Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Diana Danielle dan Fouziah Gous tak mudah jatuh cinta


Diana Danielle, Fouziah akui kurang senang apabila hubungan rakan dengan lelaki disalah erti

MEREKA jelita. dua pelakon muda ini sering menjadi dambaan ramai jejaka. Ramai yang cair hati melihat aksi fizikal dua gadis ini. Dek kerana rupa paras yang menawan itu jugalah Diana Danielle Danny Beeson, 18, dan dan Nor Fouziah Mohd Gous, 27, sering menjadi mangsa kontroversi dan dipalit dengan pelbagai gosip cinta dan dituduh ada hubungan dengan beberapa lelaki kenamaan. Pelbagai cerita panas membuatkan mereka makan hati namun mereka terus tegar menongkah arus dunia perfileman sekali gus kontroversi berkenaan juga banyak menaikkan populariti mereka.

Diana Danielle pernah mencetuskan kontroversi pabila tercetusnya kes pergaduhan bersama bekas teman lelakinya, Shamsul Yusof tidak lama dulu. Belumpun reda dengan kes itu, gadis kacukan Melayu-Inggeris itu dikaitkan pula dengan pemberian kereta mewah oleh seorang VIP terkemuka. Puas menepis dan menafikan, kini timbul pula cerita pelakon berusia 18 tahun itu menjalinkan hubungan cinta dengan aktor kacak, Farid Kamil.

Fouziah pula ada cerita lain. Selepas heboh `cinta cover line’ antara Fouziah dengan aktor, Iqram Dinzly tidak lama dulu, pelakon kacukan Melayu-Pakistan-Cina itu dikaitkan pula ada hubungan intim dengan 'orang kuat' di stesen dunia penyiaran tanah air. Puas menidakkannya, tetapi ia terus menjadi buah mulut orang. Bak kata orang, mulut tempayan boleh ditutup, inikan pula mulut manusia...

Dengan azam dan semangat yang kuat, tumpuan mereka kini kepada kerjaya seni. Pedulikan cakap orang sebab mereka sudah letih melayan segala tohmahan.

Kini ketibaan Ramadan, ia bukan masa untuk mereka berehat tetapi Diana dan Fouziah tetap sibuk di lokasi penggambaran. Lebih-lebih lagi Diana, apabila waktu siang terpaksa menghadiri kelas manakala selepas berbuka puasa meneruskan pula penggambaran dari satu drama ke dram yang lain kebanyakannya dalam format telefilem. Terbaru, Diana terbabit dalam penggambaran telefilem seram, Gundorowo untuk TV3.

Dengan nada perlahan, Diana akui: "Saya adalah manusia biasa yang mempunyai naluri seperti gadis remaja lain. Saya juga tidak terlepas daripada keinginan mahu berkawan dengan lelaki. Jadi, janganlah salah anggap jika saya berkawan rapat dengan Farid. Saya nak tegaskan hubungan kami juga belum sampai tahap nak bercinta. Lagipun saya belum bersedia ke arah itu memandangkan banyak lagi perkara penting yang perlu dilaksanakan dalam hidup saya.

Nafi bercinta dengan Farid

"Saya senang berkawan dengan Farid tetapi bukan bermakna saya jatuh cinta dengannya. Saya bukanlah seorang yang mudah jatuh cinta dengan lelaki. Saya boleh membaca fikiran lelaki sama ada ikhlas berkawan dengan saya atau mempunyai niat di sebaliknya. Jadi apabila berasakan ada yang mahu mengambil kesempatan, saya akan cuba jauhkan diri. Saya tidak suka pada lelaki yang mengambil kesempatan atas kelemahan wanita.

"Perjalanan hidup saya pun masih jauh dan mungkin selepas ini, saya akan bertemu lelaki demi lelaki yang mungkin salah satu daripadanya ditakdirkan akan menjadi jodoh saya. Apa yang saya fikirkan sekarang adalah masa depan dan pelajaran saya. Kadang kala saya sedih juga apabila sering dihimpit kontroversi, tetapi saya kena kuat dan kini dah semakin lali dengan gosip dan kontroversi yang melanda. Mungkin inilah harga yang perlu dibayar apabila bergelar anak seni.

"Saya bersyukur memiliki mama, Norsiah Ramli yang begitu memahami kehendak dan gelodak jiwa anak remajanya. Bagaimanapun, mama tidak akan sewenang-wenangnya melepaskan saya keluar bersama teman-teman. Hidup saya tidak bebas seperti remaja lain, jika tiada pembantu peribadi, kadang kala mama turut menemani saya keluar.

Ada sebab masih berkepit dengan mama

"Memang pelik apabila saya sentiasa berkepit dengan mama tetapi saya selesa begitu, saya tidak mahu orang luar berpandangan serong apabila nampak saya bersama kawan-kawan kolej."

Mengenai perkembangan terbaru, Diana berkata dia rindu kembali ke lokasi penggambaran selepas lima bulan berehat berikutan menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan memulakan pengajiannya dalam bidang bio-sains di University Of Nottingham (Kampus Malaysia).

"Saya rindu sangat nak berlakon, saya akan memulakan penggambaran telefilem genre seram, Gundorowo untuk TV3, Ahad ini (hari ini) selama 10 hari. Memanglah meletihkan apabila siang berpuasa dan perlu menghadiri kelas, malam pula terpaksa berada di lokasi penggambaran dari petang hingga awal pagi. Bagaimanapun, alah bisa tegal biasa, saya semakin biasa dengan keadaan ini selepas empat tahun bergelar pelakon.

"Seperti tahun-tahun sebelumnya, saya jarang mahu manjakan diri pada bulan Ramadan. Saya dilahirkan dengan tubuh badan yang sihat dan tiada penyakit gastrik, tiada alasan untuk saya ponteng puasa walaupun saya penat dan kehausan. Saya juga terharu apabila teman-teman bukan Islam di sekolah dulu turut berpuasa bersama saya. Mereka tidak akan makan melainkan waktu berbuka puasa. Yang seronoknya, mereka tidak pernah merungut lapar atau dahaga," katanya.

Marah dikaitkan bercinta dengan Iqram

Bagi Fouziah, dia sakit hati apabila ada yang menggelarkan dirinya dan Iqram Dinzly bercinta tetapi cover line, sedangkan hakikatnya mereka hanyalah teman rapat.

Secara jujur, Fouziah akui: "Saya tak tahu perasaan Iqram, tetapi saya hanya menyayanginya sebagai teman rapat. Sudah empat tahun kami berkawan, memang secara luarannya orang melihat kami seperti pasangan bercinta tetapi hakikatnya, kami hanyalah sahabat baik. Saya tak pernah menipu!

"Bagaimanapun, saya akui kami agak renggang ketika ini kerana saya mahu memberikan peluang dan ruang kepada Iqram bertemu gadis lain. Jika setiap hari Iqram bersama saya, bila masa saya mahupun dia bertemu orang lain. Sebab itu saya marah bila ada yang mengata bukan-bukan mengenai Iqram, saya kenal siapa Iqram.

"Cuma dari sahabat baik nak bertukar perasaan cinta memang susah, bukan saya tak cuba tetapi saya selesa berkawan dengan Iqram sebagai rakan baik, bukan kekasih. Saya tahu Iqram sedikit terasa apabila kami semakin renggang, malah hidup saya juga banyak berubah bila tidak bersama Iqram. Dulu jika tiada shooting, kami banyak menghabiskan masa bersama tak kiralah makan tengah hari atau malam, lepak dan menonton wayang.

"Sejak sebulan dua ini, saya dan Iqram perlu mengatur hidup sendiri. Kami juga sudah lama tidak berhubung cuma secara kebetulan, kami berlakon bersama dalam telefilem Cinta Batu Karang arahan Liza Ismail untuk TV2, baru-baru ini. Kami tidak bergaduh cuma sudah masanya kami membawa haluan masing-masing. Saya tahu Iqram sudah terlalu selesa dengan saya, sudah faham kerenah dan buruk baik saya, tetapi jika kami terus bersama, bagaimana dengan masa depan kami?"

Tidak pernah 'cinta cover line'

"Jadi saya nak menegaskan di sini, tiada cinta cover line antara saya dengan Iqram. Kenapa perlu saya nak cover line jika kami bercinta, saya mahupun Iqram bukan milik sesiapa. Tiada gunanya saya nak cover line jika cinta benar-benar hadir dalam hidup kami, malah saya tak malu nak mengakuinya.

