
Hai Adie. Di sini saya ada soalan untuk kamu jawab.
1. Sebagai anak jati Indonesia, adakah saudara-mara atau rakan-rakan kamu di Padang, Indonesia mengalami musibah tersebut?
2. Ada tak perancangan kumpulan 6ixth Sense untuk dikenali di luar negara seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jepun atau negara-negara lain?
3. 6ixth Sense sudah berduet dengan kumpulan Letto dari Indonesia menerusi lagu Cinta Yang Sempurna. Jika diberi pilihan kumpulan indie di Malaysia manakah yang ingin 6ixth Sense berduet?
*Laila, Seri Manjung, Perak.
ADIE
1. Alhamdulillah. Buat masa ini tak ada saudara mara atau kawan-kawan Adie yang terlibat dalam gempa bumi di Sumatera baru-baru ini. Lagipun Adie berasal daripada Jember, Jawa Timur.
2. Kalau difikirkan memang semua orang mahu pergi sampai ke tahap itu tetapi buat masa ini Adie sendiri masih belum lagi memikirkannya. Kalau boleh Adie mahu kumpulan Adie masuk ke pasaran Indonesia barulah perancangan seterusnya dapat dibuat.
3. Satu idea yang menarik. Tapi rasanya belum ada perancangan untuk melakukan perkara tersebut. Tapi ia tak mustahil untuk dilaksanakan pada masa hadapan.
Lebar sayap di Malaysia
Hai, saya sangat meminati anda. Saya ingin bertanyakan sedikit soalan.
1. Sudah berapa lamakah anda menceburi dalam bidang seni ini?
2. Apakah yang mendorong anda untuk menjadi seorang penyanyi?
3. Siapa idola Adie dalam bidang muzik?
*Nana, Putrajaya.
ADIE
1. Adie terlibat dalam bidang seni sejak berusia 15 tahun lagi. Jika di kampung Adie di Jember, pelbagai kegiatan seni yang telah Adie ceburi termasuklah berlakon teater dan pelbagai lagi. Tapi yang pasti Adie memang minat melukis.
2. Minat kot. Sebab minat itu juga Adie gagahkan diri untuk menjadi penyanyi dan sebab minat jugalah Adie sanggup tinggal di Malaysia meneruskan kerjaya seni.
3. Adie amat meminati Arman Maulana daripada kumpulan Gigi. Bagi Adie dia mempunyai aura penghibur dan ramai yang menyukainya juga.
Kritikan sebagai pelajaran
Hai, saya ingin bertanyakan beberapa soalan. Harap anda dapat menjawabnya.
1. Apakah kenangan pahit sepanjang anda menjadi seorang penyanyi?
2. Apa impian Adie yang masih belum tercapai?
3. Perkembangan terbaru Adie dan kumpulan 6ixth Sense?
Saya harap kumpulan 6ixth Sense berkekalan dan mantap selama-lamanya.
*Nuyin, Putrajaya.
ADIE
1. Tak ada yang pahit rasanya. bagi Adie apa yang terjadi pada Adie selama ini adalah satu pelajaran dan pengajaran yang sangat berguna kepada orang macam Adie. Adie tak pernah mengambil segala kutukan dan kritikan orang ramai sebagai negatif sebaliknya ia dijadikan pelajaran yang sangat berguna.
2. Nak kahwin kot. Hahaha. Adie juga kalau boleh nak kumpulan 6ixth Sense dikenali di seluruh dunia dan berjaya seperti mana yang pernah dikecapi kumpulan yang lain.
3. Hujung tahun ini album VCD karaoke 6ixth Sense akan keluar di pasaran dan Adie kini sibuk untuk mengumpul bahan bagi album yang akan datang. Harap-harap apa yang Adie rencanakan akan berjalan seperti biasa.
Tak mahu berjanji
Hai Adie, apa khabar? Harap Adie sihat selalu dan diberkati Tuhan. Saya ada beberapa soalan untuk anda.
1. Apa perkembangan terbaru Adie sekarang?
2. Umur semakin meningkat, agaknya bila Adie ingin menamatkan zaman bujang? Dah ada calon ke?
3. Macam mana nak berhubung dengan Adie dengan lebih dekat?
*Peminat Setia 6ixth Sense,
*Bangsar, Kuala Lumpur.
ADIE
1. Selain memenuhi undangan persembahan pentas, Adie juga ada terlibat dalam membuat lagu untuk Nubhan dan pelbagai aktiviti lain. Kalau nak dengar kena tunggu ya.
2. Adie tak pernah rancang. Adie tak mahu berjanji kerana kalau tak jadi semua orang akan marah Adie. Lebih baik tunggu dan lihat sahaja memandangkan usia Adie baru sahaja 26 tahun. Calon pun belum ada dan masih lagi dalam pemilihan. Hehehe.
3. Awak boleh pergi ke www.myspace.com/6ixthsense atau www.facebook.com/adie6thsence untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut.
Rindu kampung halaman
Hai abang Adie. Harap abang sihat dan saya amat meminati abang sejak dahulu lagi.
1. Abang Adie datang dari Indonesia, jadi abang Adie tak rindu ke dekat keluarga di sana?
2. Selain sibuk dengan kumpulan 6ixth Sense, apa lagi yang abang Adie lakukan?
*Amirudin, Kota Bahru, Kelantan.
ADIE
1. Kalau nak dikira rindu memang Adie sangat merindui keluarga Adie dan rakan-
rakan di kampung halaman. Tapi apa boleh Adie lakukan. Banyak komitmen lain yang terpaksa Adie buat di sini. Lagipun setiap tahun Adie akan balik ke kampung sana.
2. Selain memenuhi undangan nyanyian, Adie juga banyak terlibat dalam game show dan program televisyen yang disiarkan di kebanyakan stesen. Adie bersama rakan-rakan yang lain juga terlibat dalam rancangan Ekspresi Kembara yang disiarkan di RTM. Jangan lupa saksikan rancangan tersebut yang disiarkan setiap Ahad pukul 9.30 pagi.
Tak bersaing
Assalamualaikum Adie. Saya sangat meminati adi sejak adi mula menceburi bidang seni lagi. Saya ingin kemukakan beberapa soalan. Harap Adie dapat menjawabnya.
1. Bagaimana Adie boleh terlibat dalam bidang seni dan siapakah orang yang bertanggungjawab membawa masuk adi ke dalam bidang seni?
2. Kumpulan mana yang menjadi saingan terdekat 6ixth Sense dari kaca mata Adie?
3. 10 tahun lagi apa agaknya akan terjadi pada Adie?
*Nur Shalihah Mohd sharif,
*Nilai, Negeri Sembilan.
ADIE
1. Memang dari kecil lagi Adie memang meminati bidang seni dan sudah banyak pertandingan yang Adie sertai selama ini. Bermula dari situlah bakat ramai yang mula nampak bakat yang ada dalam diri Adie sehinggakan Adie diterima menjadi vokalis kumpulan 6ixth Sense dan orang yang bertanggung jawab membawa Adie masuk ialah Mujahid.
2. Sukar sebenarnya untuk mengatakan kami bersaing. Pada Adie setiap kumpulan mempunyai kelebihan dan kebolehan masing-masing. Cuma apabila Adie melihat ada kumpulan yang lebih menonjol, Adie juga akan lebih bersemangat dan sentiasa mahu ke depan lagi.
3. 10 tahun ek? Satu jangka masa yang lama dan mungkin pada masa itu Adie sudah mempunyai dusun yang luas. Selain itu Adie juga mahu memiliki sebuah rumah yang besar dan mempunyai anak-anak yang comel. Hahaha.