
CANTIK dengan lirikan mata menawan cukup membuatkan ramai yang terpaku melihat kejelitaan bintang terkenal filem dan drama India tempatan, Jasmine Michael, 30, ini.
Bak bintang filem Hindustan, kehadirannya ke layar perak membintangi filem Estet arahan sutradara Mamat Khalid ternyata bukan usaha yang sia-sia.
Biarpun jauh di sudut hatinya menyimpan perasaan ragu tentang penerimaan masyarakat terhadap dirinya, namun perasaan itu sedaya upaya cuba dibuang jauh-jauh.
Sementelah kelibat dirinya bukanlah baru dibidang seni, dia bagaimanapun bersyukur apabila langkah pertamanya untuk dikenali di kalangan masyarakat Melayu tidaklah sesukar yang dijangka.
Estet merupakan filem Melayu pertama lakonannya yang menonjolkan dirinya sebagai watak utama.
Sebelum ini, dia bukanlah tiada langsung pengalaman bekerja dengan produksi Melayu. Dia sebenarnya pernah membintangi filem Bisikan Remaja, lakonan Zed Zaidi sekitar tahun 2004 sebagai pelakon tambahan.
Tidak menyangka terpilih menyertai filem tersebut, cerita Jasmine ketika dipanggil ke uji bakat dia hanya berbual-bual dengan Mamat Khalid tanpa disuruh berlakon.
"Berbanding filem Tamil, pengalaman berlakon dalam filem Melayu perasaannya memang lain. Boleh dikatakan saya adalah bayi dalam filem ini.
"Ketika berlakon, nak lahirkan perasaan memang susah tetapi setelah melakukan pelbagai latihan semuanya menjadi mudah," katanya.
Bercerita tentang watak lakonannya, kata Jasmine, dia melakonkan watak seorang gadis India yang agak nakal.
Malah, bergandingan dengan Farid Kamil memberikan pengalaman berbeza buatnya dalam mempelbagaikan profil lakonan.
"Saya mudah bekerjasama dengan Farid sebab kami banyak berbincang tentang lakonan dan watak masing-masing," kata Jasmine yang telah lapan tahun aktif di bidang seni.
Biarpun berdebar menanti reaksi peminat terhadap lakonannya dalam Estet, dia turut berharap agar ada peluang yang lebih mencabar buatnya di pasaran perfileman Melayu.
"Saya memang berharap sangat dapat peluang lain yang lebih mencabar.
"Lakonan dalam filem Tamil dan Melayu memang berbeza sebab itu saya fikir saya perlu banyak belajar," kata Jasmine yang cukup meminati pelakon Maya Karin, Vanidah Imran dan Rosyam Nor itu lagi.
Rai Deepavali bersama keluarga
Sambutan pesta cahaya, Deepavali yang diraikan sekali dalam takwim tahunan ternyata begitu dinantikan oleh penganut agama Hindu di seluruh dunia.
Hari ini, perayaan itu ternyata begitu meriah diraikan. Malah, seperti sambutan perayaan lain, Deepavali turut diraikan secara harmoni dengan penuh kesyukuran dan berwarna-warni.
Bintang cantik yang baru sahaja melebarkan langkah ke dunia perfileman Melayu itu sebenarnya turut teruja bercerita perihal sambutan perayaan itu.
Melihat kepada nama, sedikitpun tidak melambangkan dia beragama Hindu. Namun, akui Jasmine, sedari kecil lagi dia ke kuil dan meraikan Deepavali.
Lanjut bercerita, seperti insan biasa, bintang Tamil yang sedang memuncak namanya di kalangan masyarakat India itu sebenarnya lebih cenderung dalam bidang tarian.
Malah, katanya, sempena Deepavali dia lebih banyak terlibat dalam pelbagai iklan Deepavali serta program TV berbentuk tarian.
"Memang ramai yang keliru tentang agama saya, tetapi sejak kecil lagi saya pergi ke kuil untuk beribadat dan meraikan perayaan Deepavali," kata Jasmine diiringi senyuman yang cukup manis.
Tidak mengambil cuti yang lama, kata Jasmine, Deepavalinya kali ini diraikan bersama keluarga dan sahabat handai di sekitar ibu kota dan Petaling Jaya.
