
"Dari kecil memang Maya suka sangat kanak-kanak dan kalau boleh Maya nak enam orang anak. Tapi bila memikirkan kos sara hidup yang tinggi dan takut tak mampu memberikan kesenangan kepada mereka, cukuplah hanya dua orang.
"Kami merancang tahun depan, tapi mungkin paling lambat tahun 2011," ujar Maya Karin ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Gua.com bersama anak-anak yatim di Dewan Yayasan Tun Rahah.
Lebih senang menghadiri sebarang majlis tanpa ditemani suami, Muhammad Ali, Maya menjelaskan mereka lebih senang untuk tidak mencampuri urusan kerja masing-masing kerana pernah terjadi perbalahan sebelum ini apabila suami tidak dapat menyesuaikan diri dengan kehidupan selebriti.
"Rutin kerja kami berbeza dan pendedahan kerjaya juga berlainan. Suami tidak sukakan perhatian lensa, daripada kami bergaduh mengenai isu ini, lebih baik Maya datang sendirian. Sebelum ini kami pernah berbincang mengenainya dan keputusannya, biarlah Maya seorang sahaja yang melayari kehidupan sebagai seorang artis.
"Dia seorang guru so dia sudah biasa dengan suasana bising di sekolah, sebab itu dia lebih suka duduk di rumah melayari ketenangan.
"Bulan puasa ni Maya banyak memenuhi undangan berbuka puasa jadi dia akan berbuka seorang diri di rumah. Suami tiada masalah untuk berpuasa kerana telah memeluk Islam sebelum berkahwin lagi. Namun kami jarang sekali bersahur," ujar Maya yang manis berbaju kurung.
Tak Galak Kahwin Awal
Saban hari, halwa telinga dihidangkan dengan berita perceraian yang ada kalanya semacam dianggap gurauan. Maya turut terusik memberikan pandangannya berhubung isu terbabit.
"Maya memang tidak galakkan pasangan muda untuk berkahwin awal sebab mereka tidak matang sepenuhnya dan belum sedia untuk komitmen. Maya lihat ramai sangat yang kahwin awal tapi selepas dapat anak bercerai dan kena pikul tanggungjawab sebagai ibu bapa di usia muda.
"Kalau boleh kawal nafsu, bila sudah bersedia dan faham erti komitmen barulah fikir ke arah itu. Seelok-eloknya kahwin apabila usia mencecah 25 tahun ke atas. Banyak dugaan bila sudah berumahtangga," ujarnya yang masih diganggu walaupun telah sah menjadi milik orang.

Rahsia Kecantikan
Bakal menginjak ke angka 30, 29 Oktober ini, duta kecantikan Loreal ini tetap kelihatan jelita.
"Jangan terlalu obses dengan kecantikan dan janganlah tidak peduli langsung. Apa yang penting adalah tidur yang cukup dan banyakkan senaman. Maya sendiri tidak pernah meninggalkan amalan tersebut sejak berusia enam tahun," katanya yang mengagumi masyarakat Vietnam kerana mengamalkan cara hidup yang sihat.