Persahabatan Mengeratkan Tali Silaturrahim Antara Kita..

Dato Siti dan Maya pasrah dengan ketentuan


Siti nak sangat, Maya belum mahu

Penyanyi wanita popular amat mengharap diberi zuriat, manakala aktres popular akui belum bersedia timang anak

SEJAK bergelar isteri, inilah baru pertama kali dua artis terkenal, Datuk Siti Nurhaliza dan Maya Karin dipertemukan dalam satu sesi fotografi, justeru apabila mereka menyatakan persetujuan untuk bergandingan sebagai penghias muka depan B*Pop sempena edisi khas Aidilfitri kali ini, ia umpama 'duit raya' kepada peminat yang selama ini terus memberi sokongan padu biarpun status kedua-duanya yang kini sudah pun berpunya.

Siti dan Maya dikurniakan dua latar belakang seni yang berbeza - nyanyian dan lakonan, sekali gus membuktikan pengorbanan mereka bergelar selebriti yang acap kali dihimpit kontroversi serta gosip panas, berjaya mengharumkan industri hiburan tempatan, selain memahat nama menghampiri garisan antarabangsa.

Kedua-duanya mempunyai persamaan paling ketara, mereka memilih Ogos sebagai tarikh menamatkan zaman dara masing-masing. Kini, Siti, 30, genap tiga tahun bergelar isteri kepada ahli perniagaan terkenal, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau lebih dikenali sebagai Datuk K, manakala Maya, 29, sudah setahun menjadi isteri Muhammad Ali Abdullah, 39, atau Steven David Shorthose, namun sampai saat ini mereka belum dikurniakan cahaya mata.

Kehadiran cahaya mata pastinya menambah kemanisan alam rumah tangga dan mampu mempereratkan lagi ikatan suami isteri itu. Selama tiga tahun Siti bahagia di sisi anak tirinya yang sudah pun dianggap seperti anak sendiri. Pun begitu, pelbagai usaha memperoleh zuriat sendiri belum berhasil dan doa Siti serta Datuk K supaya cepat dikurniakan cahaya mata, nampaknya belum dimakbulkan Tuhan.

“Semuanya kerja Tuhan, kami sekadar merancang. Siti dan suami yakin, suatu hari nanti, pasti kami akan dikurniakan cahaya mata sendiri. Kami sudah berusaha, kini hanya berserah pada Allah. Saya tak pernah jemu berdoa pada Tuhan.

“Tiap-tiap tahun saya mengerjakan umrah di Tanah Suci, pasti saya berdoa supaya kami dipercepatkan memperoleh zuriat, namun belum ada rezeki lagi,” kata Siti yang baru saja pulang ke tanah air hari ini (Aidilfitri) apabila mengerjakan umrah bersama suami mulai 14 September lalu.

Baru-baru ini juga industri hiburan dikejutkan dengan berita perceraian diva terkenal Indonesia, Kris Dayanti (KD) apabila diceraikan Anang dengan talak tiga. Desus-desus memberitahu, perceraian itu dikatakan berpunca daripada kehadiran pihak ketiga apabila KD kononnya menjalin hubungan sulit dengan hartawan dari Timor Leste apabila anak mereka sendiri yang membongkar segala rahsia. Namun, KD menafikan dakwaan itu.

Siti beraya di Kuala Lipis, Sungai Petani

Umum sedia maklum, Siti dan KD bersahabat baik, justeru adakah Siti turut terkena tempias, persahabatan itu bakal retak gara-gara berita berkenaan?

“Saya akui, kami memang rapat dan sering bertemu. Namun, apabila membabitkan hal-hal rumah tangga, kami tidak pernah berkongsi cerita. Apabila saya dimaklumkan oleh media tempatan mengenai berita perceraian itu, saya terus menghubungi KD dan memintanya supaya bersabar. Ini adalah dugaan yang perlu kita hadapi.

“Pun begitu, saya tidak pernah berniat untuk menjauhkan diri atau memulaukan KD disebabkan keretakan rumah tangganya. Apa yang berlaku dalam rumah tangga mereka sehingga terjadinya perceraian, hanya KD, Anang dan Tuhan saja yang tahu. Kita tidak berhak membuat andaian atau spekulasi. KD sendiri tidak pernah menyakiti hati saya. Justeru, saya dan KD akan terus berkawan,” kata Siti yang pertama kali menyambut Syawal kali ini tanpa abahnya yang pergi menemui Tuhan lebih awal.

Siti yang baru muncul dengan album kerohanian pertamanya, Tahajjud Cinta pada 9 September lalu, terus menjadi pertikaian di laman sembang internet apabila fesyen tidak bertudung penuh yang digayakan Siti apabila bergelar hajah, tidak menyenangkan hati sesetengah pihak. Apa komennya?

“Saya tidak mahu membidas komen-komen itu. Mereka berhak berkata apa saja. Tapi, janganlah mengharapkan sesuatu perubahan itu berlaku dengan cepat, terimalah Siti Nurhaliza seadanya,” kata Siti yang akan menyambut 1 Syawal di Kuala Lipis, hari raya kedua di Kuala Lumpur, seterusnya pulang ke kampung suami di Kedah, sehari selepas itu.

Berdepan masalah kalau ada anak?

Sementara itu, berbeza pula dengan Maya kerana dia dan suami mengakui merancang keluarga mereka apabila belum bersedia menerima kehadiran si comel dalam masa terdekat ini. Maya yang mendirikan rumah tangga pada 14 Ogos tahun lalu, turut mengakui dia dan suaminya masih berbulan madu dan ingin menghabiskan masa berdua saja buat sementara waktu ini.

