
SEPTEMBER 2008 buat pertama kalinya Kosmo! menyiarkan foto keintiman pelakon Fahrin Ahmad dan Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya atau Scha yang dirakamkan pada majlis berbuka puasa anjuran Astro Shaw.
Tidak lama kemudian, Fahrin yang ketika itu masih hangat dengan kisah putus kasihnya bersama penyampai radio terkenal Linda Onn dengan secara terbuka mengaku sedang bercinta dengan Scha.
Tiada lagi istilah teman tapi mesra atau cinta sembunyi-sembunyi, sebaliknya percintaan mereka diluahkan secara terbuka kepada peminat dan media.
Namun, mungkin dasar terbuka yang diamalkan Fahrin dan Scha memakan diri apabila mereka menjadi pasangan kekasih yang menjadi buruan media.
Entah di mana silap, cinta yang disulam mereka akhirnya terputus di tengah jalan. Sejak itu, banyak pihak mula berteka-teki punca keretakan hubungan mereka tetapi hanya mereka berdua yang mengetahui apa sebenarnya yang berlaku.
Bagi mendasari lebih lanjut tentang keretakan hubungan mereka ikuti temu bual Fahrin dan Scha eksklusif bersama Kosmo!

Apakah cerita sebenarnya di sebalik gosip putus cinta antara Fahrin dan Scha?
Saya hanya bercakap bila perlu dan tepat pada masanya buat masa ini. Sebagai seorang yang lebih matang dan pernah melalui pengalaman yang menduga saya rasa lebih senang untuk tidak beri komen panjang buat masa ini.
Adakah susah bercinta dengan selebriti?
Sejak mula berkawan dengan Scha, saya sudah nampak cabaran dan dugaan yang besar tetapi saya orang yang positif dan saya berani mengharungi cabaran.
Adakah hubungan cinta putus disebabkan perhatian media yang keterlaluan?
Sejak dari awal kami berkawan saya sudah banyak kali merayu dan bercakap kepada media dan masyarakat tentang perkara ini. Saya tidak boleh salahkan media sebab saya faham tugas mereka. Apa yang boleh saya cakap memang tekanan boleh berlaku apabila kami diberi terlebih perhatian. Perhubungan kami berlaku tanpa dirancang seperti orang lain juga.
Adakah Fahrin serik bercinta dengan selebriti?
Setiap pengalaman itu satu proses pembelajaran dalam hidup, dari situ juga saya akan memperbaiki atau lebih teliti tentang pilihan dan perancangan dalam hidup. Secara jujur semasa temu bual ini dijalankan saya lebih senang tidak memikirkannya.
Bila cinta bersama selebriti tidak menjadi buat kali kedua, ramai menuding jari seolah-olah kamu yang bermasalah. Apa komen Fahrin?
Saya tahu akan ada orang yang bersifat prejudis seperti itu tetapi jawapan saya mudah. Saya cuma senyum sahaja. Sebelum menghakimi dan menilai, siapakah mereka dan adakah mereka tahu apa sebenarnya yang terjadi dalam perjalanan persahabatan kami?
Sejauh manakah hubungan kalian sebelum ini? Adakah sudah sampai berjumpa keluarga?
Saya sudah berumur 30 tahun dan sudah berulang kali mengatakan saya sudah sedia untuk berumahtangga. Saya pernah melalui pengalaman yang menguji dan adakah saya akan menjebakkan diri dalam satu perhubungan yang main-main?
Nampaknya kisah cinta dan putus cinta menyumbang kepada populariti Fahrin. Bagaimana kamu menerima situasi ini?
Sebagai seorang manusia biasa saya sentiasa mengasingkan kehidupan peribadi dengan karier tetapi mungkin tidak kepada media dan masyarakat. Mereka seolah-olah menyatukan kisah peribadi dan kerjaya seseorang. Secara jujur harga yang harus saya bayar untuk berada dalam bidang ini terlalu tinggi dan saya rasa semakin sedih. Rasanya tidak sanggup apabila harga yang harus saya bayar adalah kehidupan peribadi saya. Kalau saya diberi hanya dua pilihan antara populariti dan kebahagiaan saya lebih rela memilih kebahagian, populariti tidak semata-mata bererti kebahagiaan.
Bagaimanakah hubungan dengan Scha selepas ini?
Kami akan mengacarakan program Sehati Berdansa, kita tengoklah nanti.
Bagaimanakah impak semua kisah cinta ini kepada Fahrin?
Setiap apa yang saya buat, saya pastikan diri saya ikhlas untuk sesuatu niat yang baik serta lakukan dengan bersungguh! Seandainya saya sudah memberikan yang terbaik, ujian dan dugaan menimpa, saya sentiasa mengingatkan diri untuk tidak memarahi takdir tidak terlalu berkeluh kesah, meratapi keadaan. Saya percaya apa yang perlu saya buat adalah menguasai perasaan reda dalam diri, seandainya saya berjaya Insya-Allah akan ada sesuatu yang baik akan datang kepada saya.
Adakah Fahrin menyesal dengan putusnya hubungan cinta ini?
Mungkin akan ada rasa menyesal, rasa resah gelisah dan bersalah seandainya saya membuat sesuatu dengan tidak ikhlas dan niat yang salah. Biarlah apa sekalipun, saya percaya Allah dan masa akan menjelaskannya.
Scha malu putus cinta
SCHA yang dilihat sebagai bintang pelapis industri lakonan tempatan sememangnya menjadi perhatian media sejak dia mula popular dengan drama Awan Dania. Bagaimanapun kisah hubungan cinta gadis itu dengan Fahrin melonjakkan lagi popularitinya.
Tidak pernah melatah dengan apa yang dikeluarkan media tentang dirinya ketika masih bergelar kekasih kepada pelakon popular, namun sebagai wanita terusik juga jiwanya apabila ada pihak mengatakan Scha yang terlalu melebih-lebih bercerita mengenai hubungan mereka.

Apakah status hubungan kalian sekarang?
Sekarang ini, kira kawan saja dan kami tidak bergaduh. Kawan biasa sahaja.
Apakah punca sampai membawa kepada putusnya hubungan cinta anda berdua?
Susahlah sebab kami tidak ada sefahaman, tidak boleh bersama. Kami datang dari latarbelakang, zaman dan masa yang berbeza jadi tidak boleh satu kepala.
Sejauh mana hubungan kalian sebelum berpisah?
Kami sudah jumpa keluarga masing-masing tetapi tidak adalah sampai masuk meminang. Scha ada beberapa kali melawat mak dia, Fahrin pun ada datang jumpa mak Scha tetapi nak buat macam mana? Hati dan perasaan tidak boleh dipaksa. Keluarga sentiasa bersama Scha.
Ada pihak yang mendakwa hubungan retak kerana Scha enggan berkahwin awal. Benarkah begitu?
Tidaklah, umur saya pun dah 26 tahun bukannya muda lagi, Memang Scha ada cakap nak kahwin dalam dua tahun lagi tetapi itu sekadar rancangan. Scha bukan nak kejar glamor sampai lupa daratan, akhirnya Scha akan berkahwin juga. Tetapi sudah tidak ada jodoh nak buat macam mana?
Adakah kerana tumpuan meluas media terhadap hubungan cinta kalian menyebabkan Scha rimas dan ambil keputusan ini?
Scha tidak mahu salahkan media, cuma perhatian terlebih itu agak merimaskan. Itu antara faktor menyebabkan kami bergolak. Scha malu sebab ramai yang suka tanya Scha dan nampak macam Scha yang kecoh sebab apa yang ditulis datang daripada mulut Scha. Terlalu kuat orang cakap pasal cinta tidak ada langsung pasal kerjaya, Scha jadi malu. Kalau boleh Scha tidak mahu macam itu.
Populariti kalian naik mendadak sejak tersebar kisah cinta dan putus cinta. Apakah komen Scha?
Mungkin cerita kami ada nilai, bila Scha bercinta orang nak tahu, harap lepas ini sudah tidak ada lagi cerita macam ini. Janganlah buat cerita baru, ramai lagi artis yang lain putus cinta tidak kecoh pun. Itu yang malu.
Macam mana dengan kerjasama dalam program Sehati Berdansa?
Scha orang yang selamba dan sempoi, Scha tidak ada masalah, rasanya boleh kerja dengan dia.
Bagaimanakah impak kisah cinta dan putus cinta kepada Scha?
Scha sebenarnya tidak mahu kecoh, selalu rasa teragak-agak nak jawab bila orang tanya tentang kami. Kalau Scha cakap nanti orang kata Scha kecoh, kalau orang tanya saya tidak cakap pun orang akan kata macam-macam. Scha tidak mahu menyinggung perasaan keluarga dia. Kadangkala perkara ini menganggu emosi Scha kerana terlalu memikirkannya. Scha pun ada ibu bapa, banyak hati yang kena jaga. Jadi bila putus Scha tidak mahu bergaduh.
Adakah Scha serik untuk bercinta dengan artis?
Adalah juga rasa, tetapi tidak boleh cakap lebih-lebih manalah tahu lepas ini bercinta dengan orang seni juga. Biar Allah tentukan dengan siapa Scha bercinta selepas ini.