
Berperwatakan menarik dan senyuman manis yang tidak pernah lekang di bibir. Itulah yang boleh digambarkan dengan gadis kecil molek ini. Nama yang semakin hari meniti di bibir peminat kerana lakonan di layer perak dan wajahnya yang sering terpampang di majalah-majalah tempatan serta industri pengiklanan tanah air. Biarpun baru bertatih dalam bidang lakonan, pemilik nama Lisa Surihani Mohamed sudah cukup popular dan dikenali masyarakat umum.
Masakan tidak, sejak memegang watak utama dalam filem I’m Not Single, dia terus menjadi buruan industri seni tempatan. Berkat keikhlasannya dalam dunia seni membuatkan tuah Lisa semakin mendatang, apalagi apabila mendapat pelbagai tawaran berlakon. Walaupun kesibukan dalam dunia seni, dia masih sempat meluangkan masa untuk samasama bercerita tentang perkembangan terkini dan impian perkahwinannya suatu hari nanti.
Sebagai pendatang baru, semestinya anugerah ini mengejutkan. Namun, Lisa menerimanya dengan rasa syukur atas kehendak Ilahi. Lantaran itu, dia kini lebih yakin dan bersedia menghadapi seribu satu dugaan yang bakal ditempuhnya dalam bidang seni. Menurut Lisa, yang dikejar dalam bidang seni adalah untuk menimba ilmu dan pengalaman, selain pendapatan. Dan dia sekali pun tidak pernah menganggap apa-apa yang dilakukan ini sebagai sesuatu yang merugikan. Kerana itu dia berharap semua pihak dapat melihat pilihannya daripada sudut yang profesional. Jika sebelum ini Lisa banyak memegang watak baik, kini dia muncul dengan watak antagonis pula dalam filem Jangan Pandang Belakang Congkak baru-baru ini. Menurutnya, lakonan antagonis adalah satu percubaan untuknya mencuba pelbagai watak demi masa depan karier lakonan.
Selama menceburi bidang seni, dilambung ombak badai, dihempas pelbagai cabaran pahit dan manis, hari ini dia terus bertahan di persada seni. Ada yang melihat bertahannya Lisa dengan gaya dan cara tersendiri bertolak daripada sikapnya yang jujur dan kesetiaannya kepada bidang yang diceburi. Tetapi itu persepsi masing-masing terhadap pelakon Jangan Pandang Belakang Congkak ini. Bagi diri Lisa, ada harga yang terpaksa dibayar setelah bergelar orang popular. Walau bagaimanapun katanya, dia tidak pernah menyesal dengan takdir yang diberikan kepadanya ketika ini. Orang kata, jadi artis mudah dapat calon suami. Ramai orang menyayangi diri mereka, disanjung dan dipuja. Tentu saja mudah untuk memilih satu antara ribuan mereka, tetapi Lisa mengatakan sebaliknya.
"Saya juga tidak mahu mencari, jika jodoh itu sudah datang saya akan terima segala ketentuan Ilahi dengan tangan terbuka. Pilih suami bukan macam pilih baju. Kena hati-hati, sama ada mereka faham atau tidak akan kerjaya saya. Percaya atau tidak, sebagai artis kadang kala kami lebih susah untuk mencari teman hidup. Persefahaman dan keserasian menjadi elemen utama dalam membina sesebuah rumah tangga dan perhubungan. Lagi pun saya masih muda dan banyak lagi yang perlu saya pelajari," katanya. Ditanya tentang impian perkahwinannya suatu hari nanti, dia tidak menetapkan tema atau bagaimana perkahwinan itu diadakan.
Dia lebih gemar mengikut arus semasa dan kemampuannya pada ketika itu. Namun, untuk upacara akad nikah dia ingin mengadakannya di masjid. Setiap kali berbicara, dia sering mengatakan tidak ada lebih bermakna dari kasih sayang dengan keluarga. Apa pun, kasih sayang keluarga yang sentiasa melimpah-ruah kepadanya menjadikan dirinya serba lengkap. Baginya kasih keluarga yang cukup erat telah menjadikan dia seorang yang cukup kuat berhadapan dengan cabaran dan halangan sebagai seorang wanita. Sikap tolak ansur keluarga amat penting, untuk menangkis sebarang anasir negatif yang bertamu dalam diri. Berhadapan dengan fitnah, nista dan umpatan dia amat bergantung kepada keluarga bagi mendamaikan perasaannya sendiri.
