Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Cik Ah Cik Nin Komedi terbaru di Astro Prima


SALURAN yang semakin dipadatkan dengan pelbagai kandungan tempatan khusus disasarkan untuk tontonan penonton Melayu seisi keluarga, Astro Prima (saluran 105 Astro) muncul dengan sebuah lagi drama bersiri komedi, Cik Ah Cik Nin.

Siri 13 episod itu dibintangi oleh barisan pelakon seperti Puteri Fateen, Pierre Andre dan Sherry Ibrahim itu bersiaran setiap hari Selasa, pukul 10 malam bermula 6 Oktober lalu.

Antara pelakon lain yang turut menjayakan siri tersebut ialah Khatijah Tan, Mak Jah, Abu Bakar Juah, Zami Ismail, Zila Bakarin, Zizie Ezzette, Shamsul Yusoff, Rosnah Mat Aris, Sulaiman Yasin dan Radhi Khalid.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani memberitahu, pihaknya mengambil idea daripada jalan cerita rakyat popular iaitu Pak Pandir dan Mat Jenin.

"Kami mengambil watak daripada cerita rakyat popular iaitu Pak Pandir dan Mat Jenin sebagai objek dalam penceritaan bagi drama komedi ini.

"Bagaimanapun, kami mengolah semula watak-watak itu sebagai watak wanita untuk disesuaikan dengan zaman serba moden kini.

"Kombinasi pelakon baru dan lama adalah resipi utama bagi drama komedi bersiri pada kali ini.

"Saya percaya lakonan mereka yang spontan dan bersahaja bakal menjadi aset dan daya tarikan utama bagi drama ini nanti," katanya.

Mengisahkan Dira dan Nina adalah dua sahabat baik sedari kecil kerana keakraban keluarga mereka. Tambahan pula, mereka telah dilahirkan pada hari yang sama.

Nama Dira diilhamkan daripada nama Sudirman Arshad kerana ibunya peminat setia penghibur terkemuka itu.

Manakala nama Nina pula berasal dari ribut La Nina kerana dia dilahirkan ketika ribut melanda.

Biarpun rapat namun, perwatakan mereka cukup berbeza.

Dira merupakan gadis yang lurus bendul dan selalu salah tafsir maksud orang lain. Disebabkan sikapnya itu dia bagaikan Pak Pandir di kampungnya.

Sementelah Nina pula lebih bijak berbanding Dira, namun perangainya yang kuat berangan selalu membuatkan dirinya berada dalam situasi yang memalukan dan menjadi bahan ketawa.

Angan-angannya selalu datang pada masa yang salah bagaikan Mat Jenin di atas pokok kelapa.

Hidup mereka berubah setelah kehadiran seorang pemuda yang baru berpindah ke kampung mereka.

Sejak itu, bermulalah misi Nina untuk mengetahui siapakah jejaka yang menjadi sebutan itu sementara Dira seperti biasa hanya menurut saja idea dan kehendak Nina.

Pelbagai perkara lucu terjadi apabila Nina mula membayangkan berbagai situasi demi mengenali hero baru kampung.

Berjayakah mereka mengenali jejaka yang heboh diperkatakan dan apa pula gelagat mereka dalam mengenali hero kampung itu?.

Sama-sama kita ikuti kisah mereka dalam Cik Ah Cik Nin pada setiap hari Selasa, bermula 6 Oktober lalu pukul 10.00 malam, hanya di Astro Prima (saluran 105).
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails