
Cinta lokasi mula berputik
POPULARITI drama bersiri Bio-Nik yang kini ligat bersiaran di TV3 berjalan seiring dengan kehangatan cinta yang meledak antara dua pelakon utamanya, Kamal Adli, 23, dan Intan Ladyana, 27. Cinta mereka dikatakan mula berputik ketika kedua-duanya berlakon drama aksi terbitan KRU Studios itu pada akhir tahun lalu atau lebih tepat lagi dikategorikan sebagai cinta lokasi yang membawa kepada dunia realiti.
Pun begitu, Kamal yang mula menempa nama selepas menjuarai Hero Remaja 2007/2008 mempunyai sejarah cinta lukanya tersendiri. Sebelum berkawan rapat dengan Intan, Kamal mengakui dia pernah menjalin percintaan dengan personaliti TV3, Nur Syahirah Aiyob, 23, atau Shera, kira-kira empat tahun lalu iaitu ketika mereka sama-sama menuntut di Institut Media Integratif Malaysia (MIIM), Kuala Lumpur.
“Kami serius selama empat tahun, namun jodoh tak panjang apabila hubungan cinta kami berkubur awal tahun ini. Sebenarnya saya tak mahu lagi mengungkit kisah silam, biarlah ia menjadi satu kenangan terindah. Lagipun ketika ini saya berkawan rapat dengan Intan, banyak hati yang perlu saya jaga daripada bercakap perkara yang sudah berlalu,” kata Kamal tanpa berselindung.

Kamal juga berterus-terang apabila mengakui dia selesa berkawan dengan Intan yang mula dikenalinya sebagai rakan sesama artis kira-kira enam bulan lalu.
“Ketika ini kami masih dalam proses perkenalan. Segala-galanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Saya mula kenal Intan apabila sama-sama membintangi Bio-Nik. Pada ketika itu, saya berdepan masalah dalaman dengan Shera. Kebetulan, saya menjalani penggambaran bersama Intan dan kami berjumpa hampir setiap hari. Lama-kelamaan kami semakin rapat sehinggalah hari ini.
“Pada awal perkenalan saya dan Intan, saya tak pernah ambil pusing sama ada Intan masih solo mahupun sudah berpunya kerana saya menganggapnya sebagai teman biasa saja, justeru saya tak kisah apa saja status Intan ketika itu. Saya juga tak pernah menduga persahabatan kami akan menjadi akrab seperti hari ini.
“Dalam kami berkawan itu, barulah saya berpeluang membaca kisah percintaan Intan dan Kevin (Zahri) yang dilaporkan terputus di tengah jalan menerusi media massa. Pada ketika itu, baru saya tahu, Intan sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan bekas teman lelakinya. Namun, antara saya dan Intan, kami terus berkawan seperti biasa. Pun begitu, Bio-Nik adalah punca perhubungan rapat saya dan Intan bermula,” katanya lagi.
Pada masa sama, rating drama Bio-Nik mendapat sambutan yang membanggakan, justeru timbul desas-desus adakah peminat menonton Bio-Nik kerana jalan ceritanya yang hebat atau sekadar ingin melihat kemunculan merpati dua sejoli, Kamal dan Intan yang beraksi sebagai pasangan kekasih?
“Saya tak nafikan, perhubungan rapat saya dan Intan yang digembar-gemburkan media massa selama ini sedikit sebanyak membantu rating Bio-Nik. Di samping faktor berkenaan, jalan cerita dan barisan pelakon yang ditampilkan Bio-Nik turut membantu popularitinya dan saya harap drama aksi itu akan terus mendapat sambutan menggalakkan daripada penonton setia TV3,” kata Kamal.
Kamal terus diterjah dengan soalan peribadi apabila dia didakwa tidak setia dengan cintanya bersama Shera yang sudah berputik sejak empat tahun lalu. Apabila bertemu Intan, dia terus melupakan kekasih lamanya, adakah Kamal layak dilabel sebagai player?
Tak pernah permainkan Shera
“Saya tak pernah berniat mempermain-mainkan perasaan atau hati sesiapa. Sumpah, saya juga tak pernah berniat melukakan hati orang lain. Apa yang berlaku antara saya dan Shera adalah terlalu peribadi. Saya tak pernah menganggap diri ini sebagai player. Justeru, perkenalan dengan Intan adalah di luar kawalan saya. Saya harap selepas ini janganlah ada mana-mana pihak yang salah sangka lagi,” ujar Kamal.
Hari ini berlangsungnya Karnival Jom Heboh TV3 di Kuching, Sarawak, sekali gus peminat boleh menyaksikan kemunculan Kamal dan Intan di gerai masing-masing. Dalam masa sama, Shera juga berada di lokasi berkenaan. Bagaimana Kamal berdepan dengan situasi ini apabila terpaksa menemui Intan dan Shera, sekali gus?
“Situasi yang sama pernah berlaku di Jom Heboh Lumut, Perak tidak lama dulu. Masing-masing perlu profesional, kami datang ke Kuching bukan untuk ‘berdrama’, justeru kami harus melunaskan tanggung jawab yang diberi oleh TV3,” kata Kamal yang mengharapkan perhubungannya dengan Intan mampu melangkah ke satu fasa yang lebih serius.
Intan akui serasi dengan Kamal
Sementara itu, Intan tanpa berselindung mengakui ikatan cintanya dengan pakar pemakanan, Kevin Zahri sudah hampir enam bulan terputus apabila sebelum itu, hubungannya dengan Kevin semakin dingin kira-kira setahun yang lalu. Mereka sering berdepan masalah sehingga memaksa masing-masing membawa haluan sendiri.
“Perhubungan saya dan Kevin agak dingin kira-kira setahun lalu iaitu sebelum saya berjumpa dengan Kamal lagi. Apabila saya benar-benar putus dengan Kevin, barulah saya dan Kamal dipertemukan menerusi Bio-Nik pada akhir 2008. Ketika itu, hubungan saya dan Kamal sekadar kenalan biasa. Kami mula rapat apabila hampir setiap hari selama empat bulan berjumpa di lokasi menjayakan pembikinan Bio-Nik.
“Selepas sekian lama berkenalan, saya dapat rasakan hubungan kami ada keserasian, saya mudah berkomunikasi dengannya, justeru perhubungan kami tidak berdepan dengan banyak masalah,” kata Intan jujur.
Kamal pengganti Kevin?
“Masih terlalu awal untuk kami mengungkapkan sebarang istilah cinta, kami lebih selesa berkawan rapat kerana bagi saya, dalam perhubungan banyak cabaran dan rintangannya, justeru kami hanya menyerahkan masa depan perhubungan ini kepada ketentuan Tuhan,” jelasnya lagi.
Apabila Intan hadir saat Kamal dan Shera berdepan krisis percintaan, Intan boleh dilabel sebagai perampas kebahagiaan Kamal bersama Shera.
'Saya bukan perampas!'
“Ketika saya mula-mula mengenali Kamal, saya tahu dia sudah ada teman wanita, tapi tak tahu siapa. Namun, dalam masa sama, saya dengar cerita daripada orang sekeliling, Kamal ada krisis dengan teman wanitanya itu, tapi saya tak pernah ambil pusing, sebaliknya kami terus berkawan kerana masing-masing terbabit dalam produksi yang sama.
“Justeru, apabila ada dakwaan yang mengatakan saya perampas kebahagiaan Kamal dengan bekas teman wanitanya, saya tak boleh terima! Begitu juga apabila ada cakap-cakap yang mengatakan saya hadir sebagai insan ketiga sehingga membawa kepada kehancuran cinta mereka, itu juga tidak benar sama sekali!,” kata Intan berterus-terang.
Apa komen Intan apabila anda dan Shera berdepan situasi dingin ketika Karnival Jom Heboh di Kuching, hari ini?
“Saya tak ada masalah dengan sesiapa. Tapi tak tahulah di pihak lain,” katanya bersahaja.
Anda berdua bermasam muka?
“Kami buat hal masing-masing, tak ada masa nak bermasam muka. Kalau nak bercakap sekalipun, pasti hal-hal yang berkaitan kerja saja kerana kami ditempatkan di gerai yang sama, My TV3. Lagipun saya tak pernah mengenalinya secara peribadi, bagaimana nak rancak berborak? Cukuplah, janganlah kami dilaga-lagakan lagi untuk mencetus cerita sensasi kerana antara saya, Kamal dan bekas kekasihnya adalah isu peribadi,” terang Intan.