Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Senandung Tiga Jelitawan Seberang


KETIKA ini, nama ketiga-tiga gadis yang berasal dari tanah seberang ini cukup rancak meniti di bibir peminat tidak kira di Indonesia mahupun di negara ini.

Kerana peluang yang terbentang luas itulah pada mereka tidak harus dipersiakan malah beranggapan ia waktu yang tepat untuk mereka memahat nama di peringkat yang lebih tinggi.

Sama ada di Indonesia mahupun di negara ini populariti yang tercipta bukan sekadar berlandaskan kecantikan yang dimiliki oleh mereka semata-mata tetapi kerana bakat yang cukup meyakinkan tatkala beraksi di hadapan kamera.

Jika ditanya kepada peminat siri sinetron tempatan, pasti raut jelita milik si pelakon Bawang Merah Bawang Putih, Revalina S. Temat; pelakon filem Ayat-Ayat Cinta, Melanie Putria Dewita Sari dan pelakon siri Bukan Cinderella, Intan Nuraini ini sudah cukup mesra di kalangan mereka.

Hadir dengan pakej lengkap, jelita, bijak dan berbakat besar ternyata kebolehan mereka tidak boleh dipandang enteng. Justeru, tidak hairanlah mereka cukup mudah diterima ramai.

Umumnya, biarpun masih terlalu hijau disimbahi gemerlapan kemahsyuran, hakikatnya mereka kini sudah pun mengumpul kelompok peminat tersendiri.

Dalam diam, ketiga-tiga jelitawan ini bukan sekadar meminati dunia lakonan dan peragaan semata-mata. Tetapi, turut menaruh harapan tinggi di bidang seni suara.

Ketika ditemui pada sesi kunjungan ke negara ini baru-baru ini, masing-masing meluahkan rasa yang sama, cukup meminati bidang nyanyian.

Sebelum ini, mereka pernah bergandingan merakamkan lagu berunsur ketuhanan, Taqwa ciptaan komposer seberang, Opick dan Erick.

Malah, single tersebut turut dimuatkan dalam album hari raya terbitan Suria Records Sdn. Bhd., (SRC) iaitu Sinar Lebaran yang kini berada di pasaran.

Bukan itu sahaja, Revalina turut tampil secara solo menerusi lagu Semua Kerana Mu manakala Intan Nuraini membuktikan kemampuan vokalnya menerusi lagu Aku Tak Sempurna.

Pada sesi pertemuan itu, ketiga-tiga mereka cukup teruja berbicara perihal 'cinta' baru mereka itu.

Revalina masih belum nikah

Agak pendiam dan pemalu. Itu antara telahan yang dapat disimpulkan mengenai gadis berusia 24 tahun, yang senang di sapa Reva (Revalina) ini.

Benar, antara ketiga-tiga jelitawan itu, Reva lebih banyak berdiam sementelah gemar menguntum senyum mendengar perbualan dua rakannya itu.

Lantaran sikapnya itu, akui Reva dia sering disalah anggap sebagai seorang yang sombong dan meninggi diri.

Ternyata, sikap pendiam dan perwatakan lemah lembut miliknya bukan jaminan terhindar daripada sebarang gosip.

Apa yang cukup hangat diperkatakan ialah gosip mengenai pelakon jelita itu yang telah berkahwin dengan seorang yang berpangkat di negara ini.

Seperti dapat mengagak soalan yang bakal diajukan, Reva bagaimanapun tetap bersikap tenang.

"Saya masih belum nikah. Saya pernah berjumpa dengan orang yang dimaksudkan itu sekali sahaja di sebuah majlis anugerah bersama isteri dan anak-anaknya.

"Bingung juga kenapa boleh timbul gosip sebegini. Saya sempat berbincang dengan mama (ibu) supaya tidak disalah erti tentang gosip tersebut," katanya.

Sehingga kini, Reva mengakui masih lagi menjalinkan hubungan cinta dengan seorang pelakon komedi seberang, Ringgo.

"Kami belum ada apa-apa perancangan untuk berkahwin malah, masih belum serius ke arah itu.

"Apa yang membuatkan saya senang berteman sama Ringgo ialah dia lucu dan sering membuat saya ketawa," kata Reva sambil ketawa kecil.

Berbalik kepada perihal nyanyian, pada peringkat awal ditawarkan menyanyi dia mengakui sukar membuat keputusan.

Biarpun minat menyanyi wujud sejak kecil lagi namun, hatinya tidak cukup kuat memperdengarkan nyanyiannya kepada khalayak.

"Walaupun berasa bingung, namun lama-kelamaan saya terfikir mengapa tidak saya mencuba terlebih dahulu.

"Jika menyanyi solo terus terang saya berasa sangat malu tetapi saya berpeluang menyanyi bersama Melanie dan Intan.

"Kini, saya sudah semakin selesa di pentas mempersembahkan nyanyian saya. Ternyata nyanyian lebih mudah berbanding lakonan," katanya.

Sempat mempelajari vokal sebelum membuat rakaman, kata Reva, sedikit sebanyak pengalaman itu membantunya dalam melontarkan suara.

Biarpun semakin selesa menyanyi, kata Reva, lakonan tetap menjadi keutamaannya.

Melanie minat nyanyi dari kecil

Mungkin tidak ramai yang sedar bahawa gadis tinggi lampai berusia 27 tahun, yang senang di panggil Melanie ini suatu ketika dahulu pernah menyertai pertandingan Asia Bagus 1999.

"Di Indonesia saya sudah menyertai banyak aktiviti nyanyian. Sedari kecil saya memang meminati nyanyian malah cita-cita asal saya dalam bidang seni adalah nyanyian," kata pemenang Puteri Indonesia 2002 itu.

Menurut Melanie, sungguhpun minatnya lebih kepada nyanyian namun baginya, rezeki yang terbentang luas di bidang lakonan tidak harus diketepikan.

Kini dia mengakui menerusi bidang lakonanlah dia mula dikenali dan menjadi perhatian ramai.

"Sehingga kini, masih wujud perasaan sayang terhadap nyanyian. Cuma sedikit sibuk mengatur waktu untuk diselaraskan dengan jadual pekerjaan saya yang lain.

"Namun, itu bukan bermakna minat saya terhadap nyanyian sudah tertutup. Insya-Allah, pertengahan tahun depan saya akan lahirkan sebuah mini album khas buat peminat setia saya," kata Melanie sambil menguntum senyum.

Ditebak persoalan perihal gosip berkahwin, kata Melanie, sehingga kini dia dan kekasihnya, Angga masih belum merancang soal perkahwinan.

"Sehingga kini kami belum ada rencana tentang perkahwinan bagaimanapun, jika ada jodoh mungkin tahun depan.

"Jika ditanya tantang persediaan menjadi seorang isteri, jujur saya tidak pernah bersedia. Kalau ada niat baik insya-Allah Tuhan akan redhai," katanya.

Intan Nuraini korban sinetron demi nyanyian

Berbanding dua rakannya, Intan sememangnya gemar menyanyi. Malah, nyanyian merupakan punca rezekinya di bidang seni.

Manis berlesung pipit, si gadis yang bersifat ramah ini sebenarnya baru sahaja melahirkan album terbarunya, Salut yang turut memuatkan single hit, Gubrak.

Dua tahun lalu, Intan tampil dengan album sulungnya, Penguasa Lelaki.

Sebelum ini Intan cukup dikenali sebagai pelakon sinetron namun, sejak memulakan kerjaya nyanyian, dunia sinetron semakin lama semakin jauh meninggalkannya.

"Membina kerjaya nyanyian sebenarnya cukup sulit pada awalnya kerana saya bermula daripada berlakon sinetron.

"Untuk membuat sebuah album saya perlu banyak waktu untuk lebih fokus kerana saya tidak boleh membuat dua kerja dalam masa yang sama.

"Sebab itulah saya korbankan dunia lakonan sinetron," kata Intan.

Sinetron terakhir yang pernah dilakonkan oleh Intan ialah Dokter Cinta dan Karena Cinta.
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails