
Biarpun tiba bersama ibu yang juga pelakon popular, Erra Fazira sedikit lewat, kehadirannya seperti dinantikan menyebabkan ramai di kalangan mereka termasuk penyampai radio stesen itu serta selebriti popular tanah air mendekati si kecil yang lengkap berpakaian gaun cantik berwarna merah jambu.
Bukan hanya pasangan itu yang menjadi tumpuan, malah sejak siri Gugu Gaga Erra disiarkan di Astro memaparkan kehidupan keluarga itu, tambah menarik tumpuan orang ramai terhadap Engku Aleesya.
Reaksi spontan dan senyuman yang terukir di wajah puteri kesayangan Erra Fazira dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin itu membuatkan ramai yang ingin memangku dan melihat lebih dekat aksi si kecil itu.
Kata Erra, Aidilfitri tahun ini cukup bermakna bagi mereka berdua kerana berpeluang membawa Aleesya berkunjung ke rumah saudara-mara.
Aleesya yang tidak banyak ragam menambahkan ceria buat dia dan suami.
"Memang apa-apa saja perkara banyak kami tumpuan kepada Aleesya. Biarpun sibuk dengan aktiviti seni, tanggungjawab sebagai ibu bapa tidak pernah kami lupa. "Setiap hari, saya akan memastikan semua keperluan Aleesya dipenuhi sebelum memulakan aktiviti seni. Barulah selesa dan tenang untuk menumpukan kepada aktiviti seni.
"Tidak dinafikan saya dan suami agak sibuk dengan kerjaya masing-masing. Begitupun keutamaan masih dalam apa-apa perkara pun tetap kepada Aleesya.
"Aidilfitri lalu yang diraikan di Besut, Terengganu dan Gombak, Selangor cukup meriah buat kami sekeluarga.
"Sekarang keletahnya sudah cukup mencuit hati dan membuatkan kami terhibur. Tidak sabar rasanya melihat dia pandai bercakap mesti seronok mendengar celotehnya nanti," kata bekas Ratu Cantik Malaysia (1992) itu.
Sementara itu, Engku Emran yang juga ketua pegawai operasi Suria FM mengakui belum berpuas hati dengan pencapaian stesen radio yang memulakan operasinya pada 30 Disember 2005.
Tambahnya, pihak pengurusan sedia melakukan apa saja perubahan untuk memastikan kedudukan stesen radio berkenaan sebaris dengan stesen radio yang sedia ada.
"Selepas melancarkan kuiz dan beberapa program, kami berasa bangga kerana menerusi rekod yang mencatatkan stesen kami berada dalam saluran carian Internet antara lapan teratas paling tinggi.
"Begitupun, segala aktiviti membabitkan program baru dan pertandingan terpaksa diperlahankan dulu selepas raya ini sebagai persediaan untuk merangka program pada tahun depan.
"Untuk tempoh terdekat ini, tidak ada perubahan membabitkan penyampai atau bahagian pengurusan.
"Sebelum melakukan sebarang keputusan kami terlebih dulu mengambil kira pandangan pendengar dengan mengadakan sesi dialog membabitkan 200 pendengar setia daripada seluruh Malaysia. Kehadiran mereka ini sangat perlu dalam memantapkan operasi stesen radio kami.
"Menerusi cadangan dan teguran daripada peminat di mana perlukan perubahan kami pasti akan melaksanakannya," katanya.
Sehingga kini maklum balas pendengar terhadap beberapa program popular menerusi stesen radio yang popular dengan tagline Muzik Terbaik Tanpa Henti itu ialah Breakfast@Suria yang disiarkan pada sebelah pagi, Drive In (petang) dan Suria Cinta (malam).
Engku Emran juga tidak menolak kemungkinan perubahan yang bakal dilakukan pada masa akan datang turut membabitkan penyertaan selebriti popular tanah air sebagai penyampai radio di stesen itu.
"Sebelum ini pernah katakan saya tidak percaya kepada selebriti sebagai penyampai radio. Begitupun, saya terpaksa akur dengan apa yang saya katakan jika itu kemahuan pendengar. Tidak dinafikan pembabitan artis atau selebriti mampu menarik pendengar.
"Berbanding stesen radio yang sedia ada. Pendedahan dan promosi membabitkan penyampai kami kurang. Malah, ada di kalangan stesen radio yang mempunyai platform untuk mempromosi penyampai radio mereka dengan program khas dan drama. Secara tidak langsung memberi kelebihan kepada penyampai radio itu untuk lebih dikenali," katanya.
Tambahnya pihak pengurusan stesen radio itu tidak pernah menghalang pembabitan penyampainya dengan pelbagai aktiviti seni lain seperti lakonan atau pengacaraan. Begitupun, sekadar memberi peringatan kepada penyampai berkenaan keutamaan masih kepada stesen radio itu.
Sempena Aidilfitri, Suria FM juga mengadakan rumah terbuka untuk meraikan media, syarikat korporat yang banyak bekerjsama dengan mereka serta pendengar setia stesen itu.
Majlis dihadiri lebih 600 tetamu dimeriahkan dengan persembahan artis dan penyampai radio, Linn, Zizie, Tuah Zoqarnain, Zaff, Akhtar, Bob Ringgo, Myra dan Naim dan artis popular seperti Noryn Aziz, Aizat dan Winnie K yang menyampaikan beberapa lagu popular hari raya.
Turut memeriahkan majlis Liyana Jasmay, Farawahida dan Imran Ajmain.