan saya masih tidak lekang daripada memikirkan penerimaan masyarakat," tuturnya yang kini sibuk dengan penggambaran drama terbarunya, Usia Cinta Kita.

Badrul enggan namanya tenggelam terus daripada dunia lakonan hanya kerana kesilapan yang pernah dilakukannya.

Menganggap kehidupannya adalah sebahagian daripada asam garam hidup, Badrul masih menerima jika terdapat kritikan-kritikan mengenainya.

Namun, tidak bermakna dia akan berdiam diri jika kritikan itu mampu menjatuhkan maruah keluarga.

"Saya terima dengan segala komen orang. Mana yang benar, saya ambil iktibar, dan mana yang tidak benar, saya buat tak tahu sahaja.

"Tetapi saya tidak akan mendiamkan diri sekiranya ia mencabar maruah keluarga," katanya.

Bertanyakan pula mengenai statusnya sama ada masih suami orang atau sudah bergelar duda, Badrul enggan mengulas.

"Itu saya tak nak komen. Mana yang sudah tahu tak apa, yang belum lagi, mereka tidak perlu tahu. Saya tak mahu mencampuradukkan karier dan peribadi," ujarnya, ringkas.

Kerjaya baru sebagai penerbit

Tidak bergoyang kaki sepanjang mendiamkan diri, Badrul sebenarnya sibuk dengan perniagaan keluarga sehingga terpaksa berulang alik dari Kuala Lumpur ke Johor setiap minggu.

Tambah pula, kini Badrul mula berjinak-jinak dengan penerbitan drama dan filem dalam syarikat Avant Garde Broadcasting (M) Sdn Bhd.

Beritahu Badrul, sekali-sekala dia begitu teringin untuk memikul tanggungjawab dengan mendapat watak yang diinginkan dalam sesebuah drama mahupun filem.

Justeru itu, dengan menjadi Penerbit Eksekutif dalam Avant Garde, sekurang-kurangnya Badrul boleh berlakon mengikut watak yang diinginkan.

"Selalunya, bila orang tawarkan sesebuah drama atau filem, saya akan terima tidak kira watak itu kecil atau besar. Tapi saya perlu buat sesuatu.

"Bila saya yang terbitkan drama atau filem, boleh saya berlakon sekali. Alhamdulillah, sekarang ini masih lagi ada tawaran. Cuma, maklumlah bila penampilan diri dah berubah, watak yang saya dapat pun stereotaip, watak matang biasanya.

"Oleh itu, untuk terbitan filem saya akan datang, saya nak jadi hero juga! Saya tak kira!," selorohnya yang bakal menerbitkan filem pertamanya awal bulan depan.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails