Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Aaron Aziz dan Acha Malaysia lubuk rezeki kami



Aaron dan Acha akui seronok dan bangga dapat kembangkan kerjaya seni di negara ini

GANDINGAN dua nama popular dari dua negara jiran, Acha Septriasa, 20, dan Aaron Aziz, 33, membangkitkan keserasian antara kedua-duanya meskipun inilah kali pertama mereka bertentang mata dalam sesi fotografi. Pun Begitu, Acha, aktres jelita dari Jakarta manakala Aaron, aktor dan model kacak kelahiran Singapura, saling mengagumi karier seni masing-masing. Justeru, apabila bertentang mata, senyuman meleret tidak pernah lekang di bibir antara kedua-duanya.

Ironinya, Acha dan Aaron tetap memilih Malaysia untuk pendidikan dan melebarkan kerjaya seni apabila bintang filem Heart itu melanjutkan pengajiannya di bidang Komunikasi Massa Multimedia & Penyiaran di Universiti Limkokwing, Cyberjaya, manakala Aaron sepantas kilat menempa popularitinya di sini sehingga dia dilantik sebagai Wajah Eksklusif Astro dan duta kepada beberapa produk gergasi tempatan.

Bagi mereka, Malaysia ibarat negara sendiri kerana di sinilah mereka mencari rezeki dan berpeluang mengembangkan kerjaya seni kerana masing-masing diterima peminat dan produk seni mereka juga laris.
Namun, Acha menangguhkan pengajiannya selama enam bulan dan akan kembali ke kampus selewat-lewatnya awal tahun depan apabila ketika ini dia sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri terbarunya di Jakarta. Acha akan kembali menetap di Kuala Lumpur bersama keluarga sebaik kuliah bermula. Ketika di Indonesia, Acha menetap di kediaman keluarganya di Tebet Timur Dalam, Jakarta Selatan.

Menguruskan temu janji bersama Acha amat mudah apabila mendapat kerjasama dan layanan daripada ibunya, Rita. Kedatangan Acha ke Kuala Lumpur selama tiga hari mulai tanggal 27 Ogos lalu adalah untuk mempromosikan album mini solo pertamanya, Keputusan Hati apabila buat pertama kalinya, semua melodi serta lirik keempat-empat lagu di dalam album berkenaan, Acha sendiri bertindak sebagai produser dan komposer.

Album berkenaan sudah pun berada di pasaran Indonesia mulai 15 Ogos lalu apabila Acha memilih label Limaduabelas Muzik milik penyanyi terkenal Indonesia, Rossa untuk bernaung dan menjadi artis syarikat rakaman berkenaan sebaik saja kontraknya bersama Warner Music, tamat. Keputusan Hati adalah percubaan pertama Acha menghasilkan semua lagu solo apabila sebelum ini dia sering berduet dengan bekas kekasihnya, Irwansyah sehingga lagu My Heart seakan ‘berhantu’!

“Saya sama sekali tidak menyangka album duet sama Irwansyah sungguh berjaya dan menjadi popular di Malaysia. Kini, saya ingin membentuk imej baru sebagai penyanyi wanita solo. Namun, selepas Keputusan Hati, saya masih mencari pasangan duet yang baru, mungkin saja daripada penyanyi Malaysia, Singapura atau Indonesia sendiri, malah tidak mustahil saya kembali berduet sama Irwansyah.

“Namun, saya pernah diberitahu oleh komposer saya sebelum ini, penyanyi hebat dari Malaysia, Anuar Zain ada menyatakan hasratnya untuk berduet dengan saya. Wah! Saya senang sekali dengan usul itu jika ia menjadi kenyataan!,” kata Acha yang ternyata seorang yang peramah.

Bercakap lebih lanjut mengenai Keputusan Hati, Acha dengan sendiri mengakui ia sebenarnya menceritakan kisah putus cintanya dengan buah hati sebelum ini, penyanyi dan pelakon terkenal Indonesia, Irwansyah.

“Menerusi lagu Keputusan Hati, saya sebenarnya menghargai sebuah erti perpisahan. Selain faktor kejauhan, antara sebab perpisahan cinta kami, bolehlah dengar semua lagu di dalam album mini ini apabila saya sendiri menulis liriknya. Dasarnya secara profesional, saya ingin sekali kembali berduet sama Irwansyah selepas album solo ini,” katanya berterus-terang.

Ditebak dengan pertanyaan, adakah dia masih menyimpan perasaan cinta dan menyayangi Irwansyah, tanpa berselindung, Acha mengakui: “Saya masih sayang pada dia (Irwansyah). Sayang saya pada dia, selama-lamanya, tapi mungkin sayang sebagai teman baik saja. Tapi, kalau cinta, manusia boleh cinta pada setiap saat dan pada setiap orang. Cinta tak pernah kekal, tapi sayang adalah untuk selama-lamanya.”

Acha menambah, sejak putus cinta dengan Irwansyah, sampai ke hari ini dia belum bertemu cinta baru. Acha sebenarnya ingin sekali bertemu orang lain sebagai teman istimewanya, tapi terus terang dia mengakui, belum lagi bertemu dengan mana-mana pria yang lebih baik atau lebih hebat berbanding Irwansyah. Justeru, fokusnya ketika ini ialah kepada pelajaran dan dalam masa sama berjaya sebagai penyanyi serta pelakon.

Pun begitu, tidak semena-mena timbulnya gosip Acha bercinta dengan Pasha, vokalis kumpulan popular Indonesia, Ungu yang sudah kembali solo selepas berpisah dengan isterinya, baru-baru ini. Acha pula tidak menafikan, mereka saling kenal antara satu sama lain sebagai rakan sesama artis.

“Ya, saya mengenali Pasha, kami juga pernah berduet. Pasha juga pernah ke rumah saya di Jakarta membawa hadiah sempena hari ulang tahun saya. Teman-teman lain juga ramai, mereka juga bawa hadiah. Kerana Pasha begitu terkenal di Indonesia, dia membawa hadiah buat saya, langsung tercetusnya gosip, sebaliknya saya sekadar menganggap Pasha sebagai kenalan biasa saja, bukan juga teman rapat atau teman mesra.

Industri lakonan di Singapura kecil

Sementara itu, percaturan Aaron mencari tapak di Malaysia membuahkan hasil apabila dia menempa populariti dengan sekelip mata. Biarpun sebagai warga negara Singapura, Aaron mendapat kepercayaan Astro sebagai Wajah Eksklusif mereka dan dalam masa sama menjadi rebutan ramai produser drama dan filem tempatan. Aaron juga dilantik sebagai duta L’oreal dan Celcom, sekali gus membuktikan rezekinya di Malaysia mencurah-curah.

Sejak 2004, Aaron sudah banyak menjayakan produksi di Malaysia, manakala drama terakhir yang dijayakannya di Singapura ialah Dol & Minah Nak Kahwin yang diterbitkan syarikatnya sendiri, Aaron Aziz Productions pada 2008. Di Singapura, Aaron mula berlakon pada penghujung 1999 sehingga 2003 dan pernah memenangi beberapa anugerah seperti Personaliti Paling Popular dan Pelakon Pembantu Terbaik pada Pesta Perdana Singapura sepanjang 2001 hingga 2003.

“Saya menjadikan lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa, manakala kebanyakan aktor atau aktres di Singapura menjadikan bidang lakonan sebagai karier sampingan kerana mereka mempunyai pekerjaan tetap lain. Justeru, sebagai memenuhi keperluan lakonan sepenuh masa, ia tidak sesuai di Singapura kerana industri lakonannya kecil dan terhad.

“Saya ingin berterima kasih kepada Erma Fatima dan Datuk Yusof Haslam kerana kemunculan awal saya di kaca TV Malaysia adalah menerusi produksi drama mereka. Apabila banyak menjayakan produksi di Malaysia, saya perhatikan cara berkerja karyawan di sini (Malaysia) dan Singapura sangat berbeza. Industri lakonan di Malaysia serius dan dilayan sangat profesional, lantas saya terbayang peluang yang mungkin saya peroleh di sini.

“Saya melihat masa depan yang cerah di Malaysia apabila banyak menimba ilmu dan pengalaman berlakon di sini. Saya ingin mencari tapak yang kukuh di Malaysia dan saya akan buat betul-betul. Orang Malaysia banyak membantu saya termasuklah pihak imigresen, mendapatkan rumah, persekolahan anak-anak, kebajikan seisi keluarga, semuanya terjamin dan diberi kemudahan.

Aaron sedia berlakon dengan Acha

Ekoran populariti Aaron, terdengar desas-desus, isterinya, Diyana sering cemburu dengan dirinya yang didampingi ramai aktres jelita, justeru sejauh mana kebenaran dakwaan berkenaan?

“Cemburu maknanya sayang. Isteri mana yang tak cemburu apabila melihat suaminya didampingi perempuan cantik di dalam drama atau filem? Tapi, Diyana sentiasa bersikap profesional, dia tidak pernah cemburu buta. Saya pula sentiasa menjaga batas pergaulan dan elakkan diri melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan kemusykilan di mata orang ramai.

“Apabila Diyana bertanya apa yang berlaku di set, saya akan menceritakannya kerana perlu menghargai keprihatinannya yang tidak berada di lokasi, tapi masih mengambil berat mengenai diri saya. Begitu juga ketika saya menjayakan fotografi bersama Acha, saya beritahu Diyana, apa yang berlaku sepanjang fotografi kami, saya pegang Acha di mana, Acha pegang tangan saya, semua itu saya ceritakan kepada isteri,” kata Aaron tanpa berselindung.

Tambah Aaron, dia sering berdoa kepada Tuhan, apabila berada di set, jangan sampai hatinya bergoncang apabila didampingi aktres cantik kerana tidak mahu rumah tangganya bergolak gara-gara bidang lakonan yang diceburinya secara serius.

“Paling penting niat, jangan sesekali kita menyimpan niat ke arah negatif, itu satu doa sebenarnya. Tuhan Maha Berkuasa, saya takut dengan pembalasan di kemudian hari, insya-Allah Tuhan kuatkan iman saya dalam melayari alam rumah tangga,” katanya ikhlas.

Pun begitu, Aaron tidak menolak kemungkinan sekiranya ada produser yang berminat menggandingkan dirinya bersama Acha di layar perak.

“Saya cari rezeki, saya tidak ada masalah berlakon dengan sesiapapun,” katanya mengakhiri bicara.

Info Acha


•NAMA SEBENAR: Jelita Septriasa Sagitta Ahimsha.

•TARIKH LAHIR: 1 September 1989.

•ASAL: Jakarta.

•KELUARGA: Anak ketiga daripada enam beradik.

•PENDIDIKAN: Komunikasi Massa Multimedia & Penyiaran, Universiti Lim Kok Wing, Cyberjaya (tahun kedua, semester pertama).

•FILEM: Heart, Love Is Cinta, In The Name Of Love, Apa Ertinya Cinta? dan Love.

•DRAMA: Andai Ku Tahu, Sakinah dan Salwa.

•ALBUM RUNUT BUNYI: Heart (2006), Love Is Cinta (2007) dan In The Name Of Love (2008).

•ALBUM MINI: Hikayah Ramadan (2007) dan Keputusan Hati (terbaru)

•LAGU TERBARU: Tentang Kita, Maunya Apa Lagi?, Keputusan Hati, Salahku Kau Selingkuh.

Info Aaron

•NAMA PENUH: Aaron Mustapha Aziz

•TARIKH LAHIR: 23 Februari 1976

•ASAL: Tampines, Singapura

•DRAMA: Haryati 2, Sumaiyyah, Garisan Takdir, Penghujung Rindu, Janji Diana, Cinta Gila, Rahsia Hati, Tuah Kembali, Cinta Lelong (tayangan Aidilfitri) dan Kasih Tercipta (terbaru)

•FILEM: Evolusi KL Drift, Evolusi KL Drift 2, Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, Shyy... Dia Datang, Pisau Cukur dan Datin Ghairah (terbaru)

•KOMERSIAL TV: L'oreal Men dan Celcom

•DUTA: L'oreal dan Celcom

•NIKAH: 3 Ogos 2003

•ISTERI: Diyana Halik

•ANAK: Danish Anaqi, 5, dan Dwi Ariana,3.


•Solekan & dandanan Acha: Rieza Amour ()

•Pakaian Acha: Cosry, No 111, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Kuala Lumpur ()

•Terima kasih: Putra Aziz ()

•Pakaian Aaron: Dezaine Boutique & Bridal, Kuala Lumpur ()

•Lokasi: Quality Hotel City Centre, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur ()

•Terima kasih: Eksekutif, Pemasaran & Komunikasi, Niza Othman.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails