Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Hati sudah dimiliki


Apapun, Salima dilihat lebih cenderung kepada nyanyian dan lakonan teater manakala Heliza pula muncul buat julung kali menerusi filem Syurga Cinta. Bagaimanapun, Heliza kini nampaknya lebih selesa memilih karier perguruan untuk masa depannya.

Salima yang kini masih menuntut dalam pengajian Diploma Pengurusan Perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, mengakui masih aktif sebagai penyanyi.

Katanya, dia akan muncul dengan album mini memuatkan enam lagu dan turut berduet dengan kekasihnya, Ahmad Aliff Afif Tirmizie atau Afif, 23. Tanpa berselindung, anak sulung daripada lima beradik itu mengakui hatinya kini dimiliki.

"Tidak dinafikan, saya menyenangi hubungan yang terjalin ini. Malah, kami pun mempunyai minat sama dalam seni dan saling memahami. Bagaimanapun, terus terang dikatakan kami juga buat masa ini masih dalam proses mengenali hati budi.

"Namun, saya bersyukur hubungan ini diterima baik keluarga dan berharap ia berjalan lancar. Cuma, untuk kerjasama dalam karier, saya memilih duet dengan Afif kerana dia sebelum ini pernah menyertai program realiti My Starz LG musim pertama.

"Jadi, apa salahnya kami bergandingan menyanyikan lagu duet, Beri Aku Waktu ciptaan Eddy Al-Haj sebagai platform dalam percubaan pertama ini. Mana tahu, ia menjadi dan kami mendapat peluang untuk terus menggilap bakat di persada seni tanah air.

"Bagaimanapun, ini sekadar usaha murni saya. Selebihnya, biarlah dinilai pendengar kerana mereka lebih tahu apa yang diinginkan. Saya hanya mencuba nasib memandangkan persaingan pun agak sengit ketika ini termasuk situasi pasaran dialami industri muzik," katanya.

Berusia 20 tahun, Salima yang petah berbicara memaklumkan kemungkinan album mini terbabit akan berada di pasaran awal tahun depan. Katanya, dia mengambil pendekatan memuatkan single dan paduan suara (duet) serentak.

Mengenai hubungan cintanya bersama Afif, sambil tersipu malu Salima berkata, mereka mula rapat sejak dua bulan lalu. Namun, sesi perkenalan terjadi pada tahun ini dan mungkin kerana takdir Tuhan juga ia mampu bertahan.

"Cukuplah, bicara saya mengenai hubungan kami sampai di sini kerana terlalu awal untuk memaklumkan langkah seterusnya. Lagipun, buat masa ini biarlah kami bersama-sama memantapkan karier sebelum beralih arah kepada membina keluarga.

"Selain itu, saya berdoa hubungan kami berkekalan. Apapun, saya juga nekad mahu menghabiskan pengajian terlebih dulu termasuk menyertai aktiviti yang akan dikendalikan produksi milik kenalan rapat, Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya," katanya.

Manis berbaju kurung, Salima turut hadir bersama Sharifah Khasif pada sesi fotografi di Restoran Lemon, Kajang, baru-baru ini. Malah, Sharifah Khasif mengakui penubuhan produksi itu masih dalam perancangan.

"Barangkali, awal tahun depan produksi saya akan beroperasi dan diuruskan abang, Syed Jamlush, 28. Tujuannya bagi menerbitkan album serta video cakera padat (VCD) bacaan al-Quran yang diperdengarkan qari dan qariah dari seluruh dunia.

"Saya harap ia membantu mempermudahkan pendengar yang ingin mendalami ilmu membaca al-Quran di samping mengetahui serta faham mengenai taranum dan hukum tajwid. Ini kerana, saya dapati masyarakat Islam kini memerlukan bimbingan.

"Malah, mereka juga dilihat sudah bersedia untuk belajar. Justeru, saya mahu memperkenalkan bacaan Al-Quran yang betul kepada mereka (pendengar). Pada saya, hanya sumbangan ini yang mampu diberikan dalam usaha semarakkan minat membaca al-Quran," katanya.

Bertugas sebagai Pegawai Operasi Saluran Astro Oasis dan pengacara bersama dalam program Kalam Suci di rangkaian televisyen terbabit, Sharifah Khasif berkata apa yang dirancangkan itu mahu direalisasikan dengan ikhlas hati dan tidak mengejar populariti.

"Saya tidak pernah terfikir untuk menjadi selebriti atau meraih populariti. Saya terbabit secara langsung atas hasrat ingin memperkasakan bacaan al-Quran di kalangan generasi muda tanah air. Semuanya kerana saya dapati mereka mahukan ilmu.

"Sebagai individu yang mahir dalam pembacaan al-Quran, tidak salah saya berkongsi pengetahuan yang ada. Ditambah lagi, saya mendapat sokongan qari dan qariah dari dalam dan luar negara termasuk turut bercadang menghasilkan dokumentari.

"Menerusi dokumentari ini, ia akan membawa penonton serta pendengar mengenali lebih dekat seseorang qari dan qariah itu. Oleh itu, dalam soal ini saya tidak memilih untuk penerbitan album nasyid disebabkan sudah banyak dibuat oleh produksi lain," katanya.

Menyentuh soal harapan, gadis kelahiran Ipoh, Perak ini memaklumkan dia yakin usaha murninya itu akan berjaya berdasarkan maklum balas diterima daripada orang ramai. Katanya, masyarakat Islam kini semakin terbuka untuk mempelajari ilmu agama.



PROFIL

NAMA: Nur Salima Habibi

PANGGILAN: Salima

USIA: 20 tahun

ASAL: Kuala Kangsar, Perak

KARIER: Penyanyi dan pelakon teater

KELUARGA: Sulung daripada lima beradik

STATUS: Bujang

PENDIDIKAN: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) & pelajar Diploma Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

LAGU: Kayuh dan Kisah Kasih

TEATER: Rangkas Putera, Kemerdekaan Terakhir dan Dendam Tanjung Puri

PENCAPAIAN: Separuh akhir Who Will Win 2003 & pelajar Akademi Fantasia

musim keempat (AF4) dan duta Badan Pencegah Rasuah (BPR)



PROFIL

NAMA: Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman Al Yahya

PANGGILAN: Sharifah Khasif

TARIKH LAHIR: 5 Ogos 1982

USIA: 27 tahun

TEMPAT LAHIR: Ipoh, Perak

STATUS: Bujang

KELUARGA: Anak kedua daripada tiga beradik.

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Kewangan, Universiti Tenaga Nasional

KARIER: Pegawai Operasi Saluran Astro Oasis / pengacara bersama Kalam Suci di Astro Oasis

PENCAPAIAN: Antaranya Johan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan 2009 & 2008, Johan Qariah Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2009, Naib Johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 2008, Naib Johan Akademi al-Quran TV9, Johan Tilawah peringkat Kebangsaan anjuran TNB 1989-1999, Tokoh Remaja Hijrah RTM Perak 2000-2003, Tokoh Remaja Hijrah peringkat Universiti 2005 & Mewakili Negara Jemputan ke Iran dan serata timur tengah
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails