
JUALAN album yang kurang memberangsangkan sejak kebelakangan ini menyebabkan banyak syarikat rakaman dan artis tidak berani merakam serta menerbitkan album penuh yang biasanya mengandungi 10 buah lagu.
Sebaliknya, ramai di antara mereka yang memilih jalan selamat dengan merakamkan album single yang biasanya memuatkan satu hingga lima lagu bagi menjimatkan kos, selain mudah serta murah untuk dijual di pasaran.
Walau bagaimanapun, bagi vokalis kumpulan rock Wings, Awie pula, dia enggan merakamkan album single kerana ia bukan sahaja tidak memberi kepuasan kepada para peminat yang membelinya tetapi juga kepada anggota-anggota kumpulannya itu.
"Saya kurang setuju apabila trend merakamkan album single semakin meluas sekarang ini termasuklah di kalangan artis yang sudah lama. Kalau artis baru mungkinlah sesuai kerana mereka belum ada peminat sendiri.
"Bagi sayalah, saya tidak setuju kalau ada syarikat rakaman yang ingin menawarkan kepada kami untuk merakamkan album single yang cuma ada satu atau dua lagu. Alang-alang rakam album biar buat album penuh terus.
"Kalau album penuh yang dirakamkan itu tidak jual pun tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya kami rasa puas dan telahpun mencuba sedaya upaya," katanya ketika ditemui Hits selepas persembahan Wings di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Awie, buat masa ini Wings sedang membuat persiapan termasuklah mengumpul lagu-lagu yang sesuai sebelum mereka memasuki studio rakaman pada Disember ini untuk merakam serta menerbitkan album terbaru mereka.
Sungguhpun industri muzik tanah air kurang memberangsangkan sejak akhir-akhir ini tetapi beliau yakin Wings masih mempunyai ramai peminat termasuklah daripada ahli-ahli kelab peminat mereka yang semakin bertambah.
Senario itu dapat dilihat daripada persembahan Up Close & Personal bersama Wings di pusat hiburan terkemuka Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur, yang mengenakan harga tiket RM60 pada persembahan hampir 90 minit tersebut.
"Pada malam ini pun lebih 100 daripada kira-kira 200 peminat yang datang menyaksikan persembahan kami merupakan ahli-ahli kelab peminat Wings yang tidak henti-henti menyokong apa juga aktiviti yang kami jalankan.
Lagu-lagu popular
"Sehingga kini kelab peminat Wings mempunyai keahlian seramai 600 orang di mana kami juga mempunyai laman sesawang sendiri seperti di Facebook yang menguar-uarkan pelbagai aktiviti tentang kami," ujarnya.
Pada persembahan yang julung-julung kalinya diadakan di Hard Rock Cafe itu, Wings telah menyampaikan sekitar 16 lagu tidak termasuk lagu-lagu popular mereka yang dipersembahkan secara medley.
Antara lagu yang mereka nyanyikan pada malam itu berjudul Opera Hidup, Ranggi Metropolis, Bazooka Penaka, Bernafas Dalam Lumpur, Lipas Kudung, Sejati Jerangkap Samar, Jumpa Hilang, Aku Pun Tahu dan Puisi Merdeka.
Memandangkan masa persembahan yang singkat Wings pada malam itu terpaksa menjadikan empat buah lagu dalam satu yang berkonsepkan medley bagi memenuhi permintaan daripada para peminat setia mereka.
"Untuk persembahan ini kami hanya diberi masa sekitar satu jam 30 minit sahaja. Jadi, adalah mustahil kami dapat menyanyikan semua lagu atau album yang pernah kami hasilkan pada satu-satu persembahan seperti ini.
"Sebab itulah pada persembahan ini kami telah merangkumkan empat lagu popular kami seperti Intan Ku Kesepian dalam bentuk medley dengan lagu-lagu yang lain bagi menjimatkan masa selain memenuhi permintaan daripada para peminat kami.
"Malah, sebelum persembahan ini pun kami telah menjalankan kaji selidik melalui laman web kelab peminat Wings di Facebook dan ramai yang mahu kami nyanyikan lagu-lagu lama kami yang popular suatu ketika dulu," katanya.
Para peminat yang menyaksikan persembahan Wings pada malam itu seakan-akan tidak puas apabila mereka mengakhirinya dengan lagu berjudul Peronda Jaket Biru sebelum menambah sebuah lagi lagu iaitu Biarkan Berlalu.
Meskipun persembahan tanpa henti itu berlangsung dalam suasana hujung minggu dengan pelbagai acara seperti rumah terbuka Aidilfitri dan perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris tetapi ia tidak menghalang para peminat Wings memenuhi pusat hiburan tersebut.
"Ini membuktikan sokongan para peminat terhadap kami. Di luar Hard Rock Cafe, kelab peminat kami juga menjual kemeja-T Wings di mana ramai yang membeli dan memakainya ketika menyaksikan persembahan kami.
"Selain itu, kami juga sudah biasa dengan para peminat dan kami sudah faham dengan apa yang mereka mahukan. Contohnya, lagu-lagu apa yang mereka mahukan setiap kali kami mengadakan persembahan.
"Secara tidak langsung ia turut mengeratkan lagi perhubungan antara Wings dan para peminat kami. Saya yakin selagi mereka ini (peminat) masih ada, maka selagi itulah Wings akan terus diminati dan wujud dalam persada muzik di negara ini," ujarnya lagi.