Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Rezeki Cat ditabur pasir


SEJAK penubuhan The Fabulous Cats (TFC) pada tahun 2005, kumpulan itu bukan sahaja terkenal dengan muzik unik mereka tetapi juga popular kerana kontroversi penukaran ahli kumpulannya. Sudah tiga kali bertukar sebelum mendapatkan penyanyi dari Indonesia, Wangi sebagai ahli terbarunya pada 13 Februari 2009, TFC seperti sentiasa dilanda masalah.

Bermula dengan Ellie dan kemudian Alyah diikuti dengan Farhana, peninggalan mereka bertiga menghairankan ramai pihak terutama golongan yang mengikuti muzik TFC. Pada andaian ramai, pengunduran itu pastinya disebabkan masalah dalaman kumpulan yang diketuai oleh Cat Farish.

Tanggapan itu benar kerana kira-kira tiga bulan lalu ketiga-tiga bekas anggota TFC itu tampil memberikan kenyataan kepada pihak media bahawa mereka sebenarnya keluar secara 'terpaksa'. Itu luahan hati mereka.

Akui Cat perbuatan bekas ahli kumpulannya yang memburukkan beliau bukan sahaja memusnahkan kariernya, bahkan secara tidak langsung telah memberi impak negatif kepada TFC. "Sebenarnya saya kena teruk ekoran daripada kenyataan yang dikeluarkan mereka.

"Ia bukan sahaja menjejaskan periuk nasi saya dalam bidang nyanyian tetapi juga yang lain seperti lakonan dan pengacaraan. Ramai yang tidak tahu 50 peratus daripada pendapatan saya digunakan untuk pengurusan TFC.

"Senang-senang sahaja orang bercakap dan menuding jari ke arah saya. Ramai yang tidak tahu semasa album kedua kami diterbitkan, kami sebenarnya kurang mendapat jemputan persembahan. Jadi saya sendiri yang mengeluarkan wang untuk kawan-kawan yang lain," kata Cat baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, Cat juga menyatakan mentalnya juga menerima impak negatif daripada kejadian itu. Namun, seperti yang dikatakan sebelum ini, dia tidak mahu memanjangkan atau membesarkan perkara itu kerana masih menganggap mereka bertiga sebagai kawan.

"Tidak seperti dulu, TFC bergerak tanpa kontrak dan kini saya tidak mahu lagi mengulangi perkara yang sama. Sekarang saya tidak lagi 'berkuasa' kerana TFC bernaung di bawah syarikat Metadome Sdn. Bhd. Wangi dan Zizi ada kontrak yang sah," tambahnya yang mula menyertai Metadome awal tahun ini.

Sedang dalam proses mengemaskini album ketiga mereka, TFC kini dianggotai Cat, Adeep (Singapura), Wangi (Indonesia) dan Zizi dari Akademi Fantasia musim ketujuh. Sudah mempunyai dua album sebelum itu, Fantastik dan Hyperkosmik, kini semua anggota kumpulan boleh bergerak solo dalam menghasil album masing-masing.

"Saya memberikan kebebasan kepada semua untuk menghasilkan album solo walaupun semasa kami sedang sibuk dengan album ketiga TFC. Tiada sekatan kerana apa yang penting adalah keselesaan kami bekerjasama.

"Lagipun keadaan TFC kini lebih menyakinkan kerana kesemua anggotanya berkarya untuk masa depan dan bukannya untuk glamor," jelas Cat yang sibuk menerbitkan lagu untuk Sepah, Marsha dan Diddy.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails