
"Saya mengerjakan umrah selama dua minggu bersama ibu (Zabedah Saad, 57) bermula 29 Ogos dan berakhir pada 11 September lalu.
"Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah ialah bersama bekas suami (Azuar Effendy Zulkafly) pada 2003.
"Jika nak diikutkan, saya sudah lama merancang menunaikan umrah pada Ramadan dan menikmati kenikmatan berpuasa di sana, tetapi kerana kesibukan merencana aktiviti seni, baru sekarang hasrat terpendam itu kesampaian.
"Terus terang, selepas kali pertama menjejakkan kaki ke Tanah Suci sebelum ini, hati saya sering terpanggil untuk ke sana semula," katanya.
Sepanjang di Tanah Suci, kata Rozita, yang juga ibu tunggal kepada dua anak yang semakin membesar, Ammar Effendy, 13, Aniq Ezzra, 11, dia hanya mendekatkan diri kepada Allah dan memberi tumpuan pada ibadah semata-mata.
"Inilah masa yang tepat untuk saya melupakan seketika kerjaya seni dan urusan keduniaan.
"Pada masa sama, saya bersyukur kerana dapat melaksanakan ibadah dengan lancar ketika di sana.
"Saya berada di Madinah selama empat hari dan di Makkah selama sepuluh hari. Seperti yang kita tahu, pahala berpuasa pada Ramadan di sana juga berlipat kali ganda.
"Antara pengalaman baru di sana ialah saya hanya berbuka dengan kurma dan minum air zam zam sebelum meneruskan solat Tarawih.
"Bayangkan, saya boleh berbuka dengan kurma sehingga 20 biji dan hanya makan nasi selepas solat.
"Jika di sini, saya nak habiskan sebiji kurma pun susah. "Pengalaman lain yang sukar dilupakan ialah ketika berebut dengan 'Pak Arab' untuk mencium Hajarul Aswad.
"Sekalipun badan saya sakit kerana terpaksa berebut dengan mereka, tetapi saya tetap bersyukur kerana dapat melaksanakan ibadah itu dengan baik," katanya. Tambah Rozita lagi, sebagai manusia biasa, dia sentiasa berusaha memperbaiki kelemahan diri sedia ada untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik sepanjang di sana.
"Antara doa saya ketika mengadap Kaabah ialah semoga ditemukan jodoh kedua yang terbaik buat saya di dunia dan akhirat.
"Saya juga berdoa semoga dianugerahkan kesihatan yang baik untuk memudahkan saya mencari rezeki serta anak-anak saya juga mendapat kejayaan dan keberkatan dalam hidup mereka kelak," katanya.
Rozita ditemui ketika menjadi tetamu dalam program Wanita Hari Ini (WHI) terbitan TV3 yang di siarkan secara langsung di Sri Pentas, baru-baru ini.
Ditanya gosipnya bercinta dengan pemain bola sepak Selangor, Mohd Asrarudin Putra Omar, 21, yang masih hangat diperkatakan orang sampai hari ini, Rozita menegaskan, ia tidak berasas sama sekali.
"Hubungan saya dan Asrarudin sekadar kawan biasa dan tidak lebih dari itu. Sebenarnya, adik saya, pelakon Ayu Raudhah yang bercinta dengan pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Zaquan Adha Abdul Radzak.
"Secara kebetulan, Mohd Zaquan juga berkawan dengan Asrarudin. Justeru, saya tidak faham kenapa timbul gosip saya pula yang bercinta dengannya?
"Selain itu, gosip yang mengatakan saya menyambut Aidilfitri bersama Asrarudin di Alor Setar, baru-baru ini juga tidak benar.
"Tapi memang saya ada pelawa dia datang ke rumah terbuka saya, sama seperti saya menjemput kawan yang lain.
"Pada masa sama, saya baru sampai ke Kuala Lumpur pada 27 September lalu dan bagaimana pula saya sempat beraya dengan Asrarudin di rumahnya di Selangor?," katanya.
Rozita berkata, Asrarudin juga tidak menepati ciri-ciri lelaki idamannya.
"Beza usia saya dan Asrarudin ialah 15 tahun dan beza usia anak sulung saya, Ammar Affendy dengannya pula adalah lapan tahun.
"Justeru, dia (Asrarudin) adalah pangkat adik kepada saya dan takkanlah saya nak berkahwin dengannya pula?," katanya.
Tambah Rozita yang sudah enam tahun hidup solo, sampai hari ini dia masih mencari calon suami yang terbaik buat dirinya.
"Saya juga mensasarkan sebelum usia 40 tahun untuk saya membina rumah tangga semula. Saya mencari lelaki yang betul-betul ikhlas untuk berkahwin dengan saya yang sanggup menjaga saya ketika sihat dan sakit.
"Tapi saya tidaklah terdesak untuk berkahwin lagi kerana apa yang penting saya harapkan jodoh yang terbaik buat saya. "Soal jodoh sama ada cepat lambat itu adalah ketentuan Tuhan. Jika berkahwin kali kedua sudah pasti saya harapkan jodoh saya itu berkekalan hingga ke akhir hayat," katanya.
Dalam perkembangan lain, Rozita berkata, agenda seninya padat selepas raya dengan memenuhi undangan berlakon drama dan menjayakan promosi yang diatur sebagai duta produk.
"Saya akan ke lokasi penggambaran drama bersiri sebanyak 26 episod untuk TV9, Marhabah Di Laila dan drama bersiri sebanyak 44 episod yang juga untuk slot Akasia TV3, Na-O-Mi yang berakhir pada 5 Februari nanti.
"Pada masa sama, saya juga menyambung kontrak selama setahun sebagai duta produk Avon tahun ini. Selain itu, kontrak saya sebagai duta produk Garnier pula berakhir pada penghujung tahun depan," katanya.
PROFIL
Nama: Rozita Che Wan
Asal: Alor Setar, Kedah
Tarikh lahir: 9 Mac 1973
Status: Ibu tunggal dua cahaya mata
Kerjaya: Pelakon, peragawati dan duta produk
Antara drama: Marikas, Sesuci Cinta Sofiya, Yang Mana
Satu, Tetamu Rindu, Bara Yang Ku Genggam, Susuk, Ai Di Beijing, Diari
Ramadan Raffique, Ayyad, Sebelum Sejadah Terbentang dan Dewi Di Sebalik Cermin
Filem: Sepi, Dunia Baru The Movie, Kantoi, Jangan Tegur, Sifu & Tonga dan Misteri Balan-Balan The Movie.