
Irma akui ada pihak tertentu cuba memutuskan hubungannya dengan Nabil
TIBA waktunya mereka akan disatukan juga. Biar apapun dugaan yang mendatang, hati Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Ahmad Nabil Ahmad, 26, terhadap kekasihnya, Irma Hasmie Ibrahim, 27, tidak akan tergugat.
Bukan tiada yang cuba 'cucuk jarum' untuk memusnahkan ikatan yang terjalin, malah lebih itu, ada yang iri hati melihat kebahagiaan yang dikecapi pasangan merpati dua sejoli itu, tetapi cinta mereka tetap utuh. Tiada yang mampu memisahkan hati mereka, melainkan maut menjemput.
Malah jika ditakdirkan jodoh mereka tiba awal, Nabil dan Irma sudah bersedia melayari bahtera hidup sebagai suami isteri. Mereka kini sedang berusaha mempercepatkan hari bersejarah jika diizinkan Tuhan.

'Jangan pisahkan cinta kami'
Oleh Raja Nurfatimah Mawar Mohamed
Irma akui ada pihak tertentu cuba memutuskan hubungannya dengan Nabil
TIBA waktunya mereka akan disatukan juga. Biar apapun dugaan yang mendatang, hati Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Ahmad Nabil Ahmad, 26, terhadap kekasihnya, Irma Hasmie Ibrahim, 27, tidak akan tergugat.
Bukan tiada yang cuba 'cucuk jarum' untuk memusnahkan ikatan yang terjalin, malah lebih itu, ada yang iri hati melihat kebahagiaan yang dikecapi pasangan merpati dua sejoli itu, tetapi cinta mereka tetap utuh. Tiada yang mampu memisahkan hati mereka, melainkan maut menjemput.
Malah jika ditakdirkan jodoh mereka tiba awal, Nabil dan Irma sudah bersedia melayari bahtera hidup sebagai suami isteri. Mereka kini sedang berusaha mempercepatkan hari bersejarah jika diizinkan Tuhan.
Secara jujur, Irma akui: "Saya sedar tak semua orang merestui hubungan saya dengan Nabil, malah ada yang cuba menyebarkan cerita bukan-bukan untuk memisahkan kami. Ada kalanya saya tak tertahan dengan tohmahan yang ditabur, saya dikatakan menjalinkan hubungan intim dengan pengarah itu, penerbit ini. Bagaimanapun, mujurlah Nabil tidak cepat melatah, dia juga tidak mudah mempercayai cakap-cakap orang tanpa melihat dengan mata kepala sendiri.
"Saya hairan apabila saya berbaik dengan mana-mana pengarah atau penerbit mula timbul cerita saya menjalinkan hubungan sulit dengan mereka, sedangkan saya berbaik dengan mereka disebabkan urusan kerja, bukan ada skandal. Dan seharusnya seorang pelakon berbaik dengan pengarah atau penerbit untuk masa depan kerjayanya.
"Bagaimanapun, saya dan Nabil berfikiran terbuka dalam banyak perkara dan apa pun tindakan yang diambil perlulah rasional, bukan mengikut kata hati. Alhamdullilah, sehingga hari ini, apapun ujian yang cuba menggoncangkan hubungan, kami belum lagi tergugat. Nabil kenal hati budi saya, begitu juga saya mengenali Nabil secara mendalam."
Pelakon drama Lima dan Awan Dania itu mengakui ada juga yang cuba menggoda, tetapi jangan kata nak layan, dipandang pun tidak kerana hatinya hanya ada pada Nabil seorang.
Sambil menjeling kekasihnya itu, Irma akui: "Prinsip saya mudah, jika tidak dilayan, kecurangan tidak akan berlaku. Bak kata orang, bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi, jadi saya tak berminat nak melayan lelaki-lelaki yang cuba menggugat hubungan saya dengan Nabil. Pokok pangkal diri sendiri.
"Saya sedar hubungan yang belum ada ikatan sah tidak lepas daripada dugaan, lebih lagi saya bercinta dengan seorang terkenal seperti Nabil tetapi saya yakin jika pandai mengemudi sebuah kapal, sudah tentu akan tiba ke dasarnya walaupun ada kalanya kapal dipukul ribut dan gelombang."

Irma berkata, dia menyambut Aidilfitri bersama ibunya, Ropitah Abdul Hassan, 53, di Sungai Buloh, sebelum pulang ke kampung halaman bapanya, Ibrahim Othman, 56, di Kota Bharu, Kelantan.
Irma beraya di Kota Bharu
Dengan nada perlahan, Irma akui: "Itulah rutin kebiasaan saya dan adik, Mohd Farooq Hossni, 22, setiap tahun. Memandangkan ibu bapa berpisah dan berkahwin lain, jadi saya dan adik selalu bergilir-gilir pulang berhari raya. Bapa saya tinggal di Puncak Alam, tetapi setiap tahun saya akan pulang berhari raya di rumah nenek di Kota Bahru, begitu juga kali ini.
"Saya berada di rumah nenek selama tiga hari saja sebelum pulang ke Kuala Lumpur. Selepas pulang saya menjenguk Nabil dan keluarganya di Mambau, Negeri Sembilan, dapatlah kami beraya bersama. Saya juga merancang mahu mengadakan rumah terbuka untuk sanak saudara dan peminat, bagaimanapun semuanya masih dalam perancangan memandangkan sukar mencari katering pada musim perayaan."
Bagi Nabil, biarpun ada gadis yang cuba menghimpit ketika popularitinya berada di puncak tetapi hatinya tidak tergoda, malah rasa cinta terhadap Irma semakin mendalam apabila melihat kesabarannya.
Sambil mengakui: "Masa saya jadi mat despatch dulu, tiada siapa pun nak pandang muka saya, tetapi selepas meraih kejayaan, ramai pula yang cuba menghimpit. Bagaimanapun, saya bukanlah seorang yang mudah tergoda apatah lagi melihat wanita cantik dan seksi, saya tak pandang semua itu.
Kumpul duit untuk berkahwin
"Bagi saya, buat apalah saya mencari masalah apabila mempunyai kekasih keliling pinggang sedangkan nak dapat yang betul-betul ikhlas dan sanggup hidup susah senang dengan saya seperti Irma bukanlah mudah. Saya hanya inginkan gadis yang boleh dibuat isteri, bukan mahu bersama saya dek kerana saya popular dan seorang selebriti. Esok lusa kalau saya susah sudah tentu saya ditinggalkan terkontang-kanting."
Juara Raja Lawak musim kedua itu mengakui dia tidak menolak jika ditakdirkan jodohnya sampai awal, memandangkan mereka merancang mahu disatukan dalam ikatan suami isteri dalam tempoh dua tahun lagi.
Dengan nada perlahan, Nabil akui: "Kita hanya merancang tetapi Tuhan yang menentukan. Saya dan Irma sedang mengumpul duit memandangkan majlis nikah kahwin memerlukan belanja yang besar. Saya tidak merancang mengadakan majlis secara besar-besaran, cukuplah secara sederhana. Impian saya mahu mengadakan tiga majlis berbeza iaitu di kampung halaman dengan cara tradisi orang Melayu, joget lambak sudah pasti ada.
"Kalau ada rezeki lebih, saya dan Irma juga mahu meraikan tetamu di sebuah hotel dengan konsep taman ataupun bersanding di tasik. Saya juga mahu meraikan kenamaan yang banyak menyokong pembabitan saya dalam industri hiburan menerusi majlis berasingan di sebuah hotel, tetapi itu hanyalah impian saya, insya-Allah."
Nabil berkata, dia juga gembira dapat membahagiakan hati ibu bapa dan adik beradiknya. Dia bukan hanya menghadiahkan dua kereta yang diperoleh hasil kemenangan sebagai juara Raja Lawak dan Bintang Paling Popular kepada ibu bapa, malah dapat membina sebuah rumah baru untuk keluarga.
Hadiahkan keluarga rumah baru
"Saya bersyukur akhirnya impian saya mahu membina sebuah rumah yang sempurna untuk keluarga termakbul. Pada hari raya lalu, kami sekeluarga beraya di rumah baru itulah. Saya mengeluarkan belanja kira-kira RM80,000 untuk membina rumah baru di tapak asal. Saya juga sedang mengumpul duit untuk membantu keluarga mempersiapkan kelengkapan perkahwinan adik saya, Siti Sarah pada Disember ini.
"Apapun yang dilakukan, saya tetap mendahulukan keluarga. Saya bangga dapat berbakti pada orang tua, saya puas melihat mereka tersenyum dan gembira. Saya percaya rezeki yang melimpah ruah ini juga disebabkan doa ibu bapa saya yang tidak putus-putus selama ini," katanya yang menyambut raya dengan keluarga pada hari raya pertama saja sebelum bergegas kembali ke lokasi penggambaran.
Nabil yang sibuk dengan penggambaran drama bersiri, Sonata Labu Labi arahan Adlin Aman Ramlie sepanjang Ramadan lalu juga berkata, dia hanya dapat pulang berhari raya dengan keluarga pada petang raya pertama.
"Pada malam raya lalu, saya terbabit dengan Sampaikan Salam Aidilfitri TV3 dan keesokannya, saya terpaksa bergegas ke dua lokasi iaitu rumah Perdana Menteri di Putrajaya untuk menjayakan rancangan Apa Ke Halnya? dan undangan Kuzie Katering di Shah Alam, Selangor.
"Saya akan singgah beraya ke rumah Irma di Sungai Buloh dulu sebelum pulang ke kampung halaman. Saya tidak dapat memastikan sama ada dapat membuat rumah terbuka tahun ini, ia bergantung pada rezeki memandangkan saya perlu berjimat cermat untuk persiapan perkahwinan adik saya," kata Nabil yang bercuti selama seminggu.
Info Nabil
•Nama: Ahmad Nabil Ahmad.
•Tarikh Lahir: 26 September 1983.
•Asal: Mambau, Negeri Sembilan.
•Usia: 26 Tahun.
•Adik-beradik: Anak ketiga daripada tujuh beradik.
•Pencapaian: Juara Raja Lawak 2, Artis Baru Lelaki Popular, Artis Komedi Lelaki Popular & Bintang Paling Popular (ABPBH 2008).
•Filem: Sifu & Tonga, Lu Pikirlah Sendiri De Movie, Kecoh Betul, Jin Notti, Eee... Hantu, Momok The Movie, Pisau Cukur, Magika, Uncle Hussein, Bangladesh & Cicak-Man 3
•Program: Lu Fikirlah Sendiri Nabil, Apa Cerita Nabil, Hua ... Hua ...Hua ..., Pondok-Pondok, Studio Nabil, Ewah Ewah & Hartamania
•Telefilem: Sonata Labu Labi
Info Irma
•Nama: Irma Hasmie Ibrahim
•Tarikh Lahir: 8 Januari 1982
•Usia: 27 Tahun
•Asal: Kuala Lumpur
•Pencapaian: Gadis Jelita 2004
•Iklan Komersil: Tourism Malaysia (Cuti-Cuti Malaysia), Fair & Lovely, Yamaha & Pringle's.
•Filem: Cinta Fotokopi, Main-Main Cinta, Diva & Dua Hati Satu Jiwa
•Drama: Lima, Awan Dania, Bella, Rahsia Gambar, Hantu Raya, Segalanya Ku Terima & Cinta 5 Bintang.
•Solekan & Dandanan: Rieza Amour ()
•Busana: Crystal Fashion House Lot 2.81, Tingkat 2, Kompleks Pertama, Jalan Tunku Abdul Rahman ()
•Aksesori: Nirmala () - nirmalakrishnan@hotmail.com
•Lokasi: Hotel Quality City Centre, Kuala Lumpur (603-2693 9233)
•Terima Kasih: Eksekutif Pemasaran & Komunikasi Hotel Quality, Niza Othman.