Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Ainul tak peduli cakap orang


UNTUK membina nama sehingga mampu dibanggakan oleh setiap orang bukan mudah, apatah lagi pelbagai cabaran dan rintangan yang terpaksa diharungi oleh sesiapa sahaja.

Menjadi figura yang dikenali ramai sedikit sebanyak sudah menghilangkan privacy kepada anak seni tanah air dan Ainul Aishah Azizun sudah merasainya sendiri.

Namun semua itu sudah menjadi lumrah kepada kehidupan anak seni tatkala pelbagai cerita negatif menjadi mainan media massa. Gadis yang menginjak usia 24 tahun itu sudah merasai peritnya. Ketika masih lagi menapak membina karier, pelbagai kisah cinta mula menjadi perhatian pelbagai pihak.

Macam-macam cerita yang kurang enak berkumandang. Ada yang mengatakan dia dipukul dan tak kurang juga yang mula menuduh dia mencari publisiti di sebalik semua kisah tersebut.

Apa yang sudah berlalu biarkan berlalu. Jangan kita pula menjadi hakim dan menilai siapa yang betul dan siapa yang salah.

Bagi Ainul, dia sudah tidak mahu mengungkit kisah yang menjadi sejarah dalam hidupnya itu. Biarlah dia sahaja yang tahu apa yang sebenarnya berlaku kepadanya.

“Saya tak mahu memperkatakan isu tersebut dan saya juga tak mencari populariti melalui cara tersebut. Bagi saya cukup jika orang tahu menilai bakat yang ada dalam diri saya daripada mengenali saya melalui kontroversi.

“Tapi saya tidak menafikan yang kontroversi itu menaikkan nama seseorang artis. Cuma kena ingat ada kontroversi yang membuatkan orang sayang pada kita dan ada kontroversi yang membuatkan orang tak suka pada kita.

“Jadi, untuk apa saya memperjudikan nasib membuat kontroversi supaya saya dikenali ramai?,” kata anak jati kelahiran Kuala Lumpur ini.

Jika sudah namanya manusia, pasti tak pernah lari daripada kisah cinta. Ainul juga mahu disayangi dan dicintai oleh seseorang bernama lelaki. Cuma apa yang ditakuti jika kisah cinta itu tidak seperti yang diharapkan seperti mana yang dirasai oleh orang lain.

Akuinya lagi, dia kini begitu berhati-hati dalam mencari pasangan hidup. Walaupun usianya masih muda, Ainul tidak mahu menyembunyikan kisah cinta daripada peminat kerana bimbang disalah tafsir nanti.

“Saya masih solo dan masih belum berpunya. Saya mengaku saya ada menyukai seseorang tetapi semua itu masih lagi dalam proses mengenali hati budi. Saya senang berkawan dengannya.

“Saya sangat mendambakan seorang lelaki yang pandai memujuk memandangkan saya kuat merajuk. Yang pasti dia bukan kaki pukul dan seorang yang bertanggungjawab,” kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Mahu dihargai

Melihatkan satu persatu rakan-rakan menerima pengiktirafan baik dalam bidang lakonan mahupun bidang nyanyian, sudah pasti terdetik rasa geram dalam diri Ainul yang dicungkil bakat melalui filem Nana Tanjung ini.

Tambahan pula rakan baiknya sendiri, Liyana Jasmay baru sahaja memenangi Pelakon Wanita Terbaik, Festival Filem Malaysia ke 22 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

Bagi Ainul sudah pasti dia sangat berbangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh rakan baiknya itu tetapi dari satu sudut dia juga mahu membuktikan yang kehadirannya dalam industri bukan sekadar tempelan.

“Bagi saya Liyana memang layak diangkat sebagai pelakon wanita terbaik. Itu memang rezeki dia dan tidak ada langsung istilah iri hati atau dengki terhadap kejayaannya.

“Sudah pasti saya juga mahu menerima penghargaan tersebut tetapi biarlah ia disertakan dengan usaha yang gigih.

Jelas Ainul lagi, dia bukanlah jenis yang kemaruk untuk mendapatkan pengiktirafan dan berlakon hanya untuk memenangi anugerah. Tanpa menolak sebarang kemungkinan, Ainul kini lebih optimis yang dia juga mampu melakukan perkara tersebut biarpun memakan masa yang panjang.

