
"Hati saya masih lagi cedera, luka pun masih belum pulih, tak kan cepat sangat nak cari pengganti," luah Scha pasal cintanya yang terputus di tengah-tengah jalan.
Jika sebelum ini, Mangga Online pernah menyiarkan pengakuan Scha dan Fahrin sedang bahagia menyulam cinta dan serius dengan hubungan yang terjalin.
Namun Scha menyifatkan dirinya kurang bernasib baik apabila semuanya musnah tatkala mereka digandingkan sebagai pasangan pengacara Sehati Berdansa musim ketiga. Sehati berdarah gitu.
"Sebagai manusia biasa, Scha juga beremosi, namun bila terpaksa berhadapan dengan dia (Fahrin), Scha akan utamakan mana yang patut. Scha kena amanah kepada tugas yang diberi dan harap-harap semuanya berjalan lancar.
"Scha minta sangat kepada semua agar hentikan bercakap soal cinta lagi. Penat sangat bila soal peribadi lebih digembar gemburkan berbanding karier. Scha harap selepas ini tak ada lagi publisiti begini dan hentikanlah melabel dan menghukum Scha sesuka hati," rayu bekas kekasih Fahrin Ahmad ini.
Keretakan mula dihidu wartawan apabila pasangan ini tidak lagi kelihatan bersama ketika majlis berbuka puasa. Dilabel pasangan paling hot, tentunya akan menimbulkan keraguan apa sebenarnya yang terjadi dan segalanya terjawab apabila ia keluar daripada mulut wanita jelita ini.
Bukan kerana Awal

"Awal bukan perampas." Itu pengakuan Scha apabila keretakan hubungan mereka dikaitkan dengan kehadiran orang ketiga. Kisah ini semakin sensasi apabila Scha kerap dilihat bersama Awal berbanding Fahrin.
"Sangat mustahil Scha akan jalin hubungan dengan Awal sedangkan Scha bercinta dengan Fahrin. Hairan bila tiba-tiba nama Awal dikaitkan kerana dia bukanlah perampas dan yang paling Scha sedih bila ada sebuah akhbar menulis cerita hubungan kami putus kerana Scha curang sedangkan Scha betul-betul serius dengan hubungan kami," katanya.
Terlalu mendedahkan soal peribadi memakan diri selebriti muda ini apabila kisah cintanya dijaja hampir setiap hari di dada akhbar. Scha mengakui ia salah satu penyebab kepada keretakan hubungannya dengan Fahrin.
"Scha dapat banyak nasihat daripada kawan supaya jangan terlalu expose kisah cinta lagi selepas ini. Tapi disebabkan Scha seorang yang sangat berterus terang, wartawan gemar cungkil kisah cinta daripada pihak Scha.
"Akibatnya, diri sendiri yang merana," ujarnya yang mengakui tiada masalah untuk bekerjasama dengan Fahrin pada masa akan datang.