Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

2 remaja kejar impian


SEKADAR mengimbau kembali kata-kata konduktor muzik terkenal, Ramli MS, seorang penyanyi atau penghibur yang hebat, ada kalanya terpaksa juga berdepan dengan 'stage fright' atau perasaan gemuruh di pentas ketika membuat persembahan.

Namun, saat menyaksikan persembahan finalis Bintang RTM2009, Ernie pada Malam Seribu Bintang, minggu lalu, diperhatikan faktor ‘stage fright’ pada persembahannnya berada pada tahap paling minimum.

Justeru, ketika namanya diumumkan sebagai Johan Pertandingan Akhir Bintang RTM2009, ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan, ditambah kelantangan vokal Ernie ketika mendendangkan lagu Kau Yang Istimewa (nyanyian asal Aishah) dan Cahaya (Kris Dayanti) yang diakui barisan juri sebagai yang terbaik pada malam itu, melengkapkan gelaran juara sebagai miliknya yang mutlak.

Ernie adalah finalis paling muda yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), akhir tahun ini, mengakui ramai meramalkan Jo-Anna bergelar juara disebabkan dia memiliki pakej lengkap. Namun, apabila Jo-Anna diumumkan sebagai Naib Juara, hatinya terdetik, mungkin Saidatul Aina bakal bergelar juara kerana membawa ramai penyokongnya ke Stadium Negara, sebaliknya Ernie pula diumumkan sebagai juara!

Situasi di luar dugaan itu membuatkan Ernie melompat gembira sehingga tidak sedar gelagat keterlaluan itu diperhatikan VIP yang berada di pentas ketika itu termasuklah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isterinya, Datin Seri Masnah Rais. Aksi ‘over’ Ernie mendapat kritikan media apabila menyifatkan aksi terkinja-kinja itu menyakitkan mata memandang!

“Saya terkejut apabila nama diumumkan sebagai juara, itu yang membuatkan saya melompat di pentas sehingga tak sedar ada Menteri di situ. Saya akui kesilapan itu, memang saya tak sedar aksi ‘over’ yang dilakukan kerana terlalu gembira! Justeru, jika ada segelintir pihak yang tidak senang dengan kelakuan saya di pentas pada malam itu, saya minta maaf banyak-banyak termasuklah kepada Datuk Seri Dr Rais dan isterinya,” kata Ernie yang ditemui B*Pop, petang Rabu lalu.

Mungkin faktor usia membuatkan Ernie alpa dengan situasi persekitaran, justeru wajarlah dimaafkan kelakuannya yang ternyata masih keanak-anakan itu.

Ibu Ernie sepupu Ziana Zain

Selepas diselidiki, Ernie rupa-rupanya berdarah seni. Selain bapanya, Zakri Ahmad, 48, yang pernah menganggotai band Kilat, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Klang, Selangor dengan bermain dram, dia juga mempunyai ikatan persaudaraan dengan penyanyi terkenal, Ziana dan Anuar Zain! Ibu Ernie, Rafiaah Mohamed, 43, adalah sepupu kepada kedua-dua artis popular itu apabila Ernie memanggil Ziana, Mak Long, manakala Anuar dipanggil Pak Ngah.

“Sejak saya berusia lima tahun lagi, saya sudah mula menyanyi di pentas apabila sering mengikuti band Kilat membuat persembahan. Ketika itu lagu yang menjadi kegemaran saya ialah Panasaran. Pernah juga terdetik ingin menjadi penyanyi berjaya seperti Mak Long, kebanyakan lagu popularnya sering saya dendangkan ketika membuat persembahan,” katanya lagi.

Apabila sudah bergelar bintang baru, bagaimana penerimaan rakan sebaya di sekolah, apakah Ernie sudah merasai bahang menjadi selebriti dikenali ramai?

Sasar keputusan SPM dapat 9A1

Kata Ernie, kehidupan hariannya sebagai pelajar sekolah, biasa saja, setiap pagi lengkap berpakaian seragam sekolah dia menyertai pembelajaran bersama teman-temannya, cuma ada segelintir daripada rakannya itu, menyindir dirinya sudah banyak berubah, berlagak sombong dan bermacam-macam lagi, namun dia tidak pernah memandang serius perkara itu, selain menganggapnya sebagai gurauan semata-mata.

Pastinya ketika ini fokus Ernie ialah mencapai keputusan cemerlang dalam SPM apabila meletakkan sasaran memperoleh keputusan 9A1. Namun, pada masa sama, ada beberapa syarikat rakaman sedang mengintai persetujuan Ernie untuk menyuntingnya sebagai artis rakaman, namun jelas Ernie semuanya masih di peringkat perbincangan bersama keluarga kerana baginya paling utama ketika ini ialah berjaya dalam pelajaran.

Jo-Anna bagaikan 'hot babe' BRTM

Sementara itu, Naib Juara Bintang RTM2009, Jo-Anna Sue Henley-Rampas seolah-olah memiliki ‘x-factor’ atau aura yang begitu kuat apabila setiap kali kehadirannya di pentas mampu membuatkan banyak mata terpukau dengan kejelitaannya, selain kelunakan suara dan kelincahannya memperlihatkan dia seperti sudah lali dengan pertandingan nyanyian ‘gergasi’, walhal Bintang RTM adalah penyertaan pertamanya di pentas hiburan!

Jo-Anna atau lebih mesra dipanggil Joan adalah ‘hot babe’ Bintang RTM edisi ke-14! Dia mampu bergelar Bintang Paling Popular, Bintang RTM2009 yang ditentukan menerusi undian secara SMS (Khidmat Pesanan Ringkas). Populariti menjadi milik mutlaknya. Joan bukan sekadar dekat di hati peminatnya, bahkan dia turut mencuri perhatian juri dengan mengungguli kategori Persembahan Terbaik. Ratu Tadau Kaamatan Sabah 2007/2008 ini bertakhta di hati peminat dan juri, sekali gus membawa pulang hadiah paling lumayan!

Namun, ada yang berbisik, populariti Joan naik mendadak kononnya kerana kontroversi dan gosip cintanya dengan bintang AF2, Mohd Aizam Mat Saman atau Adam, 25. Sebelum ini ramai tidak mengenali atau masih tertanya-tanya siapkan gadis misteri A atau J yang sering diperkenalkan Adam sebagai teman baiknya, namun sebaik saja Joan ‘dilahirkan’ RTM, membuka ruang yang luas kepada peminat mahupun media massa mendekatinya.

Tak mahu tumpang nama Adam AF2

“Saya tak nak nama naik kerana dikaitkan dengan Adam AF2! Sebolehnya saya nak dikenali kerana bakat, pakej yang dikurniakan Tuhan dan kerana nama Joan itu sendiri. Saya juga tak mahu dilabel menumpang nama Adam yang sudah dikenali kerana popularitinya. Jangan disebabkan gosip cinta antara saya dan Adam, peminat meletakkan saya sebagai wajah baru dunia hiburan, sekali gus saya dijadikan bahan sensasi.

“Saya masuk dunia nyanyian selepas mendapat restu daripada keluarga iaitu ketika saya berusia 20 tahun, selepas sekian lama menunggu, barulah saya diberi peluang menyertai pertandingan nyanyian yang besar seperti Bintang RTM,” kata Joan yang terdetik mencuba nasib selepas dimaklumkan Juara Bintang RTM2007, Reynaldo Pagi mengenai uji bakat yang dijalankan mencari juara baru.

Ibunya, Sulah Rampas ialah bekas penerbit rancangan hiburan RTM Sabah, selain penyampai radio RTM Sabah, namun dia bersara awal pada 1994. Ayahnya pula ialah bekas juruterbang kepada syarikat penerbangan antarabangsa dan tempatan, selain jurutera penerbangan, kini dia mengusahakan syarikat penerbangan milik sendiri yang beroperasi di beberapa negeri di Malaysia.

Jujurnya, Joan meminati dunia nyanyian seawal usia empat tahun, namun dia tidak berkesempatan memasuki pertandingan nyanyian kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya daripada keluarga. Keluarga terlalu mementingkan pendidikannya. Namun, apabila Joan memperoleh 6A1 dalam SPM, seterusnya lulus A Level dan kini melengkapkan pengajian undang-undang sebelum ke United Kingdom pada 2011, barulah keluarganya memberi sedikit kelonggaran, lalu dia menyertai Bintang RTM2009.

Gosip cinta cerita dongeng

Selagi boleh, Joan cuba mengelak untuk menjawab gosip cintanya bersama Adam, namun dia akur selepas membaca kenyataan Adam menerusi B*Pop terbitan 24 Mei lalu yang mendakwa Joan sekadar kawan baiknya, jauh sekali sebagai pasangan kekasih.

“Sebenarnya saya dah lama kenal Adam, sebelum dia masuk AF2 lagi. Kami diperkenalkan oleh seorang teman. Perkenalan kami setakat itu saja, sehinggalah Adam menjayakan persembahan di Dewan KDCA, Sabah selepas dia keluar akademi, kami bertemu sekali lagi. Gosip yang mendakwa kami bercinta adalah cerita dongeng, tidak benar! Tapi, saya akui, kami berkawan baik dan berkongsi minat yang sama iaitu menyanyi. Saya dan Adam selesa sebagai teman, tapi untuk ke hubungan lebih serius, bercinta seterusnya kahwin, saya tak pernah pun terfikir sampai ke tahap itu,” kata Joan ikhlas.

Diperangkap dengan kenyataan - Joan dan Adam ditakdirkan bertemu jodoh suatu hari nanti, apa pula reaksinya?

Dengan selamba Joan memberitahu: “Kita sebagai manusia biasa, tak mampu meramal masa depan. Lagipun, soal jodoh, ajal dan maut ketentuan Tuhan. Siapalah kita untuk menentukannya...”

Dilarang bergambar dengan artis lelaki

Desas-desus mendakwa, apabila Joan sudah bergelar artis, dia perlu menuruti permintaan keluarga, tidak boleh bergambar berdua dengan mana-mana artis lelaki. Sejauh mana kesahihan cerita itu dan jika benar, di mana sikap profesionalisme Joan?

“Saya tak nafikan perkara itu. Saya perlu menghormati permintaan keluarga. Mungkin mereka berbuat begitu kerana tidak mahu saya terbabit dengan apa-apa kontroversi mahupun gosip cinta demi kebaikan diri dan karier.

“Profesional atau tidak, saya perlu mengutamakan kehendak keluarga. Saya harus menggunakan peluang menyanyi diberi keluarga sebaik mungkin, justeru janganlah membelakangi permintaan itu,” katanya yang meminati genre muzik pop rock.

Dalam industri muzik ketika ini, Joan akui dia amat mengagumi persembahan dan lagu dendangan penyanyi popular, Faizal Tahir.



•Info Ernie:

NAMA PENUH: Nur Ernie Shahirah Zakri

TARIKH LAHIR: 23 Jun 1992

ASAL: Kuala Lumpur

KELUARGA: Bongsu daripada dua beradik

PENDIDIKAN: Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Methodist, Kuala Lumpur

KOMERSIAL TV: Iklan promosi 25 Tahun TV3 bersama Nadia AF6

LAGU RUNUT BUNYI: Filem Akhirat, lagu Akhirat duet bersama Shark U’kays

PENGALAMAN SENI & PENCAPAIAN: Naib Johan Bintang Kecil Kebangsaan 2002 ketika 10 tahun; Artis Konsert Warisan Budi di Istana Budaya (IB), diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) ketika 16 tahun dan Juara Pertandingan Akhir Bintang RTM2009

PERTANDINGAN NYANYIAN LAIN: One In A Million musim ketiga (OIAM3), namun tersingkir di peringkat uji bakat

IDOLA: Datuk Khadijah Ibrahim




•Info Jo-Anna:

NAMA PENUH: Jo-Anna Sue Henley-Rampas

NAMA KOMERSIAL: Joan

TARIKH LAHIR: 24 Mac 1989

ASAL: Kampung Poturidong, Kiulu, Sabah

KELUARGA: Sulung daripada tiga beradik

DARAH CAMPURAN: British (ayah) dan Dusun (ibu)

AGAMA: Kristian - Seventh Day Adventist (sama Marsha Londoh, AF3)

PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Bristol University, United Kingdom (UK) (cawangan Brickfields, Kuala Lumpur) tahun kedua, 2011 akan melanjutkan pengajian ke UK

KOMERSIAL: Celcom, Hotlink, F&N, Maxis, Nestle dan Maggie

PENGALAMAN SENI & PENCAPAIAN: Ratu Tadau Kaamatan Sabah 2007/2008; Duta Hotlink Borneo 2007/2008; Duta Pelancongan Sabah 2007/2008; pengacara sambilan RTM rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM); penyanyi sambilan di Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah; Naib Johan Pertandingan Akhir Bintang RTM2009; Bintang Paling Popular, Bintang RTM2009 dan Persembahan Terbaik, Bintang RTM2009



•Pakaian: Cosry, No 111, Jalan Telawi, Bangsar Baru, Kuala Lumpur ()


•Terima kasih: Putra Aziz ()


•Solekan Ernie: Rieza Amour ()


•Dandanan Ernie: Ackles Irvien Latif ()


•Solekan & dandanan Jo-Anna: Amy Janz ()
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails