
Tidak terhenti di situ, segala berita pembangunan kerjaya anak kelahiran Kuala Lumpur ini jauh lebih sunyi berbanding kisah peribadinya yang lebih menjadi topik publisiti.
Mungkin pada awal pembabitan dalam seni, Zahida masih mampu menepis segala persepsi serong yang mengganggu perjalanan kariernya. Malah segala cerita yang timbul ditelannya sebagai asam garam dunia hiburan.
Namun apabila ia menyerang bertalu-talu sehingga kini, wanita ini bangkit dengan perasaan mual berbaur bosan untuk menjawab.
Malah artis jelita berusia 33 tahun ini pernah melarikan diri daripada media bagi mencari ruang untuk bernafas. Kesempatan bertemu dengannya baru-baru ini, Zahida tanpa ragu-ragu meluahkan segala yang terpendam selain berborak mengenai perancangan terbarunya.
“Selama ini saya hanya mendiamkan diri apabila cerita mengarut timbul mengaitkan saya dengan VVIP. Kononnya saya dibela hartawan dan sering mencari peluang mendekatkan diri dengan golongan elit bagi mencari sumber kekayaan.
“Saya masih bersabar dan menjawab dengan seribu alasan kerana sesungguhnya segala cerita yang timbul tidak benar. Malah saya tidak perlu merasakan itu satu tanggungjawab yang perlu saya lunaskan untuk membersihkan nama baik saya.
“Itu yang membuatkan saya bagai fobia untuk berdepan teman wartawan kerana takut soalan itu akan terus ditanya.
“Saya cuma berharap segala cerita mengenai diri saya tidak hanya memfokus kepada soal lelaki yang mendampingi saya. Kini tiba masanya saya fikir masa depan kerjaya serta perancangan yang perlu dilakukan,” katanya.
Tidak menolak segala persepsi mata luar yang acap kali melihatnya bergaya dengan persalinan jenama mahal sebagai bukti punca kata-kata nakal sebegitu, Zahida punya jawapannya sendiri.
“Mungkin itu yang mereka nampak, saya bergaya dan sentiasa tampil mewah di luar. Namun bagi saya, tidak sepatutnya dan tidak adil untuk mereka terus melabel saya seperti itu.
“Saya sememangnya wanita yang gemarkan fesyen serta selesa berpakaian mewah. Itu lumrah gaya hidup saya. Namun tidak bermakna saya dibela lelaki kaya.
“Sebaliknya saya bersama keluarga memang menjalankan perniagaan sejak saya belum bergelar selebriti lagi. Alhamdulillah perniagaan yang kami sekeluarga usahakan iaitu mengeksport makanan segera menampakkan kejayaan.
“Usahawan seperti saya sememangnya selalu ada di tempat eksklusif tapi bukan untuk bersosial, sebaliknya itu semua adalah urusan kerja. Jadi tidak salah saya manjakan diri dengan segala kemahuan peribadi,” katanya yang belum terfikir soal kahwin.
Cerita Zahida lagi, dia tidak pernah meletakkan dunia lakonan sebagai satu-satunya sumber pendapatannya. Mungkin itulah kekeliruan berbangkit terhadap dirinya.
Menurutnya, tawaran berlakon masih banyak. Jadi dia perlu bijak membuat keputusan dan membahagikan masa untuk memastikan segala misi yang diatur tetap mengikut trek yang dirancang.
“Saya tidak boleh tamak kerana sekarang saya sibuk memantapkan perniagaan,” katanya.
