
Selepas diulit kontroversi bersama komposer, Julfekar, timbul pula berita hangat apabila dilaporkan cuba membunuh diri minggu lalu. Akibatnya penyanyi yang popular menerusi lagu Tanpamu itu dihujani pelbagai persoalan berhubung isu berkenaan. Malah daripada teman rapat sehingga pihak media terkejut dan seperti tidak percaya dengan khabar angin yang dicetuskan pihak yang tidak bertanggung jawab itu.
Pada masa sama ada yang membuat andaian berkenaan timbul disebabkan kontroversi yang timbul sebelum itu selain gimik semata-mata oleh pihak tertentu termasuk Fara sendiri.
"Saya tidak tahu benda macam ini boleh dijadikan satu gimik. Isu seperti ini tidak boleh dibuat gimik. Apa pula andaian orang jika ia hanya rekaan semata-mata. Saya tidak akan buat cerita yang tidak masuk akal dan menyimpang daripada agama. Saya tidak faham kenapa berita seperti ini ditimbulkan.
"Saya masih waras dan ingat kepada Tuhan dan keluarga yang sentiasa bersama selain menyokong saya ketika menghadapi pelbagai halangan," katanya sambil mengingati saat berita itu disebarkan, dia bersama keluarga masih dalam mood menyambut Syawal di kampung halamannya di Taiping, Perak.
Katanya, dia mengetahui mengenai gosip itu selepas dihubungi rakan termasuk kenalan dan rakan media untuk pengesahan.
"Pertama kali menerima panggilan daripada rakan, saya OK lagi, tapi apabila ramai kawan, termasuk editor dan wartawan menghubungi saya, saya tahu gosip liar itu sudah tersebar.
"Saya tidak tahu kenapa cerita itu boleh disebarkan. Ia tidak mempengaruhi saya apa-apa pun sebab sebelum ini pun macam-macam kontroversi yang saya hadapi," katanya.
Bercerita lanjut mengenai perkembangan seni, Fara kini sedang mempersiapkan diri untuk pertunjukan pentas dan mungkin akan berlakon teater bangsawan pada hujung tahun ini.
"Setakat ini, beberapa tawaran untuk menjayakan persembahan tetap ada. Malah saya juga mendapat tawaran menjayakan watak dalam pementasan teater tetapi belum ada hitam putih. Saya akan memanfaatkan apa saja peluang dan kepercayaan yang diberikan orang terhadap bakat yang ada. Malah saya percaya jika ada rezeki pasti diberi peluang cuma lambat atau cepat saja dan bergantung kepada keadaan.
"Pembabitan dalam bidang teater juga dapat menimba pengalaman dan memahami asas dalam lakonan. Sebagai orang yang cetek pengalaman dalam lakonan ada baiknya saya membabitkan diri dalam pementasan teater terlebih dulu.
"Bukan hanya lakonan, kalau boleh saya juga mahu mencuba bidang pengacaraan yang saya idamkan sejak mula-mula menyanyi lagi," katanya.
