
Penganugerahan itu disampaikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena sambutan hari jadi beliau ke-71 di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Artis lain yang turut menerima anugerah ialah pelakon, pengacara dan produser, Rosyam Noor atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin. Dia menerima Bintang Cemerlang Melaka.
Jefrydeen berkata, dia tidak sangka sama sekali dikurniakan darjah kebesaran itu. Katanya, surat penerimaan anugerah itu diterima empat hari sebelum majlis diadakan.
"Kami sekeluarga terkejut, namun saya bersyukur akhirnya perjuangan sebagai anak seni diiktiraf kerajaan. Rasa seperti bermimpi dan hendak menangis. Terima kasih kepada peminat yang terus menyokong kerjaya saya.
"Isteri (Datin Rashidah Abdullah, 52) dan tiga anak saya (Raden Arjuna Mirco, 29, Raden Wira Sukma, 25, dan Raden Ratna Sari Dewi , 18) juga sangat gembira dengan penganugerahan ini. Kata mereka, sudah sampai masanya saya diberi anugerah itu kerana 'perkhidmatan' saya yang panjang dalam arena seni suara.
"Bagaimanapun, dengan penganugerahan itu, saya memikul tanggungjawab yang agak besar untuk menjaga nama baik sendiri, keluarga dan gelaran itu sendiri. Masyarakat memandang tinggi terhadap anugerah yang diberikan itu dan tentu sekali sebagai penerimanya saya terpaksa menjaga setiap langkah dan tutur kata.
"Saya juga berpesan kepada anak supaya mereka menjaga nama baik keluarga. Allhamdulillah, mereka semuanya sudah besar dan berjaya dalam hidup. Mereka memahami perjuangan saya sebagai anak seni kerana sedari kecil sehingga besar panjang, saya terus abadikan diri dalam dunia seni suara.
"Syukur ke hadrat Ilahi kerana saya diberikan kesihatan yang baik dan dapat terus menyanyi. Sampai sekarang, undangan menyanyi tidak pernah putus. Untuk berjaya seperti hari ini, sejak dulu hingga sekarang saya sentiasa merendah diri dengan sesiapa saja baik yang muda mahupun yang tua, tidak pernah fikir yang bukan-bukan dan tidak berdendam.
"Dengan merendah diri orang suka berkawan dengan kita dan mereka akan turut mendoakan kejayaan kita. Apabila sudah senang jangan lupa kawan, hormat ibu bapa, jangan sesekali mengabaikan tanggungjawab kita terhadap Allah dan rasul-Nya. Kepada artis baru jangan mudah mendabik dada. Bekerjalah dengan ikhlas dan jujur, insya-Allah kita akan peroleh kejayaan dunia dan akhirat," katanya.
Kata artis kelahiran Kota Singa itu, sebagai tanda syukur dengan penganugerahan itu, dia sekeluarga akan mengadakan majlis doa selamat dalam masa terdekat. Sebelum ini Jefrydeen pernah terima pingat Ahli Mahkota Perak pada 2002 dan Kesatria Mangku Negara (2006) daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.
"Penganugerahan inilah yang tertinggi buat saya dan akan dikenang selagi hayat dikandung badan. Saya akan terus berbakti kepada dunia seni selagi peminat memberikan sokongan. Penganugerahan ini juga mendorong saya untuk terus memberikan yang terbaik," katanya.
Rosyam pula berkata, dia akan meneruskan kerjanya seperti biasa dan dia tidak mampu menjanjikan itu dan ini.
"Saya akan bekerja tanpa merubah sedikit pun jadual hidup. Selama ini pun saya bekerja seikhlas hati tanpa mengharapkan balasan. Bagaimanapun, ucapan setinggi terima kasih kerana ada pihak yang nampak usaha saya itu ," katanya yang pernah mendapat Pingat Jaksa Kebaktian (2003) daripada Sultan Selangor.
Bercakap mengenai artis tempatan yang mendapat pingat daripada kerajaan luar, katanya lebih baik mendapat anugerah yang diberikan kerajaan negara ini sendiri.
"Untuk anugerah yang membawa gelaran Datuk misalnya, lebih afdal diberikan pemimpin negara kita sendiri. Pada saya jika anugerah itu diberikan kerajaan luar yang lebih kecil, tak payahlah kita terima. Lainlah kerajaan negara itu lebih besar daripada kita.
"Pun begitu, saya tidak mengharapkan sebarang gelaran. Terpulang kepada orang untuk menilai titik peluh saya," katanya.
Deretan projek menunggu Rosyam termasuk penggambaran drama 25 episod, Nigina, mengisi slot Samarinda TV3, lakonannya bersama Imelda Rosmila. Diikuti penggambaran drama Nenek Kebaya (TV3), sambungan musim kedua drama 26 episod, Gelora Di Hati Sara (RTM) dan Isabella (drama 26 episod untuk Astro Prima).
Selepas itu dia akan ke lokasi penggambaran drama Fantasia Bulan Madu (26 episod untuk RTM) dan akan menerbitkan dokudrama untuk Agensi Anti Dadah Kebangsaan berjudul Kau Yang Ku Sayang (tajuk sementara).
"Untuk dokudrama ini saya akan babitkan bekas pelajar Pilih Kasih dan memberi peluang kepada orang baru untuk mencuba bakat lakonan mereka. Penggambaran akan dimulakan penghujung Oktober ini," katanya.
