Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Nadia ke-2


Pun begitu, semangat juang pemilik nama penuh Nadia Haswani Hasnan ini tetap tinggi. Gadis kecil molek yang petah berinteraksi ini berkongsi pelbagai cerita dan perancangan masa depannya bagi terus mengusung statusnya selaku anak seni.

Tidak mudah melatah dan jauh untuk merasa putus asa akan nasibnya selepas pembubaran mengejut Maestro Records & Talent Management, Nadia terpaksa mencatur langkahnya tanpa menoleh ke belakang lagi.

Gadis yang pernah tampil meyakinkan sepanjang program realiti nombor satu negara itu bagaimanapun gagal meraih tumpuan peminat seperti mana sokongan yang diberi ketika menyertai AF.

Menurutnya yang sebelum ini muncul dengan single Histeria dan Kalut Lagi Mengarut, mungkin segala sokongan penonton dan pujian pengkritik hampir setiap minggu hingga ke malam akhir adalah satu elemen suntikan buatnya untuk lebih yakin akan bakat semula jadi dimilikinya.

Bahkan, segala jeritan penyokong dan sorakan tenaga pengajar ketika itu tidak sesekali menjadikannya lupa untuk terus berusaha.

“Awalnya saya sedikit terkilan kerana sokongan yang diberi kepada saya hanya ketika di akademi dan terhenti sebaik ia tamat. Mungkin ketika itu saya masih baru dan sangat teruja.

“Malah mereka tidak menilai saya berdasarkan sebarang kekurangan pada penampilan, fizikal atau rupa saya, sebaliknya penjurian dilakukan semata-mata pada bakat dan kekuatan vokal.

“Namun realitinya di dunia hiburan sebenar, vokal saya tidak cukup untuk menyelit masuk dalam senarai yang ‘diterima’ kerana masih banyak yang perlu saya belajar untuk sebaris dengan penyanyi sedia ada,” katanya yang beruntung mempunyai keluarga dan teman rapat yang masih menyuntik semangat.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak boleh berputus asa atau berterusan tidak bermotivasi kerana keputusan untuk berdiri sebagai anak seni adalah pilihannya sendiri.

Sekali melangkah masuk, pengunduran atau berpatah balik tidak akan berlaku padanya.

Bagi anak kelahiran Kuala Lumpur ini yang juga menguruskan syarikatnya, Nadia Cribs Entertainment, meskipun namanya masih tidak sekukuh teman seperjuangan lain, perjalanan kariernya perlu diteruskan.

Lantaran itu penyanyi yang turut mengusahakan perniagaan makanan bersama keluarga di Medan Selera Wangsa Maju ini sibuk memasang strategi bagi memperkenalkan diri buat kali kedua.

“Sekarang saya merangka jadual promosi untuk melancar single terbaru ciptaan komposer muda, Amir berjudul Kita Sama selain mencuri peluang untuk tampil di media.

“Kita Sama begitu dekat dengan saya memandangkan saya yang menulis lirik. Penghasilan ini mengikut cita rasa serta identiti saya dan saya berharap lagu ini memberi impak positif kepada pendengar.

“Sebetulnya saya tidak pernah menyedari saya mampu menulis lirik kerana selama ini saya hanya menumpukan pada muzik. Namun saya ada koleksi puisi yang saya coret melalui ekspresi serta pengalaman sendiri.

“Jadi apabila syarikat Dream Music yang bertanggungjawab memasarkan single ini memberi peluang kepada saya untuk mencuba membuat lirik, saya tidak teragak-agak,” katanya.

Selain itu gadis kelahiran Kuala Lumpur ini juga sibuk dengan persediaan untuk beraksi di pentas teater muzikal bersama teman AF yang lain sempena Gempak Astro pada 17 Oktober ini di Kluang, Johor.

Baginya, ia satu platform baik untuk mengadakan persembahan dan bertemu peminat dengan lebih dekat selain berpeluang berkumpul bersama teman yang lain.

“Saya turut menerima jemputan mengadakan persembahan buat kali kedua di kedutaan Malaysia di Amsterdam pada November depan. Alhamdulillah kerana mereka masih berminat untuk menjemput saya dan kali ini saya gigih membuat latihan persembahan lebih menarik selain mencuba membawa sebuah lagu dialek Belanda seperti mana yang mereka inginkan,” katanya.

Kesempatan bergelumang dalam dunia seni tidak dihadkan pada bidang nyanyian semata-mata, sebaliknya anak sulung daripada dua beradik ini turut aktif dalam dunia lakon.

Malah, siri komedi popular lakonannya bersama Khatijah Tan, Sabri Yunus, Imuda dan Ebby Yus iaitu Angguk Angguk Geleng Geleng di TV2 kini bersambung musim ketiga. Komitmen serta kesungguhan Nadia membuatkan pihak produksi yakin dan percaya untuk terus melamarnya.

Terbaru, gadis periang yang gemar bergurau ini dilantik sebagai Ikon Seni dan Kebudayaan bagi program Rakan Muda anjuran Kementerian Belia dan Sukan. Satu lagi pencapaian yang mampu dibanggakan bagi pendatang baru sepertinya.

“Kepercayaan diberi Rakan Muda adalah sesuatu yang berharga buat saya dalam usaha mendekatkan golongan remaja kepada elemen muzik dalam bentuk positif.

“Pastinya peluang ini tidak akan saya persiakan. Saya akan membantu dan turut serta dalam apa jua aktiviti serta perancangan pihak Rakan Muda dalam mewujudkan suasana harmoni dan sihat di kalangan remaja daripada perspektif muzik,” katanya yang juga akan mengacarakan sebuah program berbentuk majalah untuk Rakan Muda tidak lama lagi.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails