
KL, 14 OKTOBER 2009: Kata orang, kalau seseorang itu bertubuh kecil, mereka selalu lambat dimakan usia dan nampak awet muda. Tahu-tahu saja, sudah jadi bapak dan mak budak.
Salah seorang artis yang selalu disangka remaja adalah pelakon Tam Suhaimi. Murai Batu sudah banyak kali mendengar kisah peminat dan orang ramai selalu sangka usia Tam 20 tahun, padahal dah cecah 30 tahun pun!
Terbaru hujung minggu lalu, Tam disoal oleh penyambut tetamu Hard Rock Cafe (HRC) Penang apabila dia singgah sekejap di kelab hiburan francais itu yang tersergam megah di Batu Feringghi, bersama rakan-rakannya.
"Awak ni dah lepas umur 21 ke?" Itulah soalan yang memang sudah dijangka. Staf yang menjaga pintu itu memang kenal dengan Tam tetapi mereka perlu bertugas secara profesional.
Seperti biasa Tam hanya tersenyum dan menganggukkan kepalanya. Itu kira biasalah sebab ada sesetengah
tempat lain, Tam terpaksa membuka dompet dan menunjukkan MyKadnya sebagai pengesahan.
Apapun, kata Tam yang semakin popular dengan siri Bio-Nik, memang seronok bersantai di Pulau Pinang dan menginap di Kondominium Desa Pelangi di Jalan Logan. Hai siapa pula spedo (sponsor) Tam? Jeng... Jeng...Jeng...
Bila dah ada di Penang itu juga, Tam sempat singgah makan Mi Mamak Sotong di Padang Kota Lama dan shopping jeruk asam di Pasar Chowrasta. Yang lucunya, nyona jual jeruk pun kenal wajah Tam dan menyapa: "Lu ada main wayang TV lagi ka?"
Murai Batu difahamkan, sejak akhir-akhir ini Tam semakin sibuk menjayakan program Marhaban Di Astro serta Gempak Selebriti Astro dan Gempak Desa. Jangan tak tahu, pada 17 Oktober ini, Tam akan menjayakan Gempak Astro dengan tema lagu retro dan Tam akan berduet dengan Stacy AF6 dalam lagu Bercanda Di Pasiran Pantai. Maknanya, seorang kena jadi Anita, seorang lagi jadi Sudirmanlah.
Selain Tam dan Stacy, artis top lain pun ada iaitu Dato' Khadijah Ibrahim, Anuar Zain, Ning Baizura, bintang-bintang AF bersama hos tetap Zainal Alam Kadir.
MURAI BATU: Minat giler dengan lakonan arwah nenek Tam, Mak Minah Yem @ Ketot dalam filem Bujang Lapok. "Kalau mak bapak aku minta RM5,000 kenapa mak bapak engkau setuju?" Itulah dialog gaduh paling happening oleh Mak Minah sambil orang sebelah tengah sekodeng!
