
Kata Noryn, undangan menjayakan rumah terbuka sepanjang Aidilfitri ini memberi peluang kepadanya memperdengarkan lagu itu kepada orang ramai.
Peluang memeriahkan rumah terbuka anjuran The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Balai Berita Bangsar, Sabtu lalu digunakan sepenuhnya Noryn untuk menghiburkan keluarga kakitangan NSTP dengan lagu raya sendiri. Noryn juga menyampaikan lagu raya lama, Suara Tadbir.
"Saya berasa bangga apabila menjadi sebahagian daripada artis yang menjayakan majlis Aidilfitri NSTP.
"Lebih membahagiakan saya apabila melihat sambutan yang diberikan keluarga kakitangan NSTP dan pengunjung yang hadir.
"Sebenarnya sebelum ini sudah beberapa kali saya diundang menjayakan persembahan dianjurkan akhbar kumpulan NSTP seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian dan Majlis Makan Malam Berita Harian Sdn Bhd membabitkan akhbar Berita Harian dan Harian Metro.
"Tapi untuk kumpulan NSTP, ini kali pertama. Sambutannya cukup hebat dan meriah. Malah, saya sangat seronok dapat menghiburkan pengunjung yang hadir bersama artis lain," katanya.
Kata Noryn, sememangnya sepanjang Aidilfitri ini tradisi berkunjung ke rumah terbuka menjadi amalan semua bukan saja mereka yang menyambut hari raya, malah kaum lain turut merasai kemeriahannya.
Kesempatan ini juga, katanya, memberi ruang untuk bertemu saudara mara dan kenalan.
"Memandangkan sepanjang Ramadan lalu tidak banyak aktiviti seni, saya ambil peluang itu meningkatkan amal ibadat dengan solat Tarawih," katanya.
Penampilan selebriti popular tanah air seperti Noryn, Haiza, Fazli Zainal dan Hanafiah Md Hanafiah atau Black ternyata mendapat perhatian.
Tambah meriah dengan lawak jenaka dan usikan pengacaranya, Along dan Azrul dari kumpulan Cham (Raja Lawak musim pertama).
Kehadiran mereka bukan hanya untuk menghiburkan, malah berinteraksi dan beramah mesra dengan peminat tidak kira daripada golongan muda mahupun dewasa.
Acara tahunan itu turut menyaksikan pelbagai aktiviti dan program menarik diadakan. Di samping berhibut, pengunjung juga menikmati hidangan tradisi seperti lemang, ketupat dan sate.
Paling mendapat perhatian ialah gerai A&W yang menyaksikan pengunjung sanggup berbaris panjang untuk mendapatkan ayam goreng dan nuget bersama Root Beer. Turut menjadi tumpuan kuewtiaw goreng yang panas dan enak serta roti canai Jinbara.
Bagi penyanyi yang popular dengan lagu Harapan, Fazli Zainal penampilan pada majlis itu memberi ruang kepadanya untuk lebih dekat dengan peminat terdiri daripada kakitangan dan ahli keluarga akhbar di bawah NSTP, Harian Metro, Berita Harian dan New Straits Times (NST).
"Biasanya saya menyanyi di hadapan wartawan dan juga editor media terbabit, tetapi menerusi majlis ini, saya dapat menghiburkan semua golongan terdiri daripada pekerja dan keluarga kakitangan NSTP.
"Sebagai artis, peluang ini menjadikan saya lebih dekat dengan semua golongan tidak kira apa bangsa sekalipun.
"Kebiasaannya majlis rumah terbuka memang meriah. Kehadiran artis menjadi penyeri menghiburkan pengunjung yang hadir," katanya menyanyikan tiga lagu raya termasuk lagu duet bersama Haiza, Suasana Hari Raya.
Persembahan Haiza yang popular dengan irama dangdut juga tidak kurang hebatnya.
Aksinya menyampaikan lagu Suasana Riang Di Hari Raya, Indahnya Beraya Di Desa dan Semarak Hati ternyata menghiburkan.
Selain memenuhi undangan NSTP, Haiza juga menjayakan persembahan pentas membabitkan anggota tentera pada sebelah petangnya.
Penyanyi yang popular dengan lagu Dag Dig Dut itu berkata sambutan majlis berkenaan cukup meriah.
"Sambutan seperti ini bukan hanya disertai masyarakat Islam, tetapi kaum lain juga dapat meraikannya. Ia selaras dengan cabaran yang dilaungkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai gagasan 1Malaysia," katanya.
Turut mendapat perhatian kemunculan juara program realiti Mentor musim ketiga, Black.
Pemilik suara lantang ini memilih lagu single popularnya, Aku Rindu Sayang Kamu dan lagu Raya, Dari Jauh Ku Mohon Maaf.
Selain dihiburkan dengan persembahan artis, kanak-kanak paling bertuah apabila NSTP turut membawa khas maskot animasi popular tempatan, Upin & Ipin bersama maskot Harian Metro.
Ternyata kehadiran Upin & Ipin menjadi tumpuan kanak-kanak dan ibu bapa untuk bergambar bersama.
Turut disediakan, permainan belon kanak-kanak dan cabutan bertuah.
Pengunjung cilik tidak ketinggalan menerima sumbangan duit raya.
Seramai 5,000 kakitangan serta ahli keluarga NSTP diraikan pada majlis bermula seawal 11 pagi dan berakhir 3 petang.
Hadir sama, Pengerusi NSTP, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Ketua Pegawai Eksekutif NSTP, Datuk Anthony Bujang, Pengarang Urusan Kumpulan NSTP, Zainul Ariffin Mohammed Isa, Pengarang Kumpulan Harian Metro/Metro Ahad, Mustapa Omar serta ahli Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan NSTP .
Penganjur tidak ketinggalan mengingati mangsa malapetaka .'apabila turut menyediakan Tabung Bencana NSTP Media Prima yang diedarkan sepanjang majlis itu.
