
Gaya pahlawan ke gaya kain pelikat?
Siapa yang sanggup berbelanja hampir sebulan gaji semata-mata untuk menonton konsert artis tempatan?
Dan tertanya juga siapakah artis yang layak diberikan gelaran eksklusif sebegitu rupa? Itulah Anuar Zain yang diberi kepercayaan mengambil risiko meletakkan tiket pada harga RM800 untuk Majlis Eksklusif Syawal Bersama Anuar Zain.
Apa yang membanggakan, tiket yang hanya terhad kepada 300 tetamu telah habis dijual dan undangan yang memenuhi dewan cukup terhibur dengan persembahan penyanyi bersuara lantang ini.
Jeritan dan air mata peminat mengiringi persembahan lelaki tampan ini membuktikan betapa hebatnya aura penyanyi bernama Shahrul Anuar Zain atau lebih dikenali dengan Anuar Zain. Tidak dinafikan beliau mempunyai peminat fanatik yang bersedia mengikuti ke mana sahaja persembahannya.
"Memang saya kenal peminat yang sentiasa ada di setiap persembahan saya dan yang paling mengharukan apabila mereka sanggup sediakan tabung khas untuk menonton konsert saya. Saya juga gembira apabila mereka menyanyi bersama-sama saya ketika persembahan seperti yang anda lihat tadi. Namun saya bukan penyanyi paling eksklusif," tutur Anuar merendah diri.
Terkejut Harga Tiket
"Saya sendiri sebenarnya terkejut bila penganjur meletakkan harga tiket RM800 kerana perancangan asal hanyalah RM400. Ia bukan kemahuan saya. Bila penganjur tetapkan harga tersebut, memang risau sangat kerana dengan keadaan ekonomi sekarang, tak ramai yang mampu dan sanggup mengeluarkan wang sebanyak itu semata-mata ingin menonton konsert. Namun saya bersyukur sangat kerana ia masih mendapat sambutan," ujar anak kelahiran Merlimau, Melaka ini.
Namun penyanyi kacak ini bijak menghiburkan hadirin yang datang kerana baginya peminat merupakan insan yang penting dalam hidup dan adalah pekerjaannya untuk menghiburkan mereka.

Peminat teruja dapat dekati Anuar.
"Interaksi sangat penting bila bersama peminat. Kita harus melihat ke dalam mata seseorang apabila berkata-kata dan ini akan membuatkan peminat rasa diri mereka dihargai.
"Bila kita memilih untuk menjadi seorang penghibur, adalah tanggungjawab kita seorang untuk menghiburkan ratusan peminat. Jangan biarkan mereka turut merasai kesusahan anda seorang. Bila naik ke pentas, secara automatik, kita kena lupakan segala masalah yang ada agar tidak memberi kesan terhadap persembahan," katanya.
Susah Dapatkan Penaja
Biarpun pernah menjayakan Konsert Lelaki Ini - Anuar Zain 2009 di Istana Budaya dan menunjukkan kejayaan yang memberansangkan, namun jelas penyanyi bersuara lantang ini, masih belum ada yang berani mengambil risiko menaja konsert artis tempatan.
"Selepas konsert di Istana Budaya, tidak ada lagi tawaran untuk melakukan konsert. Saya minta janganlah letakkan saya di tahap eksklusif kerana saya masih akan turun untuk konsert yang dianjurkan secara percuma. Yang terbaru, saya terlibat dengan Gempak Astro yang menyaksikan persembahan artis di desa secara percuma," kata Anuar yang gemar menghabiskan masa di kedai mamak sekitar Shah Alam.
Soal Kahwin
Biarpun usia telah menjejak 39 tahun, namun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menamatkan zaman bujang dalam masa terdekat.
"Mungkin bila saya berhenti menyanyi. baru saya akan berkahwin. Saya kasihankan wanita yang bakal menjadi isteri saya sebab nanti tak ada masa untuk diluangkan bersama.
"Dulu saya pernah rapat dengan seseorang tapi bila keluar di internet gambar kami berdua, dia yang teruk kena kutuk padahal saya tak kena apa-apa pun. Sebab itu buat masa sekarang biarlah saya tumpukan dengan karier dulu," ujar Anuar sambil tersenyum.

Bila mahu cari jodoh?
Majlis yang diadakan di Golden Chersonese Mediahall, Maju Junction ini menyaksikan Anuar menyanyikan 15 buah lagu termasuk Tiada Maaf Bagimu, Hanya Milikmu, Lelaki ini, Sesuci Cintamu, Ketulusan Hati dan Teman Terulung. Majlis yang berlangsung selama empat jam ini ditaja oleh Paycomm Network selaku penaja utama dan Quality Hotel City Centre sebagai penaja rasmi.
Impian dan Harapan
Satu-satunya harapan bintang ini adalah ingin mengeluarkan album lagu-lagu Asli kerana baginya kasih sayang masyarakat sekarang terhadap irama Malaysia semakin berkurangan.
"Saya rasa bertanggungjawab terhadap warisan negara kita dan ingin mengekalkannya dalam legasi agar sentiasa segar dalam budaya kita. Dan saya seboleh mungkin akan mencari lagu lama yang jarang diperdengarkan kepada umum untuk meluaskan lagi pengetahuan masyarakat terhadap lagu Melayu Asli seperti lagu Burung Putih," katanya.