“Saya sedar, dalam masyarakat Melayu, hal merancang keluarga bukannya suatu kelaziman. Pun begitu, ia bukannya menjadi satu kesalahan atau dosa. Kami membuat keputusan ini (merancang keluarga) demi masa depan anak yang bakal dilahirkan. Biarlah saya dan suami benar-benar bersedia daripada segi kewangan dan mental sebelum menerima kehadiran orang baru.

“Saya tahu, bukannya mudah bergelar ibu dan ayah. Kami akan berdepan macam-macam masalah, stress jangan cakaplah. Apabila berlaku tekanan, perceraian mudah berlaku. Saya tidak mahu anak-anak menjadi mangsa apabila ibu bapa bercerai. Bayangkan jika berlaku perceraian dalam rumah tangga yang baru dibina, anak-anak yang masih kecil bakal kehilangan kasih sayang orang tuanya, saya tak mahu jadi begitu!

“Saya sentiasa mengharapkan, anak-anak membesar bersama kebahagiaan ibu bapanya, bukannya berpaksi kepada perceraian. Terus-terang saya akui, saya terlalu takut dengan perceraian,” kata Maya yang menyambut Hari Lebaran bersama suami dan ibunya di Kuala Lumpur saja apabila ayah serta dua adiknya tidak pulang beraya kerana terikat dengan komitmen kerja di luar negara.

Tambah Maya, perceraian boleh berlaku kepada sesiapa saja termasuk dirinya, justeru setiap pasangan itu harus berwaspada setiap masa supaya perpisahan itu dapat dielakkan.

Maya tak mahu peminat bosan

“Hubungan suami isteri perlu baik pada kebanyakan waktu. Jangan disebabkan perkara kecil, sikit-sikit nak merajuk. Apabila pasangan kita dapat merasai diri mereka tidak dihargai, ia sebenarnya membawa kepada perceraian sekiranya dibiarkan berlarutan. Justeru, apabila saya ada anak nanti, biarlah mereka mendapat belaian kasih sayang sepenuhnya tanpa perlu menanggung sengsara ibu bapa,” katanya.

Bercakap soal kerjaya, 2009 menyaksikan Maya tidak banyak berlakon filem. Hanya satu filem saja, Pisau Cukur yang bakal menjengah pawagam 5 November depan. Menerusi filem Magika pula, Maya hanya muncul sebagai cameo dan ia dijadualkan menemui penonton awal tahun depan. Dia juga membuat kemunculan istimewa menerusi drama bersiri, Waris Jari Hantu The Series yang akan disiarkan menerusi RTM, akhir tahun ini.

Adakah situasi ini membayangkan populariti Maya sedang merudum?

“Saya tak akan membintangi filem itu semata-mata untuk membuktikan saya masih in-demand. Tawaran memang ada, tapi dari dulu lagi, masyarakat filem mengenali saya sebagai seorang yang cerewet. Saya lebih fokus kepada jangka masa panjang. Semakin lama kita berada dalam industri ini, kita akan dikenali lebih ramai dengan hasil kerja yang baik saja, saya tak mahu peminat bosan,” katanya yang akan kembali mengacara TV tahun depan.

Siti dan Maya yang menjalani fotografi di Grand Saloon dan sekitar kolam renang POTGH, mencetuskan suasana begitu santai, sekali gus membangkitkan mood raya pada wajah mereka yang berseri-seri. Pastinya persekitaran di Grand Saloon begitu nyaman dan menjadi antara lokasi pilihan pengunjung di hotel berkenaan.

INFO: Datuk Siti Nurhaliza

•1. NAMA PENUH: Siti Nurhaliza Tarudin
•2. TARIKH LAHIR: 11 Januari 1979
•3. ASAL: Kuala Lipis, Pahang
•4. KELUARGA: Anak kelima daripada lapan beradik
•5. ALBUM KEROHANIAN PERTAMA: Tahajjud Cinta
•6. ANUGERAH & KEJAYAAN: Dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) daripada Sultan Pahang yang membawa gelaran Datuk, menjadi rakyat Malaysia pertama berjalan di permaidani merah pada Anugerah Grammy pada 11 Februari 2007, lebih lima kali dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) dan Penyanyi Wanita Popular pada ABPBH2008
•7. SUAMI: Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, bernikah pada 21 Ogos 2006
•8. ANAK: Mohamed Anas, 22; Mohamed Adib, 19; Mohamed Asyraf, 17 dan Mohamed Aazief, 11


INFO: Maya Karin
•1. NAMA PENUH: Maya Karin Roelcke
•2. TARIKH & TEMPAT LAHIR: 29 Oktober 1979 di Bayreuth, Jerman
•3. KACUKAN: Melayu-Jerman
•4. KELUARGA: Anak sulung daripada tiga beradik
•5. PENGACARA: Wavelength (TV3), Ratu Sehari (Astro Ria), Channel [V] dan Beauty Secret From The East (TV3)
•6. FILEM: Pontianak Harum Sundal Malam, Waris Jari Hantu, 1957 - Hati Malaya, Anak Halal, Duyung dan Pisau Cukur
•7. PENCAPAIAN: Aktres Terbaik Festival Filem Asia Pasifik Ke-49 di Fukuoka, Jepun dan Pelakon Terbaik di Festival Filem Seram & Fantasi Estepona 2005 di Sepanyol dan Pelakon Filem Wanita Popular pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008 (ABPBH2008)
•8. DUTA: L'oreal Paris, Tag Heuer, Celcom dan Nescafe
[url=http://bitcofarm.com/home?r=whitect30][img]http://bitcofarm.com/img/banner1.gif[/img][/url]
free counter

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails