
Penyanyi Farawahida nampaknya tidak gundah apabila melalui banyak episod kurang manis sejak menghadapi masalah dengan syarikat produksi dan pengurusan Millenium Art.
Setelah bergerak sendiri, Fara akui dirinya semakin kuat dan semakin bersemangat untuk mencipta kejayaan.
"Apabila bergerak sendiri sekarang ini barulah saya nampak betapa luasnya dunia ini. Segala-galanya saya lakukan sendiri.
"Alhamdulillah rezeki untuk saya masih ada. Ada banyak tawaran mengadakan persembahan dan juga muncul dalam program TV," kata Farawahida kepada Mangga Online.
Fara tidak mahu memikirkan masalah dan kerumitan yang dilaluinya sebaliknya mahu terus melangkah ke depan dan muncul sebagai Farawahida yang baru.
Fara juga enggan lagi bercakap pasal masalah yang pernah dilalui dan tidak mahu memburukkan sesiapa.
"Biarlah orang memburuk-burukkan kita sebab akhirnya kebenaran akan diketahui juga," kata Fara yang popular dengan lagu Tanpamu dan Setia Menanti.