"Apa yang dapat saya katakan, saya senang bersama Iqram kerana dia bukan seperti lelaki lain. Ketika bersamanya, Iqram tidak suka bercerita, mengata atau mengutuk orang lain, perbualan kami hanya berkisar mengenai masa depan masing-masing," kata gadis kelahiran Kuala Lumpur ini.

Dia berkata, dirinya juga terlalu sibuk dengan penggambaran drama sepanjang Ramadan ini. Selepas itu, dia terbabit dalam filem Rasuk yang dijangka menjalani penggambaran selepas Aidilfitri nanti.

"Saya tahu banyak cabarannya berpuasa di lokasi penggambaran tetapi saya ada prinsip. Insya-Allah iman saya tak tergugat bila melihat ada orang yang tidak berpuasa. Bagaimana letih sekalipun, saya tetap akan berpuasa dan penggambaran habis awal, saya akan bergegas pulang ke rumah berbuka puasa dengan ibu bapa dan keluarga.

"Bagaimanapun, sejak bekerja, saya akan pastikan pada hari pertama berpuasa, saya akan berbuka puasa dengan keluarga. Detik itu paling saya nantikan setiap tahun, selain menyambut Aidilfitri bersama mereka. Tahun lalu, saya ditimpa kemalangan pada malam raya selepas terjatuh ketika mahu mengambil wuduk di surau. Ketika itu, saya menjayakan program Sampai Raya 2008.

"Mujurlah saya dapat menghabiskan program berkenaan dan hanya sakit apabila pulang ke rumah. Bayangkan pada pagi raya pertama, keluarga terpaksa mengusung saya ke Hospital Putrajaya kerana saya tidak mampu berjalan lagi. Bagaimanapun, layanan pihak Hospital Putrajaya mengecewakan. Ketika itu, saya sudah tidak tahan sakit dan menangis semahunya apabila diminta tunggu lama. Seharian saya dan keluarga beraya di hospital," katanya ketawa kecil.

INFO: Diana


•NAMA PENUH: Diana Danielle Danny Beeson

•USIA: 18 Tahun

•TARIKH LAHIR: 22 November 1991

•TEMPAT LAHIR: Houston, Amerika Syarikat

•KETURUNAN: Melayu-Amerika

•ADIK BERADIK: Anak Tunggal

•KERJAYA: Model/Pelakon/Penyanyi

•DRAMA/TELEFILEM: Air Mata Maria, Janji Diana, Gol & Gincu The Series dan Farah Syakirah

•FILEM: Evolusi KL Drift, Maut, Bohsia, Setem, Kecoh Betul dan Magika

•LAGU: Radio (bersama Imran Ajmain, Ahmad Nabil dan Infinatez)

INFO: Fouziah

•NAMA PENUH: Nor Fouziah Mohd Gous

•USIA: 27 Tahun

•TARIKH LAHIR: 11 Disember 1982

•ASAL: Kuala Lumpur

•DARAH CAMPURAN: Pakistan, Melayu (bapa) dan Cina (emak)

•KELUARGA: Bongsu daripada lima beradik

•PENDIDIKAN: Diploma Kesetiausahaan dari Kolej Sistematik, Kuala Lumpur

•KOMERSIAL TV: Adabi, Homesoy, Kentucky Fried Chicken (KFC), Fab dan Munchies

•DRAMA: Sangga Saadah, Qa'naah, Cinta Medik, Impak Maksima The

Series, Otai The Series, Pencak Akhir, Anak Mami, Enigma, Kain Ketat, Isabella, Sutera Maya, Kasihmu Di Bulan Ramadan, Puisi Untuk Anis, Kepulangan, Sutera Maya dan Spa Q 2

•FILEM: Bujang Senang, Malaikat Maut, Skrip 7707, Otai, Rasukan Ablasa, Sifu & Tongga, Dua Hati Satu Jiwa & Rasuk

•PROGRAM TV: Sampaikan Raya 2008 dan Ketuk-Ketuk Raya

•PENCAPAIAN: Pelakon Harapan Wanita Popular (Anugerah Shine Pantene) di ASK2007.

Solekan & Dandanan: Rieza Amour ()
Busana: Crystal Fashion House, Lot 2.81, Tingkat 2, Kompleks Pertama, Jalan Tunku Abdul Rahman, ()
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails