
Meskipun dengan rasa rendah diri penyanyi berusia 18 tahun itu memohon maaf kepada umum, isu itu tetap mencalarkan imej serta reputasinya.
Bagaimanapun Aliff tenang berdepan segala spekulasi. Penyanyi yang baru tamat pengajian di peringkat O Level ini menganggap isu membabitkan dirinya sebagai dugaan dan asam garam bergelar anak seni. Lari daripada sikap cepat melatah dan putus asa, Aliff terus memandang ke depan.
Hampir setahun namanya seakan-akan lenyap daripada sebarang publisiti disebabkan sedikit masalah dengan syarikat pengurusan di Singapura.
Bagaimanapun, sepanjang proses menyelesaikan segala permasalahan itu sekurang-kurangnya dapat memberi Aliff sedikit ruang untuk berehat selain mengukuhkan identitinya sebagai penghibur baru remaja.
Terbaru, Aliff semakin rancak mengumpul material serta menjalani proses rakaman bagi album terbarunya yang bakal muncul penghujung tahun.
“Sepanjang Ramadan lalu saya sibuk dengan proses rakaman serta mengikut rangka promosi untuk album serta single lagu raya nyanyian saya.
“Malah saya gembira dan teruja untuk terus bekerjasama dengan komposer di sini yang akan menerbitkan album penuh saya tidak lama lagi.
“Alhamdulillah, saya baru selesai merakam sebuah lagu yang bakal dimuatkan dalam album itu nanti,” katanya yang berpadu suara dengan Aliff Satar untuk lagu Balik Kampung.