
Tiada apa yang lebih menggembirakan Johan apabila isteri yang dinikahinya pada 25 Julai lalu kini disahkan mengandung dua bulan. Pasangan bahagia ini mengakui amat teruja menantikan kehadiran anak sulung mereka yang bakal lahir sekitar April tahun depan.
"Saya tak kisah dapat anak lelaki atau perempuan, tapi kalau boleh saya nak anak kembar," ujar Johan sambil tersenyum makna.
Johan yang turut ditemani Ozlyn pada sesi santai Raja Lawak di The Curve turut mengatakan dirinya yang mengalami alahan dan turut mengidam makanan yang pelik.
"Pernah juga saya terbangun jam dua pagi sebab teringin sangat makan aiskrim. Sebelum ni saya bukanlah suka sangat makanan yang manis tapi sejak Ozlyn mengandung ni, makin menjadi-jadi saya mengidam.
"Tapi alhamdulillah Ozlyn tak ada mengidam yang pelik-pelik setakat ini," jelas Johan.
Walaupun bakal menimang cahayamata namun mereka akui belum menyediakan sebarang keperluan untuk menyambut kehadiran orang baru dalam hidup.
"Kandungan saya pun baru masuk dua bulan dan kalau boleh saya taknak terlalu mengharap. Bila masa sudah sampai, barulah kami akan menyediakan apa yang patut.
"Johan pula kalau mengidam, dia nak makan yang mahal saja tapi nasiblah guna duit dia," sampuk Ozlyn dengan nada gurau.
Masih Ada Yang Dengki
Pasangan yang dulunya sering dilanda kontroversi kini mengakui hidup mereka masih lagi diganggu oleh individu yang masih tidak berpuas hati dengan pernikahan mereka. Walau bagaimanapun menurut Johan, segala tohmahan dan ancaman yang diterima diambil sebagai nasihat.
"Masa saya kahwin pun berjuta syaitan menangis kerana saya telah sah mengikat perkahwinan. Mungkin juga ada manusia yang menangis dan saya tak tahu mengapa. Tapi yang hairannya sampai sekarang masih ada yang tidak berpuas hati.
"Namun saya tak pernah tertekan malah bahagia kerana saya berkahwin kerana Allah. Oleh itu biarlah apa yang orang nak kata kerana saya tak ada hak nak tutup mulut orang.
"Apa yang penting saya menjaga Ozlyn dan akan membawa dia ke mana saja saya pergi kerana sekarang ini Ozlyn yang menguruskan perjalanan seni saya," ulas pengacara Raja Lawak ini.

Perancangan Masa Depan
"Saya telah berhabis hampir RM70,000 untuk majlis perkahwinan kami dan buat masa ini saya tak mampu memikirkan apa yang saya bakal lakukan pada masa hadapan. Segala-galanya dalam hidup ini perlukan duit. Kalau kita merancang tapi tak ada modal tak ada guna juga.
"Tapi sekarang ni saya ada buat MLM yang berkaitan dengan show saya. Saya akan teruskan dalam dunia hiburan ini sehinggalah khidmat tak diperlukan lagi. Pada ketika itulah baru saya akan fikirkan perancangan masa depan. Ada duit semua boleh jadi," kata Johan mengakhiri perbualan.