
NASIBNYA dalam bidang nyanyian cukup membanggakan. Namun nasib penyanyi goyang gergaji ini dalam melayari rumah tangga begitu memilukan. Perkahwinannya dengan Saiful Jamil berakhir dengan penceraian.
Kini rumah tangga yang dibina bersama Aldi Taher juga berada di hujung tanduk. Aldi dikhabarkan telah mengemukakan permohonan cerai ke Pengadilan Agama Jakarta Barat.
Pelbagai sebab yang dikatakan pencetus kepada kurangnya kerukunan dalam rumah tangga dua artis ini. Ada yang menyatakan sebabnya adalah masalah kewangan iaitu penghasilan Aldi lebih sedikit jika dibandingkan dengan pendapatan Dewi. Namun kedua-duanya menafikan faktor ini menjadi punca penceraian mereka.
Bagi dewi dia tiada masalah dengan pendapatan Aldi dan semuanya cukup belaka. Tersebar juga khabar berlakunya kekerasan yang dilakukan oleh Aldi terhadap dewi yang mencetuskan persengketaan antara mereka.
Menurut Pengurus Dewi, Siska, pasangan ini telah bercerai secara agama sebelum Ramadan lalu. Katanya, setelah berkahwin rumah tangga pasangan ini tidak pernah harmoni dan Aldi sering mengucapkan kata cerai terhadap Dewi. Malah menurutnya, bukan sahaja bergaduh malah Aldi juga pernah melakukan kekasaran terhadap dewi.
Bagi Dewi, demi rumah tangganya dia cuba bersabar. Namun kesabaran itu akhirnya terlerai juga.