“Saya bukan jenis orang yang cepat mengalah. Kalau orang lain boleh, saya juga mampu melakukan perkara yang sama.

“Kalau ada yang iri hati dan tak suka dengan apa yang saya buat, apa yang boleh saya katakan. Biarlah mereka terus mengata dan saya tetap akan meneruskan agenda seni saya mengikut kemahuan,” tambahnya lagi.

Langkah Ainul dalam bidang lakonan nampaknya semakin bergaya. Maka tidak hairanlah jika gadis hitam manis ini begitu sibuk dengan jadual penggambaran.

Ainul tidak lupa memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana dia masih lagi diberi ruang dan peluang untuk ‘memperagakan’ bakat yang ada dalam dirinya.

Menyingkap kisah lalu, kata Ainul, Razak Mohaideen adalah orang yang bertanggungjawab membawa dirinya masuk ke dalam bidang lakonan.

Melalui filem Nana Tanjung, bakat Ainul mula digilap dan sehingga hari ini dia berbangga kerana telah diberi kesempatan membintangi lima buah filem dan puluhan drama televisyen.

“Saya tidak belajar berlakon secara formal seperti artis-artis lain. Sukar juga pada awalnya apabila bergandingan dengan artis-artis senior yang lain.

“Tapi saya belajar setapak demi setapak dan alhamdulillah saya semakin berpuas hati dengan mutu lakonan saya jika mahu dibandingkan semasa mula-mula dahulu.

“Jika diberi peluang, ingin sekali saya berlakon dalam produksi teater. Saya melihat dunia teater sebagai sebuah kelas yang terbaik.

dalam melahirkan pelakon yang berwibawa,” jelasnya lagi.

Cuba nasib menyanyi

Seakan sudah menjadi trend, seorang pelakon akan menjadi penyanyi ataupun penyanyi menjadi pelakon. Itu sudah biasa dan tidak ada yang janggal kerana mengikut kehendak masing-masing.

Ada yang berjaya dalam bidang baru yang diceburi dan tidak kurang juga yang sekadar memenuhkan senarai artis air tanpa sebarang kesan seperti yang diharapkan.

Nampaknya Ainul juga tidak mahu ketinggalan melebarkan sayap dalam bidang nyanyian. Jelasnya tidak ada apa yang hendak dimalukan dan sebagai artis tidak salah dia mencuba apa yang dihajati.

Jika mengikut perancangan Ainul bakal keluar dengan dua buah lagu yang akan dijadikan single sedikit masa lagi yang diciptakan sendiri olehnya bersama salah seorang rakan baiknya.

“Jika tidak ada aral melintang saya akan mula merakamkan lagu sedikit masa lagi. Suka saya nyatakan yang saya amat meminati genre pop dan sudah semestinya ia akan menjadi teras kepada jalur muzik saya nanti.

Sukar untuk menelah apa yang terbuku di hatinya memandangkan menjadi seorang penyanyi sudah menjadi impiannya sejak kecil lagi dan ia ditambah dengan dorongan daripada ahli keluarga.

Saat ditebak dengan soalan tidak bimbangkah Ainul dengan kata-kata negatif peminat nanti terhadap impiannya untuk menjadi penyanyi, jawab Ainul; “saya tidak peduli dengan apa yang orang lain nak cakap,”

“Saya seorang yang selamba. Kalau ada yang nak cakap saya syok sendiri atau apa pun, saya peduli apa? Yang penting saya tahu apa yang saya buat dan apa yang saya mahu dalam hidup.

“Saya tidak boleh menilai diri saya dan peminat juga tidak boleh menilai sebarangan kerana mereka masih belum lagi mendengar nyanyian saya. Jadi sudah semestinya saya mahu mereka mendengar dahulu sebelum menjatuhkan hukuman.

“Sebagai manusia biasa saya tidak dapat memuaskan hati semua orang. Siapa yang suka saya sangat hargai tetapi bagi yang sebaliknya, apa yang boleh saya buat.

“Apa yang pasti saya akan menjadikan bidang nyanyian sebagai satu bidang yang serius. Saya tak mahu dilabel sebagai hangat-hangat tahi ayam,” kata Ainul.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails