
TOLAK tepi tentang saiz tubuhnya yang kecil. Dengan berat 39 kilogram siapa sangka gadis berusia 21 tahun ini cukup bijak mengatur langkah agar bisa mengemudi hari muka yang tidak terbeban.
Mungkin masih terlalu awal menelah masa depan gadis kelahiran Pulau Pinang, Nursyarmilla Jirin yang ringkas dipanggil Mila ini.
Boleh dikatakan, sejak menjuarai pertandingan realiti Akademi Fantasia musim kelima (AF5) dia bagaikan cukup mudah mengharungi pelbagai jalan yang terhampar luas buatnya.
Kalau dulu dia hanya bersandarkan kepada kerjaya nyanyian semata-mata, kini dia sudah mampu menarik nafas lega apabila mencambah kerjaya seni kepada lakonan pula.
Dan baru-baru ini dia turut terlibat menjayakan sebuah drama yang bakal bersiaran di Astro Ria, Kau Dan Aku yang diadaptasi daripada sebuah drama Venezuela, So Mos To Yo.
Dan apa yang pasti, si pelantun lagu Aku Lebih Tahu itu kini semakin rancak merencana produk kecantikan dan kesihatan keluaran syarikatnya, LuvMILA Corporation Sdn. Bhd.
Dalam usia sebegini, tatkala remaja seusia yang kebanyakan memilih untuk meneruskan pelajaran, dia pula sibuk bekerja demi memastikan masa depannya dan keluarga terbela di kemudian hari.
Bagi sesetengah orang, usia remaja adalah detik paling indah dalam kehidupan dan masa yang ada tidak harus ditinggalkan begitu sahaja.
Biarpun bersetuju dengan hakikat itu, gadis genit ini mempunyai pandangan yang berbeza.
"Sebenarnya, saya tidak rasa yang usia remaja saya tertinggal begitu sahaja. Setiap orang ada pandangan yang berbeza.
"Apa yang pasti, saya dapat apa yang saya mahukan sebelum ini, ada kerjaya dan juga perniagaan.
"Biarpun orang melihat saya sibuk bekerja namun, hakikatnya saya tetap jalani kehidupan saya seperti remaja lain," katanya.
Menariknya tentang Mila, dia bukanlah seperti sesetengah remaja yang gemar berpeleseran dan berseronok.
Langkahnya ke mana sahaja kalau tidak ditemani ahli keluarga pasti akan ditemani oleh pengurusnya.
Mengakui gembira dengan apa yang di lakukan, kata Mila lagi, dia begitu gembira dengan kehidupannya kini yang dapat membantu menambah pendapatan keluarga.
Ini berbeza dengan kehidupannya sebelum diangkat sebagai juara AF5.
Sementelah terpaksa 'menjual' suara demi membantu keluarga biarpun ketika itu dia masih belajar.
"Sehingga kini saya gembira dengan apa yang saya lakukan. Sejak dahulu lagi saya membesar dalam keluarga yang bukan senang.
"Sebab itulah apabila sudah ada kerjaya, saya ingin menumpukan sebaik mungkin," kata Mila.
Sebagai anak sulung, kata Mila dia mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga dan kerana itulah juga dia perlu menjadi contoh terbaik buat adik-adiknya.
Berbangga dapat menyumbangkan bakti kepada keluarga, Mila sentiasa mengingati pesanan kedua orang tuanya agar sentiasa mengikut resmi padi, semakin berisi semakin menunduk.
Mila tak mahu tamak
Melangkah ke dunia lakonan merupakan satu lagi cabang rezeki buatnya. Apa tidaknya, sedari kecil lagi dia sudah tertarik untuk mencuba nasib di bidang lakonan.
Namun bagi Mila dia tidak mahu bersikap tamak dalam mengejar apa yang diinginkan.
Seboleh mungkin dia mahu terus menjadikan nyanyian sebagai kerjaya utamanya.
Drama pertama yang dilakonkan oleh Mila ialah Cinta Meriam Buluh di samping juara Raja Lawak 2, Nabil yang bersiaran di Astro, Aidilfitri lalu.
Bakal menyusul ialah drama bersiri 26 episod, Kau dan Aku yang dilakonkannya bersama Raja Farah serta bintang AF7, Aril dan Akim yang bakal ditayangkan di Astro Ria bermula 24 Oktober ini.
Bercerita tentang Kau dan Aku, Mila sebenarnya baru sahaja tamat menjalani sesi pengambaran selama dua bulan di Jakarta, Indonesia.
Cemas hadapi gempa
Drama tersebut merupakan kerjasama dua negara iaitu Astro dan Double Vision, Indonesia.
Teruja melakonkan watak Mila, seorang gadis kampung yang menyambung pengajian di sebuah kolej swasta, pelbagai konflik mula timbul apabila berlaku perebutan cinta.
Mengakui tidak mudah menjadi seorang pelakon, Mila beruntung kerana dia mendapat tunjuk ajar tentang cara-cara menghayati watak oleh penolong pengarah, Reza Fahmi.
"Apa yang cukup mencabar bagi saya ialah apabila tiba babak yang memerlukan saya menangis. Memang sangat mencabar, macam-macam yang saya fikirkan untuk mendapatkan mood.
"Nasib baik ketika penggambaran dilakukan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi nak raya jadi mood sedih itu datang dengan sendirinya," kata Mila yang melakonkan sebanyak 360 babak.
Dalam teruja berbicara tentang pengalaman berlakon, Mila sebenarnya turut menyimpan kisah cemas ketika sesi penggambaran dilakukan.
Gempa bumi yang berlaku di Jakarta baru-baru ini melebihi 6 skala ritcher sehingga memaksa pihak berkuasa Indonesia mengeluarkan amaran tsunami benar-benar terkesan dalam jiwanya.
"Bayangkan saya sedang menukar pakaian ketika itu, tiba-tiba studio rasa bergegar dan terdengar jeritan orang menyuruh kami keluar menyelamatkan diri.
"Ketika itu saya tak dapat bayangkan apa yang akan terjadi. Pada malam kejadian kami tidur dengan pakaian lengkap sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku lagi gegaran," kata Mila sambil ketawa.
Beralih kepada topik nyanyian, Mila juga bakal muncul dengan single terbaru, Rahsia Sanubariku yang diterbitkan oleh MC Voices & Star.
Sebelum ini Mila juga tampil dengan dua single hitnya, Siapa Tak Perlu Cinta yang diterbitkan oleh syarikatnya, LuvMila Corporation dan Jika Kau Ubah Fikiran diterbitkan dengan kerjasama Astro dan KRU.
